suria

Pembantu perubatan baru bertugas tak tahan emosi berdepan mangsa kemalangan, ibunya dah meninggal tapi masih diajar mengucap

Nazirul komited menjalankan amanah sebagai seorang pegawai perubatan.

MENJADI individu yang tugasnya cuba menyelamatkan nyawa orang lain bukanlah sesuatu yang mudah.

Mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran yang turut menguji ketahanan mental juga emosi.

Namun bagi Nazirul Othman, 28, apa pun cabaran yang dihadapi, dia tetap akan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pembantu perubatan dengan sebaik mungkin.

ARTIKEL BERKAITAN : Gadis ini ‘ngam’ dengan 3 adik beradik tiri sebaya usia... belajar bersama, kerja sebumbung - “Kami dilahirkan empat mama berbeza”

ARTIKEL BERKAITAN : Isteri pertama minta suami carikan seorang madu sebagai peneman, reda akhirnya dapat 3 orang - “Wife kedua BFF saya”

Terdahulu tular sebuah video yang dikongsikan Nazirul mengenai seorang pesakit psikiatri terperangkap dalam sungai, yang dibantu bersama seorang lagi individu lain.

Menceritakan mengenai video berkenaan, Nazirul yang bekerja di Klinik Kesihatan Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata, kejadian berlaku pada awal Disember lalu ketika dia bertugas on-call untuk kes kecemasan.



OKU yang ditemui di sebatang sungai di Kuala Pilah.

Menurut Nazirul, mereka menerima panggilan daripada Medical Emergency Coordination Centre mengenai seorang lelaki kurang upaya yang mendakwa dirinya diletakkan dalam sungai dan sudah beberapa hari tidak dapat keluar dari situ..

"Saya dan ambulans bergegas ke tempat kejadian, masa tu ada seorang lelaki dalam keadaan duduk dalam anak sungai tersebut... sungai tu cetek je, kaki dia terendam tapi badan tak.

"Mangsa tak berpakaian dan tanpa identiti, dia boleh bercakap tapi tak boleh bergerak, kaki dah kejang.

"Saya dan pemandu angkat pesakit bawa ke atas dan masuk dalam ambulans, masa dalam perjalanan ke hospital saya sempat tanya soalan... dia mendakwa yang dia seorang pesakit psiakiatri yang pernah beberapa kali masuk ke wad untuk dapatkan rawatan.

"Bila saya tanya macam mana ada dekat situ, dia kata ada orang yang letak, dia tak kenal siapa," katanya, sambil menambah pesakit kemudian dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut dan kes tersebut kini disiasat polis.



Nazirul perlu sentiasa bersedia untuk memberi respons kepada kes kecemasan.

Namun bagi Nazirul, peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan apabila dia memberi respons kepada kes kemalangan melibatkan seorang pemuda dengan ibunya.

"Masa tu saya baru-baru kerja, dalam tahun kedua servis.

"Dalam kereta tu ada pemandu dan ibunya, masa saya sampai si anak sedang memeluk si ibu sambil ajar mengucap, bila pihak bomba dah keluarkan ibunya saya pun buat pemeriksaan dan mendapati wanita itu telah meninggal dunia.

"Saat menyayat hati tu bila anaknya tanya pada saya macam mana dan saya kena beritahu pada dia yang ibunya telah meninggal dunia dan cuba tenangkan dia," katanya.

Pemuda berkenaan meraung sambil memeluk ibunya selepas dimaklumkan bahawa insan kesayangannya itu telah tiada.



Nazirul bersama isteri dan anak-anaknya.

Nazirul yang mempunyai dua cahaya mata perempuan berusia lima dan dua tahun berkata, selain berdepan dengan kes-kes seperti ini, mereka juga terpaksa bekerja lebih masa selain perlu sentiasa bersedia sekiranya diperlukan.

"Setiap bidang pekerjaan ada cabaran tertentu, pada saya lebih kepada cabaran dari segi masa contohnya sejak Covid-19 melanda negara, kami harus bekerja lebih masa dan sentiasa bersedia untuk dipanggil bertugas sama ada untuk mengambil ujian swab, menghantar pesakit positif ke hospital atau pusat kuarantin dan sebagainya selain tugas on call yang memang perlu standby untuk kes-kes kecemasan selepas waktu pejabat.

"Tapi saya percaya bahawa pekerjaan itu adalah amanah dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan baik selain menjadi sumber rezeki saya sekeluarga.

"Sejak Covid-19 melanda juga kita dapat lihat ramai orang yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, saya bersyukur walaupun menghadapi pelbagai cabaran, saya masih memiliki sumber pendapatan," kongsinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain