suria

Terpikat dengan lelaki OKU, kini dah pun jadi suami... isteri jual produk herba demi ‘mata batu’ - “Nampak sikit senget, ingatkan tanda lahir”

Gambar kiri menunjukkan keadaan mata suami Norfasarina yang memakai bola mata palsu, sementara foto kanan memaparkan Norfasarina bersama suami.

BERAT ujian yang menimpa oleh seorang wanita apabila kehidupannya bersuamikan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan.

Namun, dia menerima suratan takdir kerana jatuh hati dengan suaminya yang mempunyai kekurangan itu sebelum mendirikan rumah tangga.

Kisah pasangan suami isteri itu dikongsi menerusi aplikasi TikTok, menunjukkan perjalanan suaminya yang memakai prostesis bola mata (bola mata palsu).

ARTIKEL BERKAITAN: Surat tawaran dah terima, OKU penglihatan harap ada yang sudi bantu... kalau ada rezeki dapatlah sambung PhD - "Semangat saya begitu membara"

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda OKU kerja lebih ketika PKP, tak menang tangan terima tempahan - "Kalau ada yang cancel beli, kami faham..."

Wanita berkenaan, Norfasarina Rahmat, 29, berkata, mereka berkahwin pada 2015 selepas mengenali hati budi masing-masing bermula dari rakan sekerja.



Suami Norfasarina sebelum terlibat dalam kemalangan yang merosakkan mata kanannya.

Norfasarina memberitahu, suaminya yang berusia 33 tahun mengalami kecacatan pada mata kanan selepas terlibat dengan kemalangan membabitkan motosikal kira-kira 10 tahun lalu.

"Mula-mula kenal, saya tak tahu dia OKU sebab keperibadian dan penampilannya lebih terserlah. Memang nampak ada sedikit senget pada matanya, tapi ingatkan ia tanda lahir.

"Selepas dua bulan kami rapat, baru saya tahu pasal mata dia yang sebenar. Tapi saya tetap tidak memandangnya seperti OKU kerana hati budinya buat saya terpikat. Alhamdulillah, hidup saya bahagia di samping suami," katanya kepada mStar.



Suami Norfasarina ketika menjalani rawatan.

Norfasarina berkata, dia pernah bertugas sebagai penyelia landskap di Kuala Lumpur dan kini mengusahakan bisnes dengan menjual produk herba secara kecil-kecilan.

"Saya memulakan bisnes sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama pada awal 2020. Suami pula bekerja sebagai petugas kawalan serangga perosak.

"Purata jualan produk herba saya mencatatkan RM4,000 sebulan. Untung bersih mungkin tak banyak, tapi cukup untuk kami berdua kerana suami juga bekerja," ujarnya berasal dari Gombak, Selangor.

Ramai lagi orang yang kurang bernasib baik yang perlu diberikan bantuan, kami masih boleh mencari rezeki

NORFASARINA RAHMAT

Wanita itu bagaimanapun meluahkan kesulitan yang dihadapi oleh suaminya yang kini terpaksa menggunakan mata palsu dalam keadaan yang tidak selesa.

"Bahagian mata kanan suami saya tu masih mengeluarkan air mata sehingga menyebabkan 'mata batu' (bola mata palsu) dia semakin terhakis.

"Ia menyebabkan rasa tidak selesa apabila saiz mata palsu semakin kecil dan mulai terasa sejak 2019. Suami pernah tukar 'mata batu' yang murah tapi tidak sesuai," katanya.



Norfasarina (kanan) dan suami mendirikan rumah tangga pada 2015.

Sehubungan itu, Norfasarina berkata, suaminya memerlukan sebiji mata palsu baharu yang bersesuaian dengan kos dianggarkan antara RM4,000 dan RM5,000.

"Bukannya kami tidak bekerja atau tak ada duit langsung, cuma kos mata palsu baru agak tinggi buat kami yang hidup cukup-cukup makan.

"Tapi kami tidak mengharapkan sumbangan atau tajaan bagi membiayai mata palsu suami saya tapi kami mahu usaha sendiri. Ramai lagi orang yang kurang bernasib baik yang perlu diberikan bantuan, kami masih boleh mencari rezeki," ujarnya.

Menurut Norfasarina, apa yang diharapkannya adalah supaya bisnes produk herba bertambah maju dan menjana lebih pendapatan untuk memenuhi hasrat suaminya.

"Saya amat berharap rezeki kami dimurahkan bagi membantu dia menggantikan 'mata batu' yang baru. Moga lebih ramai yang membantu menyokong bisnes saya," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain