suria

Kemenangan 'Bahagiamu Deritaku' Bukti Kehebatan LY

Ly (lima dari kiri) bersama isterinya Baiduri bersama barisan pemenang AJL28.
Ly (lima dari kiri) bersama isterinya Baiduri bersama barisan pemenang AJL28.

KUALA LUMPUR: Komposer LY bersama isterinya iaitu penulis lirik Baiduri menganggap kemenangan lagu Bahagiamu Deritaku pada Anugerah Juara Lagu 28 (AJL28) sebagai hadiah apabila mereka membuat kemunculan semula dalam industri muzik tanah air selepas hampir tujuh tahun.

LY atau nama sebenar Rozman Shafie, 52, berkata, formula yang digunakan dengan membuat kajian dan menggabungkan muzik lama dan baru untuk lagu tersebut dilihat berhasil.

"Kami sudah berhenti buat lagu sejak 2006 kerana saya sibuk dengan kerja saya sebagai nazir di Kementerian Pendidikan Malaysia yang memerlukan saya untuk melawat sekolah ke sekolah seluruh Malaysia.

"Namun ketika diminta cipta lagu untuk Hafiz kami buat kajian tentang tren muzik sekarang kerana saya tahu muzik zaman saya dahulu sudah tidak lagi sesuai, jadi saya gabungkannya hingga terhasil lagu ini," katanya pada sidang media Anugerah Juara Lagu ke28, di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, Ahad.

Dalam acara berprestij itu, pemenang Juara Lagu, AJL28 berkongsi hadiah sebanyak RM35,000.

Manakala Hafiz yang turut memenangi Persembahan Terbaik yang melayakkan dia memenangi RM10,000.

Dalam pada itu, LY berkata, dia juga agak tertekan dalam menghasilkan lagu untuk Hafiz berikutan rekod cemerlang lagu-lagu penyanyi itu sebelum ini.

Biarpun begitu, dia mengakui bertuah apabila lagu tersebut dapat di sampaikan dengan baik sehingga mampu memberi kesan kepada pendengar.

"Pada asalnya pihak Astro minta kami lagu dan saya beri empat buah lagu, namun selepas mereka beritahu bahawa lagu tersebut untuk Hafiz, saya tarik semula empat lagu itu.

"Susah juga untuk mencari yang terbaik kerana kita tahu lagu-lagu Hafiz sebelum ini semuanya hebat,

"Selepas lagu ini siap dan ketika proses rakaman saya dapat rasakan aura dan kesedihan lagu ini sampai ke hati melalui suara Hafiz," katanya.

Pasangan LY dan Baiduri sebelum ini terkenal dengan lagu Mengapa nyanyian Nicky Astria, Setiaku Korbankan nyanyian Fauziah Latiff dan Aku Cinta Padamu nyanyian Siti Nurhaliza.

Sementara itu, Baiduri atau nama sebenarnya Norahayati Hashim, 51, berkata, lirik lagu Bahagiamu Deritaku dicipta melalui pengalaman percintaan yang biasa dilalui oleh setiap manusia.

"Lirik lagu tersebut mudah diingati dan menyentuh hati pendengar terutamanya yang turut melalui pengalaman kisah cinta sebegitu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain