suria

Bebelan yang dirindu... calon SPM buat ramai sebak ‘layan’ himpunan ‘voice notes’ arwah ibunya - “Kalau dengar memang menangis’’

Ibu Haikal meninggal dunia pada Ogos tahun lalu.

PERIT di hati, tak siapa mampu mengerti.

Bagi si bongsu ini, pemergian ibunya, Sawariah Hasan pada 24 Ogos tahun lalu akibat jangkitan Covid-19 cukup memberi kesan mendalam buat dirinya.

Lebih pilu, Muhammad Haikal Burandin, 18, sedang dikuarantin ketika ibunya dijemput Ilahi, sekali gus membuatkan dia terpaksa melalui badai emosi yang tidak berkesudahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemain gitar tersepit antara suka dan duka... bapa meninggal pada hari lahir ke-21, video pula dapat 10 juta tontonan - “Perasaan macam roller coaster”

ARTIKEL BERKAITAN: Anak hilang kekuatan, ibu meninggal selepas 13 tahun tanggung 5 penyakit... hanya pusara pengubat rindu! - “Dari rumah boleh nampak kubur mak ayah”

"Mak meninggal dunia pada umur 52 tahun. Ketika itu, hanya saya dan mak yang dijangkiti Covid-19. Tapi, kami tak tahu dari mana punca jangkitannya.

"Saya dikuarantin di rumah manakala mak di hospital kerana dijangkiti Covid-19 tahap empat. Mak memang dah ada sakit darah tinggi dan kencing manis.

"Mak meninggal ketika saya sedang dikuarantin di rumah. Nak tengok jenazah dari jauh pun tak boleh," imbasnya sebak.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, dia reda dengan pemergian ibunya, namun 1001 kenangan yang diukir akan tersemat dalam jiwa buat selamanya.

Kini, hanya rakaman suara arwah yang menjadi pengubat rindu untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu dalam menghadapi hari-hari mendatang.

haikal 3

Haikal bersama arwah ibunya.

"Memang ambil masa untuk biasakan diri tanpa mak. Dulu selalu tengok setiap hari. Saya rindu nak dengar mak membebel. Mak selalu membebel sebab saya datang lambat setiap kali dipanggil. Dia juga membebel kerana saya suka main game.

"Sejujurnya saya rindu. Dalam seminggu, dua kali saya akan ke kubur. Selain itu, setiap hari saya akan dengar voice notes yang dihantar oleh mak menerusi WhatsApp.

"Bila dengar suaranya, rasa macam dia ada lagi berdekatan saya. Kalau dengar ketika sendirian, memang akan menangis. Bila berada depan orang, saya akan tahan sedih.

Mak tak suka pakai telefon yang menggunakan touch screen, disebabkan itulah dia banyak hantar voice note.

HAIKAL

"Mak dulu pakai telefon biasa saja, sejak tahun lepas mak baru belajar guna telefon pintar. Mak tak suka pakai telefon yang menggunakan touch screen, disebabkan itulah dia banyak hantar voice note," ujar Haikal yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Haikal turut berkongsi video memaparkan rakaman suara ibunya menerusi TikTok sehingga ia meraih 1.1 juta tontonan.

"Saya tak jangka langsung video itu akan meraih perhatian ramai. Saya kongsi untuk simpan sebagai kenangan saja.

"Saya juga terharu kerana ramai yang doakan mak. Walaupun saling tak kenal, cara mereka komen macam kami rapat dan dah lama kenal," ujar Haikal sebak.

haikal5

Haikal bakal menduduki SPM tidak lama lagi.

Menurut Haikal, dia juga akan melakukan yang terbaik dalam peperiksaan SPM yang dijangka diadakan Mac ini sebagaimana pesan ibunya.

"Mak juga ada pesan untuk SPM. Dia kata, buat elok-elok. Mak minta supaya saya percaya dengan apa yang saya lakukan," ujarnya lagi.

Untuk rekod, setakat 4 Januari, Malaysia sudah merekodkan 2,769,886 kes Covid-19 dengan 31,591 kes kematian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain