suria

“Saya tak akan lupa sampai mati” - Dari bujang sampai dapat anak, abang suka sangat ‘memberi’... terbaharu adik sebak baca mesej ‘duit Tabung Haji’ arwah mak

Paparan skrin mesej antara Nurlia dengan abangnya yang dikongsi di Facebook. (Gambar Hiasan)

ANAK sulung biasanya memikul tanggungjawab yang besar dalam keluarga.

Malah, anak pertama juga pastinya menjadi ikutan dan tauladan buat adik-beradik yang lain sepanjang dibesarkan bersama sehinggalah ke usia tua.

Terbaharu, perkongsian seorang wanita dikenali sebagai Nurlia Mohd Nor mengenai abang sulungnya mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sukar meluahkan, akhirnya pendam je” - Realiti hidup anak sulung, ramai dedah kisah sepanjang dibesarkan... ada kata manja, tak cukup kasih sayang

ARTIKEL BERKAITAN: Surprise sempena hari lahir... mesej anak sulung buat ibu bapa meruntun jiwa ramai - “Kalau boleh saya tak nak kahwin”

Menurut Nurlia yang mesra disapa Ya dalam kalangan ahli keluarganya, perkongsian itu dibuat sekadar mengimbau jasa abangnya suatu masa lalu.

Antara yang tidak boleh dilupakan, abangnya tidak pernah jemu menghulurkan duit sejak dia bergelar pelajar, mendirikan rumah tangga sehinggalah dikurniakan cahaya mata kembar.

Bagi persiapan kahwin, abangnya memberikan wang belanja RM3,000 sebelum ditambah lebih RM1,000 untuk membeli keperluan rumah pula.

"Apa yang saya ingat bila dapat duit tu saya beli peti sejuk satu pintu dengan harga RM400 pada waktu itu, meja makan, kipas, dapur dan kabinet.

Kata wanita itu, abang sulungnya turut memberi wang untuk persiapan majlis kahwinnya. (Gambar Hiasan)

"Syukurlah waktu bujang suami dah beli rumah. Dengan barang-barang itulah dan tambahan barang yang encik suami beli, kami suami-isteri mulakan kehidupan berumahtangga di rumah kami yang kecil molek," ujarnya.

Menurut Nurlia, dia cuba memohon pekerjaan selepas berkahwin namun rezeki tidak menyebelahinya.

Tambahnya, kewangan juga agak goyah di awal perkahwinan, ditambah pula dengan kelahiran anak kembar pada waktu itu.

Namun kata Nurlia, dia bersyukur apabila abang sulungnya itu tidak putus-putus menghulurkan sumbangan buat dia sekeluarga.

Ingat kenangan waktu membesar bersama, pesanan orang tua agar hubungan dan ikatan ini akan berkekalan sampai ke syurga.

NURLIA MOHD NOR

"Waktu dapat tahu saya mengandungkan anak kembar, Long ajak kami pergi Aeon. Long agaknya excited sebab kembar kan.

"Long belikan baby cot. Dalam RM500 juga harganya. Tu belum bab beli mainan dan sebagainya selepas si kembar lahir.

"Bila si kembar lahir, waktu tu di Hospital Taiping, Long hulur RM500 untuk duit operation dan perbelanjaan hospital. Ni semua bukan saya yang minta. Tapi semua ni Long bagi dengan ikhlas.

"Setiap kali Long hulur, mesti dia akan kata... kamu ambil ni. Semua yang Long bagi selama ni kamu tak payah nak bayar balik. Long bagi ikhlas bantu kamu," luah Nurlia.

Terbaharu, Nurlia turut sebak apabila dia menerima mesej WhatsApp abangnya berhubung wang simpanan dalam akaun Tabung Haji milik arwah ibunya.

Malah, Nurlia turut berkongsi paparan skrin mesej itu di laman Facebook.

Abangnya juga banyak membantu sewaktu Nurlia bergelar pelajar suatu masa lalu.

"Benda-benda ni saya tak akan lupa sampai mati. Semalam bila Long WhatsApp dan inform ni saya jadi sebak.

"Walaupun saya dah hidup berumahtangga selama 16 tahun, dah hidup selesa berbanding di awal perkahwinan, tapi Long tak pernah lupa.

"Terima kasih Long. Dalam hubungan adik beradik ada masa kita happy, ada masa kita sedih dan terasa hati. Semua orang begitu. Itu normal sebab kita bukan manusia yang sempurna.

"Tapi pandanglah adik beradik kita dari satu sisi yang baik, ingat kenangan waktu membesar bersama, pesanan orang tua agar hubungan dan ikatan ini akan berkekalan sampai ke syurga," ujar Nurlia lagi.

Paparan skrin mesej yang dikongsi di Facebook.

Antara coretan lain yang dikongsi termasuklah sikap murah hati lelaki itu sewaktu Nurlia menyambung pengajian di Unversiti Teknologi Mara (UiTM) di Perlis dan Shah Alam, Selangor.

Malah, abangnya juga mahu mengambil tanggungjawab itu dan meminta bapanya agar tidak lagi menghantar wang kepada Nurlia.

"Kalau ikutkan dengan pencen abah sebagai guru cukuplah nak menanggung saya seorang belajar, tapi Long nak bagi juga," ujarnya.

"Masa belajar di UiTM Shah Alam, saya tinggal di rumah Long, bila dapat je bonus Long mesti bagi habuan untuk saya.

"Tu belum lagi bab duit belanja berulang dari rumah di Desa Pandan ke UiTM Shah Alam setiap hari," dedahnya lagi sehingga mengundang pujian ramai netizen atas sikap pemurah abangnya itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain