suria

Nama dipertikai sebagai artis undangan konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, Umairah sebak kenang usaha sendiri

Umairah berusaha keras sebelum menempa nama dalam industri seni.

PENYANYI Umairah terkilan apabila terdapat segelintir netizen mendakwa dia menggunakan nama ibu saudaranya yang juga Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai kelebihan untuk berada dalam industri seni. 

Umairah atau Ummi Umairah Saiful Anuar, 15, berkata, meskipun dia cuba untuk kelihatan kuat namun tuduhan sedemikian tetap memberi kesan emosi kepadanya sebagai artis muda.

Menurut Umairah, dia tidak menafikan menerima bantuan daripada Siti, namun menegaskan setiap peluang yang diperoleh hadir bersama usaha dan keyakinan diri. 

Umairah (kiri) merupakan artis undangan bagi Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.

"Sudah tentu saya rasa sedih. Saya tak tahu nak cakap apa, kita berusaha sendiri. Memanglah Mak Iti (panggilan Siti) pun ada bantu. 

"Tapi Mak Iti tolong pun bila dia dah nampak saya punya keyakinan diri untuk menyanyi. 

"Saya baca komen-komen netizen di media sosial tetapi sejak daripada awal lagi saya sudah tanam dalam diri bila dah masuk dalam industri memang banyak ujian. Saya baca komen tersebut sebagai pembakar semangat dan tak ambil kisah pun," katanya kepada mStar. 

ARTIKEL BERKAITAN: Umairah cipta sejarah, pecahkan rekod Siti Nurhaliza… Diumum pemenang termuda ABPBH pada usia 14 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: "Doakan saya" - Umai manis berhijab, peminat harap istiqamah

Umairah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahirnya yang ke-15 di Imyra House of Events, Titiwangsa, Kuala Lumpur pada malam Jumaat. 

Dalam pada itu, Umairah memberitahu dia tidak pernah meluahkan kesedihan itu kepada ibu saudaranya, sebaliknya menyimpan perasaan tersebut dan menjadikannya sebagai motivasi.

"Saya tidak pernah mengadu dengan Mak Iti tetapi dia sendiri cakap dengan saya biarlah apa orang nak kata asalkan saya tahu diri macam mana. Susah untuk saya berada di tahap ini. 

Sudah tentu saya rasa sedih. Saya tak tahu nak cakap apa, kita berusaha sendiri.

UMAIRAH 

PENYANYI 

"Saya dulu tinggal di Kuantan, bila cuti sekolah saya ulang alik ke Kuala Lumpur untuk sertai banyak uji bakat nyanyian. 

"Mungkin orang tak nampak usaha saya. Orang hanya nampak saya terkenal sebab anak saudara kepada Mak Iti," ujarnya. 

Mengulas mengenai kritikan netizen yang mempertikaikan penglibatannya sebagai penyanyi undangan di Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari ini, Umairah menjelaskan pemilihannya dibuat atas dasar profesional.

"Mungkin salah satu sebab saya merupakan artis di bawah naungan SN Legacy, jadi Mak Iti (panggilan Siti) panggil saya sebagai artis jemputan. 

Umairah menyambut ulang tahun kelahiran ke-15 pada 1 Januari.

"Selain itu, kami juga ada lagu duet. Saya rasa Mak Iti ambil saya bagi memberi peluang mengembangkan lagi kerjaya serta memastikan saya lebih yakin berada di atas pentas," katanya. 

Sebelum ini, Siti mengumumkan konsert solonya pada 10 Januari ini akan menampilkan beberapa penyanyi popular dari Malaysia dan Indonesia sebagai artis undangan.

Antara yang terlibat ialah Cakra Khan, Hafiz Suip, Noh Salleh dan Umairah.

Bagaimanapun, pengumuman senarai artis undangan tersebut menerima pelbagai reaksi netizen, termasuk segelintir yang kurang senang dengan penglibatan Umairah kerana menganggap penyanyi itu masih kurang berpengalaman.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain