suria

Ruminah Sidek Bawa Semangat Lakonan Era P.Ramlee

Mak Mah bersama pelakon Zalif Sidek
Mak Mah bersama pelakon Zalif Sidek

PETALING JAYA: Pengarah filem Jangan Pandang Belakang Boleh? Ismail Bob Hasim menganggap penglibatan pelakon veteran Ruminah Sidek dalam filem-filem arahannya dapat membawa aura tersendiri.

Bob berkata, Ruminah atau lebih dikenali sebagai Mak Mah membawa semangat lakonan ketika era Seniman Agong Tan Sri P.Ramlee.

"Bekerja dengan Mak Mah sangat mudah dan dia seorang yang profesional ketika di set penggambaran.

"Saya dapat rasakan semangat dan aura yang ada dalam setiap lakonannya, malah ketika di set dia sentiasa memberi kami gambaran dan semangat pada era zaman Tan Sri P.Ramlee," katanya kepada mStar Online.

Tambah Bob, tenaga dan sikap pelakon veteran tersebut juga memberi motivasi kepada pelakon-pelakon muda yang berlakon dengannya.

katanya, biarpun sudah berusia 68 tahun, Mak Mah masih mampu memberi lakonan yang bertenaga terutamanya ketika babak yang memerlukannya berlawan.

"Dia tidak pernah berkata tidak boleh untuk mana-mana babak, malah dia sendiri bagi lebih daripada yang kita minta.

"Sikap Mak Mah di set memberi motivasi kepada pelakon baru yang turut belakon dengannya, namun ada juga ketikanya Mak Mah menegur pelakon baru yang bersikap sombong dengannya," katanya.

Sementara itu, katanya, Mak Mah yang membawa watak sebagai Opah menjadi tunjang kepada filem Jangan Pandang Belakang Boleh? yang merupakan parodi kepada filem Jangan Pandang Belakang.

Dia yakin penglibatan Mak Mah dalam filem parodi ini mampu menarik penonton untuk datang menyaksikan filem yang akan disiarkan di seluruh pawagam tanah air bermula 31 Januari ini.

Filem ini turut dibintangi oleh Zalif Sidek, Shima Anuar, Epy Kodiang, Adibah Yunus dan Kazaruddin.

Artikel Berikut

Artikel Lain