suria

Haiza tegur lagu ‘Masuk Lagi’, minta Baby Shima cari lirik lebih baik… “Jangan normalisasikan unsur lucah dalam lagu”

Haiza (kiri) menyuarakan pandangan mengenai lirik lagu baharu Baby Shima.

LIRIK lagu Masuk Lagi nyanyian penyanyi Baby Shima yang didakwa mengandungi unsur lucah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat dan penggiat seni sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Mengulas isu tersebut, penyanyi Haiza tampil menyuarakan kebimbangan terhadap trend penghasilan lagu yang disifatkan kurang sensitif terhadap nilai budaya tempatan, terutamanya apabila karya berkenaan mudah diakses oleh pelbagai lapisan usia.

Menurut Haiza atau Rohaizah Nordin, 46, penghasilan sesebuah lagu seharusnya mengambil kira nilai, budaya serta kesan jangka panjang terhadap pendengar.

Haiza memberi nasihat kepada Shima sebagai rakan artis.

“Saya baru berbincang dengan beberapa rakan tentang perkara ini. Kenapa perlu keluarkan lirik yang seperti itu?

“Kadang-kadang, disebabkan seorang penyanyi, seluruh industri pula yang dilabel negatif, sedangkan ia hanya melibatkan individu tertentu sahaja,” katanya kepada mStar.

Haiza berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Kenduri Rakyat Haiza selepas memenangi Anugerah Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-37 (ABPBH37) di Restoran Asam Pedas London, Selayang, Selangor pada petang Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN:“Jangan labelkan semua penyanyi dangdut sama” - Haiza jaga tingkah laku atas pentas, sedar diri dah berkeluarga

ARTIKEL BERKAITAN:30 tahun bersih kontroversi, Haiza bertahan tanpa gimik murahan

Mengulas lanjut mengenai pemilihan lagu tersebut, Haiza mengakui setiap artis berhak menentukan hala tuju muzik masing-masing, namun berharap pemilihan lirik dapat diseimbangkan dengan elemen mendidik.

“Mungkin itu kategori dan pilihannya. Dia mahu lagu dan lirik seperti itu. Itu hak dia. Tapi sebagai orang yang lebih senior, saya harap Baby Shima boleh mencari lirik yang lebih mendidik.

“Walaupun dangdut, biarlah sesuai dengan pendengar daripada pelbagai peringkat usia,” jelasnya.

Tegas Haiza, budaya lirik berunsur lucah tidak seharusnya dinormalisasikan di Malaysia kerana ia tidak selari dengan nilai masyarakat tempatan.

Malah, kata Haiza, adalah lebih baik penggiat seni menormalisasikan penghasilan lagu yang membawa mesej positif serta mampu membentuk pemikiran pendengar ke arah yang lebih baik.

Haiza ketika ditemui dimajlis 'Kenduri Rakyat Haiza'.

“Mungkin di negara lain perkara ini biasa, tapi budaya itu bukan budaya kita. Jangan normalisasikan unsur lucah dalam lagu.

“Kita kena fikir tentang generasi akan datang kerana apa yang mereka dengar hari ini boleh terbawa-bawa.

“Lebih baik kita normalisasikan perkara yang baik, lirik yang elok dan membina. Seperti kata Datuk Habsah Hassan, biarlah lirik itu merdu dan bermakna, bukan lirik yang merosakkan bangsa,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain