suria

Jual macam-macam nak ringankan beban suami tapi gagal, rezeki terbuka luas selepas tinggalkan komen di IG artis

Amira merayu kepada orang ramai membeli almond clusternya.

PANDEMIK Covid-19 yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memaksa rakyat Malaysia hidup dalam keadaan berkurung selama hampir dua tahun sebelum ini menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan.

Selain mencari kerja baharu pelbagai usaha lain terpaksa dilakukan demi kelangsungan hidup dan antara cara yang sering menjadi pilihan adalah menjual makanan secara kecil kecilan.

Namun mencari pelanggan bukanlah satu tugas yang mudah terutama sekali bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman berniaga.

ARTIKEL BERKAITAN : Selalu lalu sampai ‘berkenan’! Ibu tangguh hasrat beli kereta baharu demi hantar anak ke sekolah antarabangsa

ARTIKEL BERKAITAN : Gadis ini ‘ngam’ dengan 3 adik beradik tiri sebaya usia... belajar bersama, kerja sebumbung - “Kami dilahirkan empat mama berbeza”

Sebelum ini tular sebuah video perkongsian @rabiatul1598 yang berkongsi tangkap layar komen seorang perniaga wanita yang merayu orang ramai membeli biskut almond cluster yang dijualnya bagi membantu meringankan beban suaminya.

Bercakap kepada mStar, wanita itu yang hanya ingin dikenali sebagai Amira, 27, berkata dia baru sahaja berkahwin tahun lepas apabila negara tiba-tiba diletakkan di bawah PKP.

Akibatnya, pendapatan suami Amira yang pada ketika itu bekerja di sebuah kilang di Selangor mula terjejas.

"Bayangkan dia pernah dapat RM600 je, paling tinggai dia dapat RM900, nak bayar sewa pun tak mampu," katanya, yang kini menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Ingin turut sama membantu suaminya, Amira mencuba nasib dalam bidang perniagaan.

"Macam-macam saya berniaga masa PKP, kejap ada order, kejap tak, saya berniaga cheesekut, lepas tu donat DY dan macam-macam lagi.

"Sehinggalah masa nak raya tahun lepas saya buat biskut almond cluster dekat rumah mak mentua dan kakak ipar saya suka dia order... dari situ muncul idea untuk menjual almond cluster ini," katanya.

Namun Amira mengakui bahawa dirinya juga tidak terlepas daripada menerima ujian ketika mula berniaga.

"Masa mula-mula memang susah, tambah pula saya mengandung. Jadi saya fikir macam mana nak teruskan hidup dengan gaji suami saya macam tu, saya nak buka bisnes PKP pula.

"Memang banyak dugaan saya, jadi ada pelanggan yang cadangkan saya tinggalkan komen dekat IG artis, jadi saya buat, tak sangka ada orang screenshot. Komen tu komen lama, dia baru viralkan.

"Sejak tu ramai orang WhatsApp saya termasuk pelanggan yang lama, beritahu yang saya viral dekat TikTok sedangkan masa tu saya tak main TikTok," katanya, yang sedang menunggu masa untuk bersalin.

Menurut Amira, dia melakukan kajian terlebih dahulu tentang cara-cara untuk memastikan biskut coklatnya itu tidak cair, justeru timbullah idea untuk membungkus almond cluster yang sudah siap dalam plastik yang lebih kecil.

"Pelanggan saya cakap mereka suka packaging sebab senang nak bawa travel, saya pos ada yang sampai ke Singapura," katanya.

Kini, Amira berkata, perniagaannya berjalan lancar dan dia kadangkala tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan yang diterima.

"Sekarang saya dah ada ejen, dropshop, tapi masih jauh perjalanan bisnes saya. Saya tak sangka ramai akan WhatsApp... dari tujuh ke lapan kilogram, bila dah viral ni tak menang tangan.

"Tapi saya nak jelaskan yang komen itu komen lama, saya tak nak orang beli sebab kesian, saya tak minta untuk viral, kalau boleh support saya sesama orang Malaysia je sebab setakat ini saya dah senang sikit Allah bagi rezeki yang mencukupi," katanya.

Dia turut berterima kasih kepada pelanggannya yang telah banyak membantu menaikkan perniagaan kecil kecilannya.

"Pokok pangkalnya memang pelanggan yang banyak tolong naikkan nama saya, saya bersyukur sangat, mereka yang tolong promote pada jiran-jiran sampai ada yang beli 10 balang untuk agih pada jiran tetangga.

"Saya sendiri tak sangka saya boleh bertahan, tapi memang ada masa bila kita tak dapat order kita akan down," katanya.

Kini, suami dan keluarga Amira merupakan antara tulang belakang yang membantunya untuk menyiapkan tempahan.

Selain almond cluster, Amira turut menjual chocojar.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain