suria

Tak perlu stres jika rumah tangga musnah... 4 langkah ini dapat membantu pasangan berpisah hidup tenang

Jika perpisahan adalah jalan terbaik maka redalah dan teruskan kehidupan yang masih berbaki. - Gambar Sekadar Hiasan

BERKAHWIN dan hidup bahagia selamanya merupakan satu harapan setiap pasangan sewaktu terlafaznya akad ikatan yang suci sebagai suami isteri.

Apabila seseorang itu melalui alam rumah tangga, sudah tentulah setiap daripada kita mengimpikan kehidupan bahagia tanpa adanya perselisihan faham yang boleh membawa kepada perceraian.

Bagaimanapun jika berlaku apa-apa masalah besar dalam rumah tangga maka syarak menggalakkan agar suami dan isteri tahammul (bertahan) namun jika sesuatu hubungan itu melibatkan soal hati dan perasaan yang dipendam, bukan semua manusia mampu untuk mempertahankannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Golongan agamawan tak terlepas godaan iblis... Ketahui 4 helah syaitan

Andai pelbagai usaha telah dilakukan tetapi takdir menentukan jalan perpisahan adalah jalan yang terbaik maka redalah dan teruskan kehidupan yang masih berbaki kerana dunia tidak akan pernah kiamat dengan asbab perceraian.



Perceraian bukanlah satu pengakhiran sebaliknya ia merupakan satu permulaan untuk individu memulakan kehidupan yang baru.

Sabda baginda Nabi: Perkara halal yang dibenci Allah adalah talak. - [HR Abu Daud 2178].

Pensyariatan cerai atau talak sememangnya bertepatan dengan akal, maslahat atau maqasid dan tujuan yang betul.

Sebagaimana Allah mensyariatkan perkahwinan dengan tujuan tertentu begitu juga halnya dengan pensyariatan talak kerana sebab yang logik agar dapat mengelakkan pertelingkahan antara kedua-dua pasangan.

Perceraian bukanlah satu pengakhiran sebaliknya ia merupakan satu permulaan untuk individu memulakan kehidupan yang baru tanpa perlu bertahan dengan kesakitan yang sama.

Statistik menyaksikan 80 peratus daripada jumlah keseluruhan perceraian di negara ini adalah dalam kalangan orang Islam. Telah sampai kepada kita kisah-kisah perceraian yang sengaja atau tidak sengaja diwar-warkan di media sosial.

Sedar atau tidak ia bukanlah sesuatu yang ‘sihat’ dan perlu untuk dipertontonkan kepada umum kerana ia pasti akan membuka aib masing-masing.

Berikut ustaz kongsikan tip atau langkah supaya seseorang itu tenang dalam menghadapi perceraian kerana ia merupakan satu ujian dalam kehidupan:

1. Pandang perceraian sebagai hal yang positif

Janganlah melihat perceraian itu sesuatu yang perlu dipandang negatif sedangkan banyak hikmah yang terkandung di dalamnya.

Ada orang yang sudah lama bertahan hidupnya lebih bahagia selepas perpisahan. Langit tidak akan selalu mendung, satu masa akan cerah jua dan kadang-kadang Allah datangkan keindahan pelangi untuk menceriakan hari-hari yang akan kita lalui.

2. Berhenti bercakap soal perceraian dengan niat membuka aib

Kita sedia maklum risiko utama perceraian adalah kerana kerja syaitan untuk menimbulkan bibit-bibit permusuhan antara bekas pasangan suami-isteri dek kerana masing-masing terlalu ghairah untuk mempamerkan kebaikan dan menyembunyikan kekurangan diri supaya tidak dipersalahkan sebagai punca perceraian sedangkan perceraian itu datangnya daripada kedua-dua pihak.

Berhentilah saling menyalahkan antara satu sama-lain dan membuka pekung di dada. Syaitan akan berusaha supaya kita berasa diri lebih baik daripada orang lain walhal apabila kita membuka aib orang lain ibarat kita membuka aib sendiri.

Daripada merintih, merana dan membuka aib pasangan, salurkan kepada pihak berautoriti seperti mahkamah syariah jika benar seseorang itu dianiayai. Tuntutlah hak anda jika anda benar-benar berhak. Cukuplah sekadar menjawab; “Sudah tiada jodoh” kepada yang bertanyakan.

3. Hindari daripada golongan yang suka menghakimi dan mengadu-domba

Peranan keluarga, sahabat dan orang luar adalah menenangkan serta menasihati bukan menghakimi. Janganlah kita menggantikan kerja syaitan dengan menghasut dan menambah bara api dalam hubungan mereka.

Berperananlah dalam menjernihkan hubungan mereka supaya masing-masing dapat reda akan qada’ dan qadar.

Andai ada anak daripada perkahwinan tersebut maka tiadalah isu pengabaian dan kekurangan kasih sayang kerana apa yang kita harapkan selepas perpisahan adalah kehidupan yang lebih baik dan bahagia, bukan permusuhan dan mencetuskan sengketa.

4) Bersangka baik dan ‘move on’

Bersangka baiklah dengan Allah kerana bahagia itu hak milik semua insan. Kita yang memilih jalan maka kitalah yang mewarnakan atau memadamkan keindahan jalan yang akan kita lalui. Berhenti menyalahkan orang lain dan muhasabahlah diri.

Tutup rapat aib orang lain sepertimana kita sorokkan aib diri sendiri kerana membuka aib orang lain tidak akan membuatkan kita bertambah mulia. Melangkahlah dari kisah-kisah lama kerana andai ia benar menyakitkan pasti kita tidak mahu mengingatinya lagi.

Buat yang masih melayari dan akan melayari perkahwinan, sentiasalah mengamalkan sikap kebersamaan dengan pasangan. Apabila ingin bahagia ia menuntut kebersamaan untuk menjayakan begitu juga dalam hal perceraian seperti frasa Inggeris yang berbunyi ‘it takes two to tango’.

Berlapanglah dada, Allah ada dan tidak akan pernah meninggalkan hambanya. Kenikmatan dendam tidak akan berkekalan melainkan hanya sekejap. Adapun kenikmatan reda yang diselitkan dengan kemaafan akan berkekalan selamanya.

Walaupun syarak membenarkan seorang suami itu untuk melafazkan talak atau menceraikan isterinya di atas sebab-sebab tertentu. Akan tetapi, yang terbaik adalah mencari dahulu jalan penyelesaian bagi masalah tersebut dan menjadikan talak ini sebagai jalan yang terakhir.

Semoga Allah mengurniakan kita semua suami dan isteri yang soleh dan solehah agar rumah tangga yang dibina akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat. Amin.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain