suria

Yusof Haslam cagar surat beranak anak kepada ‘ah long Melayu’, berjaya bayar selepas enam bulan… Pesan penerbit baharu jauhi peminjam wang haram

Yusof berkongsi kepayahan sewaktu mula-mula aktif dalam industri seni.

PENERBIT dan pengarah, Datuk Yusof Haslam mengimbau kembali cabaran dan kepayahan yang dilalui kira-kira 40 tahun lalu ketika mula bertapak dalam industri perfileman serta pengarahan drama.

Menurut Yusof, 72, pada waktu itu dia berdepan kekangan kewangan yang serius sehingga terpaksa meminjam wang daripada seorang kenalan isterinya yang disifatkan sebagai ‘ah long Melayu’.

Tanpa mendedahkan jumlah pinjaman diterima, Yusof mengakui cagaran yang digunakan iaitu sijil kelahiran atau surat beranak anaknya, Syamsul Yusof tidak mempunyai nilai, namun pinjaman tersebut tetap diberikan atas dasar kepercayaan.

"Sebenarnya 'ah long' itu kira macam kawan kerana dia merupakan kenalan isteri saya. Kalau ikutkan cagaran surat beranak itu tidak kuat (tiada nilai). 

Yusof (kiri) pernah mencagarkan surat beranak Syamsul untuk membuat pinjaman wang.

Yusof (kiri) pernah mencagarkan surat beranak Syamsul untuk membuat pinjaman wang.

"Namun atas dasar percaya, dia (peminjam) memberikan saya pinjaman wang tersebut. Mungkin sebab pada waktu itu saya pun memiliki restoran. 

"Saya rasa kalau tak ada restoran (perniagaan) dia pun takkan bagi pinjam wang sebanyak itu. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepadanya atas bantuan diberikan," katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Yusof memberitahu pinjaman tersebut berjaya dilunaskan dalam tempoh lima hingga enam bulan selepas projek drama yang diusahakan selesai dan bayaran diterima daripada stesen televisyen.

Jelasnya, dunia perniagaan dan penerbitan pada waktu itu penuh risiko dan memerlukan keberanian.

ARTIKEL BERKAITAN: Yusof Haslam hati-hati keluar modal buat filem, beri bayangan sekuel ‘Sheriff’ bakal temui penonton

ARTIKEL BERKAITAN: Daripada watak pegang bunga manggar sehingga pengarah box-office, Yusof Haslam dedah kreativiti dan faham selera penonton kunci kejayaan Syamsul

"Saya dapat cagar semula surat beranak itu selepas tempoh lima ke enam bulan. Selepas projek drama selesai dan dapat pembayaran daripada stesen TV. 

"Dulu nak berniaga pun bukan senang, saya memang 'gamble' saja tapi itu pun tidak hanya mengharapkan duit daripada pinjaman. 

"Sebenarnya saya tak setuju untuk buat pinjaman tetapi keadaan waktu itu sangat terdesak. Kalau tidak projek itu gagal," ujarnya. 

Tambah pengarah drama Gerak Khas ini, pinjaman daripada ahlong itu hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan bantuan kewangan yang diterimanya.

Sebenarnya saya tak setuju untuk buat pinjaman tetapi keadaan waktu itu sangat terdesak.

DATUK YUSOF HASLAM

PENERBIT & PENGARAH

Ahli keluarga seperti bapa mentua dan ipar duai turut banyak menghulurkan bantuan dalam tempoh sukar tersebut.

"Semua ini kisah lama lebih kurang 40 tahun lalu. Waktu itu saya baru nak mulakan produksi tak cukup duit. Banyaklah hal, pinjam wang saudara mara. Itu semua proses kehidupan. 

"Saya pinjam daripada 'ah long' itu pun hanya sebahagian saja. Bapa mentua dan ipar duai pun banyak membantu.

"Ini semua liku-liku dalam kehidupan. Kita hanya berusaha tetapi Allah yang menentukan rezeki kita," jelasnya. 

Dalam masa sama, Yusof menasihatkan pengarah dan penerbit baharu agar menjauhkan diri daripada ah long, terutama yang tidak dikenali.

"Kalau boleh saya nasihatkan elakkan meminjam daripada ah long.

Yusof sebelum ini membuat pendedahan menerusi program audiosiar.

Yusof sebelum ini membuat pendedahan menerusi program audiosiar.

"Saya tak galakkan pengarah-pengarah baru untuk pinjam duit daripada ah long. Saya sendiri tak berani. 

"Saya berani buat cagaran ini pun kerana mengenali individu terbabit," katanya. 

Sebelum ini, menerusi temu bual program audio siar Buat Saja Podcast, Yusof membuat pendedahan pernah menjadikan sijil kelahiran anaknya, Syamsul Yusof sebagai cagaran kepada 'ah long' demi mendapatkan modal untuk terbitan drama pertama syarikat produksi miliknya, Skop Productions. 

Kongsi Yusof, dia dalam keadaan terdesak dan mahu merebut peluang bagi mendapatkan kontrak drama bernilai RM300,000 daripada stesen televisyen RTM.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain