suria

Walau sekadar berjenaka... body shaming umpama menghina ciptaan Yang Esa!

Kita perlu menjaga adab percakapan dan tidak mengeluarkan kata-kata yang menjerumus penghinaan terhadap fizikal seseorang kerana ia perbuatan yang dilarang dalam Islam. - Gambar Sekadar Hiasan

BODY shaming atau ejekan tubuh boleh didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang atau menghina fizikal iaitu bentuk tubuh, warna kulit, penampilan, pekerjaan serta kekurangan individu tertentu.

Perbuatan itu bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya ia telah menjadi barah dalam masyarakat kita. Terbaharu, kita telah disajikan dengan berita penularan seorang influencer telah mengejek serta memaki-hamun secara terang-terangan di media sosial.

Sedarkah kita perbuatan menghina fizikal seseorang itu juga membawa kepada penghinaan kepada Allah yang menciptakannya?

ARTIKEL BERKAITAN: Kita sudah berada di akhir zaman... Ambillah iktibar berdasarkan 4 tanda pesan nabi

Terdapat satu hadis yang mana secara ringkasnya telah diceritakan bahawa Baginda Nabi pernah menegur seorang sahabat yang mentertawakan Abdullah Ibnu Mas’ud yang memiliki betis yang kecil. Baginda Rasulullah bersabda dengan maksud: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya, sungguh kedua-dua betis itu lebih berat di atas timbangan daripada Gunung Uhud”.[HR Ahmad 3991]

Hadis ini secara jelas menerangkan perbuatan menghina fizikal seseorang adalah dilarang dan ditegah sama sekali. Walhal sahabat tidak mengeluarkan kata-kata hinaan dan hanya ketawa sahaja. Ia adalah haram dan mereka terus ditegur oleh Rasulullah.



Baru-baru ini, Suharnizan Sidek (tengah) membuat laporan polis berhubung 'body shaming' yang dilakukan oleh seorang influencer di Facebook.

Ejekan tubuh satu isu, isu lainnya adalah bahasa yang digunakan adalah tidak enak didengar dan tidak menzahirkan peribadi muslim yang baik.

Peliharalah akhlak kita baik lelaki mahupun perempuan kerana percakapan mencerminkan apa yang ada di dalam hati. Hati yang baik akan menuntun lidahnya menuturkan bicara ke arah kebaikan.

Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.” [HR Muslim 4651]

Kritikan itu tidaklah menjadi satu kesalahan tetapi tegurlah seseorang itu dengan penuh hikmah dengan niat untuk perbaiki penampilan serta kebaikan mereka.

Nilaian Allah dan nilaian manusia kepada manusia tidak akan pernah sama. Zahir rupa dan bentuk bukan menjadi taraf nilaian Allah kerana yang Allah pandang hanyalah hati dan amalan.



Jangan gunakan media sosial sebagai tempat untuk mengeluarkan kata-kata penghinaan kepada orang lain.

Permulaan rosaknya hati apabila kita merasa lebih baik daripada orang lain. Perasaan sombong tidak akan pernah menjadi hak manusia kerana ia milik Allah Yang Maha Mutakabbir.

Allah telah mengingatkan kita di dalam Surah Al Hujuraat ayat 11: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Dalam ayat ini, Allah memperingatkan orang-orang yang beriman supaya jangan ada suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain kerana boleh jadi, mereka yang diolok-olokkan itu pada sisi Allah jauh lebih mulia dan terhormat dari mereka yang mengolok-olokkan, dan demikian pula di kalangan wanita, jangan ada segolongan wanita yang mengolok-olokkan wanita lain kerana boleh jadi, mereka yang diolok-olokkan itu pada sisi Allah lebih baik dan terhormat daripada wanita-wanita yang mengolok-olokkan itu.

Dan Allah melarang pula orang-orang yang beriman mencela sesama mereka kerana semua orang-orang mukmin umpama satu tubuh yang diikat dengan kesatuan dan persatuan, dan dilarang pula panggilan-panggilan dengan gelaran yang buruk seperti panggilan kepada seseorang yang sudah beriman dengan kata-kata: hai fasik, hai kafir, hai munafik dan sebagainya.

Asy-Syahid Sayyid Qutb rahimahullah dalam kitab tafsir Fizilal Quran menafsirkan surah al-Hujurat ayat 11 menyatakan: Masyarakat gemilang yang ditegakkan Islam dengan bimbingan al-Quran itu adalah sebuah masyarakat yang mempunyai adab sopan yang tinggi.

Setiap warganegaranya mempunyai kehormatan yang tidak boleh disentuh kerana kehormatannya merupakan sebahagian dari kehormatan masyarakat. Perbuatan mengaitkan mana-mana warganegara bererti mengaibkan diri sendiri kerana masyarakat itu merupakan satu kesatuan yang mempunyai satu kehormatan.

Sabda Rasulullah: Seorang muslim itu saudara bagi seorang muslim, dia tidak mengkhianatinya, tidak berdusta kepadanya juga tidak menelantarkannya. Seorang muslim itu haram atas muslim lainnya untuk mengganggu kehormatannya, hartanya dan tidak pula menumpahkan darahnya. Takwa itu berada di sini, cukuplah dalam hati seseorang itu ada keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. [HR Tirmizi 1850]

Peliharalah diri kamu daripada merendah-rendahkan orang lain maka Allah akan memelihara kamu daripada direndahkan oleh orang lain.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain