suria

Ustaz Don Kongsi Gambar Anak Di FB

Ustaz Don berkongsi gambar anaknya yang diambil pada majlis konvokesyen isterinya.
Ustaz Don berkongsi gambar anaknya yang diambil pada majlis konvokesyen isterinya.

PETALING JAYA: Pendakwah selebriti, Ustaz Don atau nama sebenarnya, Don Daniyal Don Biyajid, 30, buat pertama kalinya berkongsi gambar anak lelakinya, Don Mustofa dengan peminat.

Gambar tersebut yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya dirakam pada majlis konvokesyen isterinya, Husna Mohd Zahry, 26 yang baru menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Kaherah, Mesir.

Bagaimanapun gambar anaknya itu tidak beberapa jelas kelihatan.

Dalam status itu, Ustaz Don turut menyatakan rasa bahagia kerana meraikan tiga detik istimewa pada bulan ini.

"Kebahagiaan berganda Januari. Don Jr selamat dilahirkan, sambutan hari lahir isteri selang sehari selepas bersalin dan isteri tamat pengajian perubatan (konvo)," tulisnya dalam laman sosial itu.

Sementara itu, beliau turut berkongsi beberapa video berbentuk tunjuk ajar, nasihat dan kemudian mencukur rambut anaknya itu sambil berselawat bersama-sama isteri dan rakan-rakan.

Terdahulu, Ustaz Don memaklumkan Husna selamat bersalin pada pukul 4.25 petang Sabtu lalu (waktu Mesir) menerusi laman Facebooknya.

Bagaimanapun, dalam status itu, Ustaz Don tidak menyatakan jantina dan nama bayi berkenaan sebaliknya hanya memberitahu bayinya dilahirkan dengan berat 3.5 kilogram.

Ahli keluarga Ustaz Don memberitahu mStar Online, isteri personaliti tersebut selamat melahirkan bayi lelaki dalam keadaan normal yang diberi nama Don Mustofa.

Pasangan itu bernikah pada 23 Ogos 2012.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain