suria

Tak sampai hati, si ibu tetap jamu anak lauk ayam ada darah... esoknya kalut ke hospital - “Paling takut kuman masuk dalam salur darah ”

Dr Ahmad Luqman berkongsi kisah seorang kanak-kanak yang keracunan makanan gara-gara ayam yang dimasak tak sempurna. (Gambar Hiasan)

SEBUT sahaja mengenai ayam, pastinya pelbagai juadah dan menu menyelerakan mula terbayang di fikiran.

Namun, banyak kes keracunan makanan berlaku disebabkan ayam yang tidak dimasak dengan sempurna.

Terbaharu, Dr Ahmad Luqman Bukhari turut berkongsi kisah keracunan makanan melibatkan seorang kanak-kanak menerusi laman Twitter miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu hamil muntah sampai mata merah berair, puas doktor siasat baru tahu puncanya dari kenikmatan roti telur goyang - “Suami pun kena belajar ilmu”

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu kongsi video di TikTok, doktor perjelas hanya ambil masa seminit siapkan satu video - “Ada orang tanya, saya ni tak ada kerja ke?”

Imbas Dr Ahmad Luqman, kanak-kanak itu kelihatan lemah apabila dibawa untuk menerima rawatan oleh ibu bapanya.

"Remuk hati melihat betapa lemahnya keadaan badan si kecil tu. Langsung tak bermaya. Kedua belah mata pun mencengkung. Dehydrated teruk.

"Mana taknya, sejak pagi tadi dah berbelas kali muntah dan cirit birit. Sampai je kat hospital, jarum branula terpaksa dimasukkan ke saluran darah di kedua-dua belah lengan untuk proses rawatan kecemasan," ujarnya.

Perkongsian Dr Ahmad Luqman meraih ribuan perkongsian di media sosial.

Perbualan dengan si ibu akhirnya membongkar kisah mengenai nasi ayam yang dibawa pulang dari tempat kerja, sehari sebelum kejadian itu.

Kata Dr Ahmad Luqman, wanita itu tidak sampai hati untuk menolak permintaan si anak, lalu memberikan juadah itu biarpun menyedari ada bahagian daging yang masih merah.

"Sebenarnya doktor, malam semalam saya ada suapkan nasi ayam yang saya bawa balik dari tempat kerja.

Pernah tau berlaku kes keracunan teruk sampai akibatkan kematian.

DR AHMAD LUQMAN

"Silap saya. Mula-mula lagi saya perasan ada kesan darah pada bahagian sendi tulang ayam tu. Daging pun agak kemerahan, macam tak cukup masak.

"Tapi dia beria mintak nak rasa, tak sampai hati saya nak tolak. Itu yang berikan jugak sikit.

"Si ayah tiba-tiba bersuara. Jelas ternampak raut kesal di wajahnya," kata wanita itu sebagaimana diceritakan semula oleh Dr Ahmad Luqman.

Posting tular di Twitter.

Dalam perkongsian sama, Dr Ahmad Luqman berkata, darah yang masih ada pada ayam membuka ruang kepada proses pembiakan kuman.

Biarpun kesannya tidak serius, ia berbahaya untuk kanak-kanak kecil sehingga boleh membawa maut.

"Selalu sangat kes kanak-kanak keracunan makanan ni berlaku. Sebahagiannya berpunca dari ayam yang tak dimasak sempurna.

"Memang patut pun sebab darah yang masih ada pada ayam tu jadi medium yang sesuai untuk kuman membiak. Kalau yang termakan tu kita yang ada imuniti kuat mungkin setakat dapat perut cramp, muntah dan cirit birit. Boleh jadi kesannya tak berapa serius.

Darah yang masih ada pada ayam membuka ruang kepada proses pembiakan kuman. (Gambar Hiasan)

"Tapi sangat bahaya untuk anak kecil. Paling kita takut bila kuman tadi masuk ke dalam salur darah anak dan merebak ke seluruh tubuh (bacteremia).

"Pernah berlaku kes keracunan teruk sampai akibatkan kematian. Sebab tu mak ayah tolong periksa betul-betul setiap makanan anak," jelasnya.

Kata Dr Ahmad Luqman, antara tanda-tanda ayam tidak masak termasuklah baunya yang hanyir, berlendir, tekstur daging berbeza daripada biasa, suhu daging yang lebih sejuk, dan kesan darah pada tulang serta daging yang masih merah.

Posting di Twitter Dr Ahmad Luqman sehingga kini meraih hampir 12,000 ulang kicau (Retweet).

Untuk rekod, Dr Ahmad Luqman merupakan doktor perubatan di Hospital Tunku Ja'afar, Seremban, Negeri Sembilan.

Selain Twitter, beliau turut berkongsi pelbagai info kesihatan bermanfaat menerusi saluran Facebook, Telegram dan Twitter.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain