suria

Babak Papa Zola The Movie tular, Monsta risau ‘spoiler’ tersebar

Monsta harap orang ramai tidak muat naik video spoiler di media sosial.

PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak menyuarakan kebimbangan terhadap penularan sebahagian rakaman melibatkan filem Papa Zola The Movie yang dikongsi oleh segelintir penonton di media sosial.

Menurut Nizam, 42, pihaknya menyedari tindakan merakam babak filem tersebut telah berlaku, namun proses untuk menurunkan kandungan berkenaan mengambil masa kerana ia sudah tersebar dalam talian.

“Kami sedar akan perkara tersebut. Terdapat netizen yang merakam dan proses untuk menurunkannya mengambil masa. 

Filem Papa Zola The Movie catat RM50 juta kutipan selepas 22 hari tayangan.

"Sebaiknya kita menyebarkan perkara yang baik sahaja. Jika boleh, jangan merakam atau menyebarkan rakaman tersebut kerana ia boleh menjadi spoiler,” katanya kepada mStar.

Tambah Nizam, walaupun rakaman itu dibuat atas niat berkongsi pengalaman menonton, perbuatan tersebut boleh menjejaskan pengalaman penonton lain serta memberi kesan kepada pihak produksi.

Bagaimanapun, Nizam menegaskan Monsta tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap individu terlibat kerana memahami kebanyakan mereka tidak menyedari implikasi perbuatan tersebut.

“Tiada tindakan undang-undang diambil kerana mereka tidak mengetahui perkara itu. Kami hanya menggunakan platform media sosial untuk membuat permintaan supaya kandungan tersebut diturunkan,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Papa Zola The Movie atasi Mechamato, kutipan cecah RM50 juta... Buang ‘secret ending’ kerana risau tak dapat sambutan 

ARTIKEL BERKAITAN: Gabungan nostalgia, aksi Hollywood dan kisah kekeluargaan dalam Papa Zola The Movie

Dalam pada itu, Nizam berharap orang ramai lebih peka dan bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial, terutamanya apabila melibatkan karya kreatif tempatan.

“Memang benar, mereka hanya ingin berkongsi pengalaman menonton, namun perkara itu sebenarnya tidak wajar dilakukan. 

"Kami juga bimbang jika ia dimuat naik secara penuh secara atas talian dan berharap perkara itu tidak berlaku,” ujarnya.

Papa Zola The Movie berjaya cipta sejarah baharu buat Monsta.

Untuk rekod, Papa Zola The Movie mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mencatat kutipan box office sebanyak RM50 juta dalam tempoh hanya 22 hari tayangan di pawagam Malaysia dan Brunei.

Kejayaan luar biasa itu turut membuka laluan kepada penembusan pasaran antarabangsa apabila filem berkenaan dijadualkan untuk ditayangkan di Indonesia bermula 23 Januari ini, diikuti pasaran India dan Vietnam.

Selain itu, Papa Zola The Movie juga bakal memasuki pasaran Timur Tengah merangkumi Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026, sekali gus membuktikan potensi besar karya animasi tempatan di peringkat global.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain