suria

Kasihilah negara seperti cintanya Nabi SAW kepada Makkah, hormat kepada bukan Islam

Rasa cinta terhadap negara harus dipupuk sejak kecil.

SABAN tahun kita menyambut Hari Malaysia iaitu pada 16 September untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963.

Ia merupakan detik bersejarah yang menyaksikan penyatuan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura.

Hari Malaysia wajar dijadikan asbab untuk memahami dan menghayati sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia demi mengekalkan Malaysia sebagai negara berdaulat.

Kepelbagaian kaum, agama dan budaya dalam Malaysia menjadikan negara yang kita sayangi ini unik dan berbeza daripada negara-negara lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidur pun ada adabnya... lakukan 14 cara ini dan sediakan wasiat bawah bantal barangkali ia tidur terakhir bagi kita

Walaubagaimanapun kita tidak dapat nafikan kepelbagaian dan perbezaan tersebut kadang kala menjadikan kita mudah berselisih pendapat dan membawa kepada perbalahan.

Perbezaan sebenarnya tidaklah membawa kecacatan tetapi sebaliknya untuk diraikan agar sama-sama difahami. Ia seeloknya diterjemahkan sebaik mungkin supaya permuafakatan masyarakat majmuk Malaysia dapat ditonjolkan.

Penerimaan, keadilan dan toleransi perlu menjadi nilai asas kepada kerangka perpaduan.



Hari Malaysia disambut bagi memperingati penubuhan Malaysia.

Firman Allah didalam Surah Al-Hujarat ayat 13 (maksudnya): Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.

Cinta akan negara yang menjadi tempat lahir merupakan fitrah manusia seperti junjungan besar kita Nabi Muhammad yang mana ada diriwayatkan dalam sebuah hadis yang sahih:

Daripada Ibn Abbas, bahawa Baginda Rasulullah berkata pada Makkah: Maksudnya: “Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu.” - [HR Tirmizi 3926].

Berikut merupakan cara untuk mengekalkan kesepaduan antara kita yang menghuni dan berteduh di bumi bertuah Malaysia:



Semangat Hari Malaysia.

1. Tanam rasa cinta pada tanah air

Pertamanya seharusnya kita menanam perasaan cinta kepada tanah kerana tak cinta maka tak sayang. Jika benar cinta dan sayangkan negara maka sehabis daya kita akan mempertahankan apa-apa dasar yang membawa kebaikan kepada negara.

Melindunginya daripada anasir-anasir dan ancaman jahat yang boleh menggugat Islam perlu menjadi sifat yang wajib ditanam dalam diri kita.

2. Berusaha untuk mengekalkan perpaduan dan kemakmuran

Mengekalkan perpaduan dan keharmonian merupakan salah satu cara menunjukkan rasa cinta terhadap negara.

Penerimaan dan rasa hormat yang menebal antara agama dan kaum dapat melahirkan kesepaduan yang mantap.

Ia haruslah diiringi dengan nilai-nilai luhur dan budi pekerti individu itu sendiri.



Malaysia cukup istimewa kerana terdapat pelbagai kaum yang hidup dalam keadaan harmoni.

3. Elakkan sentimen perkauman dan konflik dalaman

Mengagungkan Islam tidak bermakna kita harus menghina, mencaci atau merendahkan agama-agama lain. Islam tidak mengajar penganutnya untuk taksub kepada puak dan bangsa sendiri. Islam mengajar umatnya supaya menghormati orang bukan Islam.

Menurut Islam, perbezaan adalah sesuatu yang normal dan harus diraikan. Apa jua permasalahan perlulah ditangani dengan baik terutamanya oleh kerajaan dan masyarakat itu sendiri.

4. Persefahaman dalam kalangan pemimpin

Rakyat akan mendapat ‘signal’ yang jelas apabila para pemimpin menunjukkan persefahaman yang baik. Ia amat penting kerana pemimpin adalah teladan kepada masyarakat dalam membawa keharmonian masyarakat berbilang bangsa. Pemimpin yang baik juga akan menghormati dan meraikan kehendak rakyat.

Kemakmuran dan kesejahteraan dalam masyarakat akan hanya dapat diwujudkan jika setiap individu memahami peranan masing-masing dengan baik untuk menerapkan nilai murni dalam kehidupan seharian.

Cukuplah kekacauan dan konflik di negara asing menjadi ibrah kepada kita.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam menggalas kewajipan ini.

Sebagai rakyat, jadilah rakyat yang bertanggungjawab. Pemimpin dari pelbagai peringkat pula haruslah seiring, senada dan sepakat dalam merealisasikan perpaduan negara.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain