suria

Remaja sekarang semakin sesat persenda nama Allah, nabi dan malaikat untuk bergurau... Elaklah menjadi kufur

Antara perbuatan yang jelas mengina agama yang mendapat perhatian di media sosial sebelum ini.

AGAMA Islam merupakan agama yang membimbing manusia terhadap semua aspek kehidupan daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara.

Allah menyempurnakan Agama Islam melalui pengutusan rasul yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Kesyumulan ajaran Islam bukan sahaja khusus kepada amalan ritual keagamaan sahaja, tetapi merangkumi tatacara kehidupan seperti sosial, ekonomi, politik, pendidikan, pembangunan dan lain-lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Makan terlalu kenyang antara 6 sifat tercela, menjadikan manusia sombong dan gagal kawal nafsu

Firman Allah di dalam Surah Al-Ma'idah ayat 3: Pada hari ini, Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

HUKUM MENGHINA SYIAR-SYIAR ISLAM

Sejak akhir-akhir ini kita dapati pelbagai kelakuan yang dilakukan oleh anak-anak remaja kita yang melanggar batasan syarak dengan menghina syiar-syiar Islam itu sendiri.

Ada dalam kalangan mereka yang mengatakan mereka mahu menjadi nabi, ada juga yang mengatakan mereka mahu menjadi Malaikat Jibril dan ada juga yang melukis tatu kalimah Allah pada badan mereka.

Bagi mereka kelakuan demikian hanya sekadar senda gurau sahaja dan tidak berniat dengan apa-apa sedangkan perbuatan dan percakapan sebegini boleh merosakkan syiar Islam.



Gurauan yang biadap dilakukan tanpa segan silu di Twitter.

Firman Allah di dalam Surah Al-Hajj ayat 32: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu merupakan salah satu kesan dan menjadi gambaran daripada sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

Sebagai seorang muslim kita diminta untuk sentiasa berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara yang tidak mendatangkan faedah dan boleh mencemarkan Agama Islam.

Sabda Rasulullah: Di antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya. - [HR Tarmizi 2239].

Allah berfirman di dalam Surah Al-Taubah ayat 65 dan 66: Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olokkan dan mengejeknya?" Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.

Sesuatu perbuatan atau tingkah laku kadang-kala bukan sahaja melibatkan hukum-hakam bahkan melibatkan akidah seseorang.

Tersebar dalam alam maya baru-baru ini satu pertanyaan mengenai pakaian kostum menyerupai Allah. Ada juga yang ingin memakai kostum menjadi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Semua perkataan di atas itu tadi termasuk dalam kategori mempersendakan agama yang boleh membawa kepada terpesongnya pegangan seseorang itu.



Semakin ramai anak muda yang terus lalai dalam hiburan.

Ini dapat dilihat daripada firman Allah seperti berikut: Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.” - (Surah Al-An’am: 70).

FirmanNya lagi: (Tuhan berfirman: orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). - (Surah Al-A’raf: 51)

Tafsiran ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada larangan untuk mempermainkan agama dan membuat sesuatu lawak yang mempunyai kaitan dengan ajaran Islam.

Hal ini bertujuan untuk menjaga kehormatan agama Islam itu sendiri sepertimana yang telah digariskan dalam Maqasid Syariah yang dhoruriyyat iaitu menjaga agama.

BATAS-BATAS ANTARA KUFUR DAN IMAN

Sebagai seorang Muslim yang telah berjanji dengan penuh keyakinan dalam ungkapan syahadah, menjadi suatu kewajipan untuk terus beristiqamah dalam memelihara segala tuntutannya.



Sebaik-baiknya kita dekatkan diri dengan Allah dan menjadikan al-Quran sebagai teman baik.

Dengan itu, seseorang akan tetap dianggap sebagai muslim selagi mana tidak terjebak ke dalam apa jua bentuk kekufuran. Justeru itu, menjadi tanggungjawab setiap individu muslim untuk mengetahui batas-batas antara iman dan kufur sebagaimana yang dijelaskan dalam nas-nas syarak.

Allah berfirman di dalam Surah Al-Taubah ayat 65 dan 66: Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olokkan dan mengejeknya?" Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.

Imam al-Syafi’e ketika ditanya berkenaan seseorang yang mengejek atau mempersendakan sesuatu daripada ayat-ayat Allah, beliau mengatakan bahawa dia telah kafir dengan berdalilkan ayat di atas. (Lihat al-Sharim al-Maslul, 3/956)

Oleh yang demikian, kita menyeru kepada anak-anak muda supaya sentiasa berhati-hati dengan setiap perkataan atau perbuatan walaupun ia sekadar gurauan.

Ini kerana bukan semua perkara boleh kita bergurau dengannya. Janganlah kita meniru-niru orang lain yang akhirnya merugikan diri kita sendiri.

Sentiasalah menambah ilmu pengetahuan dengan mempelajari ilmu agama kerana dengan kita mempelajari ilmu agama ia akan menyelamatkan kita daripada sebarang perkara yang mendatangkan kebencian Allah.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harry Maguire jadi sasaran Chelsea