suria

Ryzal Duriankimchi ‘hati tisu’ dapat kejutan Maryam hamil... tekaan Fauziah Nawi tepat! – “Mula-mula tak percaya sebab selalu terkena”

Ryzal (kiri) mengesatkan air mata ketika menerima kejutan mengenai kehamilan Maryam. Gambar kecil menunjukkan Maryam membuat pemeriksaan pada kit ujian kehamilan.

SIAPA sangka di sebalik perwatakan ceria dan lucu pasangan Instafamous yang merupakan suami-isteri Malaysia dan Korea Selatan, rupa-rupanya mereka 'hati tisu'.

Buktinya, popular dengan gelaran Ryzal 'Duriankimchi', Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim menitiskan air mata ketika menerima berita mengejut mengenai isterinya, Maryam You Narae berbadan dua.

Berita gembira itu turut dikongsikan pasangan tersebut menerusi laman Instagram Duriankimchi, pagi Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ryzal Duriankimchi buat hal, kain baju kurung Maryam dibuat samping ke majlis nikah - "Terfikir nanti orang cakap tak betul"

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 3 bulan balik Malaysia, Ryzal Duriankimchi perjelas kenapa masih tak balik Kelantan selepas nikah di Korea Selatan - "Rindu nak cium tangan mama"

Menerusi video berdurasi lebih lima minit itu, Nik Muhammad Ryzal yang lebih dikenali sebagai Ryzal beberapa kali mengesat air matanya.

"Maryam hamil tiga bulan! Syukur alhamdulillah, akhirnya Ryzal dan Maryam bakal menimang cahaya mata setelah dua tahun kami bernikah.

"Terima kasih Allah atas anugerah yang paling berharga dalam hidup kami. Duriankimchi Junior bakal menyusul. Kami akan update dari masa ke semasa setelah buat pemeriksaan nanti," tulis pasangan itu di laman sosial.



Maryam (kiri) dan Ryzal mendirikan rumah tangga pada 2019.

Bercakap kepada mStar, Ryzal berkata, dia sama sekali tidak menyangka menerima berita mengejut itu setelah bernikah pada Ogos 2019.

"Setelah dua tahun berkahwin, tak terfikir dapat anak (zuriat). Tapi bila dapat tahu, rasa macam tak percaya, sebab gembira dan nak menangis.

"Tapi sebab masa tu dalam kereta dan ada orang ramai di luar lalu lalang, saya cuba kawal perasaan tu," ujar pemuda berusia 28 tahun itu ketika dihubungi sambil menambah video tersebut dirakamkan lebih awal ketika kejutan dibuat Maryam terhadapnya.

Setelah dua tahun berkahwin, tak terfikir dapat anak (zuriat). Tapi bila dapat tahu, rasa macam tak percaya, sebab gembira dan nak menangis

NIK MUHAMMAD RYZAL NIK IBRAHIM

Ryzal berkata, dia juga pada mulanya sukar mempercayai berita gembira itu kerana sering kali menjadi bahan gurauan atau prank oleh Maryam, 28.

"Mula-mula macam tak percaya sebab selalu terkena dengan Maryam. Cuma kali ini Maryam nampak betul-betul serius, jadi saya percayakan dia.

"Tapi masa tu Maryam cuma cakap, kena tunggu balik rumah untuk tunjuk keputusan menerusi kit ujian kehamilan. Nasib baik dah dekat dengan rumah, 10 minit juga tunggu keputusan 'rasmi' daripada Maryam. Syukur alhamdulillah," ujarnya dengan nada teruja.



Berita kehamilan Maryam turut dikongsikan di laman instagram Duriankimchi.

Sementara itu, Maryam turut mengucapkan kesyukurannya kerana disahkan hamil tiga bulan.

Berikutan kehamilan itu, jelasnya, terdapat perubahan pada fizikalnya yang bertambah berat badan sebanyak dua kilogram.

Namun, dia turut terkejut dengan tekaan pelakon veteran, Fauziah Nawi yang mesra dengan panggilan Ibu kerana dapat meneka dirinya sedang berbadan dua ketika mereka bersama-sama menjadi tetamu jemputan dalam sebuah program TV.

"Syukur gembira sangat. Tapi saya benar-benar terkejut bila Ibu cakap macam tu. Memang muka terkejut tapi saya diam saja, tak beritahu Ibu," ujarnya secara berseloroh.



Ryzal (kanan) dan Maryam bakal menimang cahaya mata sulung. foto ihsan Ryzal Duriankimchi

Baru-baru ini, Fauziah Nawi dan Maryam menjadi tetamu jemputan bagi salah satu episod program Punchline DAC musim kedua di saluran Astro Warna yang dihoskan oleh pengacara, Datuk AC Mizal.

Menerusi program itu, Fauziah Nawi pada awalnya hanya menjawab soalan hos mengenai tips menurunkan berat badan sebelum AC Mizal menyakat dan menegur Maryam yang kononnya kelihatan berisi.

"Dia gemuk lain, dia gemuk ada bendalah," ujar Fauziah Nawi yang secara spontan merujuk Maryam berkemungkinan sedang hamil.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain