suria

Berdebar tumpangkan pakcik tua tengah malam, 3 gadis rasa bersalah selepas sedar Allah nak tunjuk sesuatu - “Tergamam kiri kanan jalan tu hutan”

Perkongsian Nafeesya (dua, kanan) mengenai pengalamannya membantu lelaki tua bernama Pakcik Aid menyentuh hati netizen.

WANITA atau gadis mana yang tidak berdebar sekiranya didekati oleh individu yang tidak dikenali secara tiba-tiba.

Lebih menambahkan rasa takut, individu berkenaan merupakan seorang lelaki dan mahu meminta pertolongan.

Dengan kes-kes jenayah yang banyak dilaporkan di media tempatan mahupun antarabanga, sedikit sebanyak pasti timbul perasaan curiga, tambahan pula jika waktu sudah hampir larut malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mudah terima sedekah, Tok Bibah jual botol kosong, barang lusuh cari rezeki... mampu hantar anak angkat masuk universiti!

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ebit menangis lagi! Kali ini kerana bantu keluarga daif ‘jauh dalam kebun getah’ - “Sehari mereka di sini dosa buat saya yang tidur lena”

Itulah yang dialami oleh seorang gadis sebagaimana yang dikongsikan di Twitter, baru-baru ini.

Mengimbas kembali peristiwa mendebarkan yang berlaku pada malam Selasa lalu, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Nafeesya ini berkata, ketika itu dia baru menjemput dua rakannya di Terminal Amanjaya, Ipoh, Perak.



Nafeesya dan rakan-rakannya tidak menyangka lelaki berkenaan tinggal seorang diri di dalam kawasan 'hutan' dan gelap.

"Masa tu dah lebih kurang pukul 11.30 malam. Sebaik sahaja kawan saya tutup pintu kereta, datang seorang pakcik. Saya tanya kenapa, dan dia beritahu mahu minta tolong hantarkan ke rumahnya.

"Mulanya takut dan keberatan juga sebab dah dekat lewat malam tapi saya tak sampai hati. Katanya duit tak ada, anak tak ada. Kesian pula... terbayang pula kalau ayah sendiri yang dalam keadaan seperti itu. Lalu kami pun setuju. Kalau seorang, saya pun tak berani," ujarnya kepada mStar.

Cerita gadis berusia 21 tahun ini, lelaki warga emas berkenaan memaklumkan rumahnya terletak di sebuah kampung di Sungai Siput, di mana ia terletak kira-kira 40 minit dari Ipoh.

Kami tergamam apabila melihat kiri dan kanan jalan itu hutan. Rumah di kawasan kampung tu pula terletak jauh antara satu sama lain. Dia turun dan ucapkan terima kasih.

NAFEESYA

"Saya tak sangka jauh sebab ingatkan dekat kawasan Ipoh saja. Kami risau juga tapi tawakal saja. Dalam pada itu, kami sempat hantar location kepada rakan-rakan dalam grup WhatsApp, sebagai langkah berjaga-jaga.

"Dalam perjalanan pakcik tu cerita, dia telah ditipu dan ditinggalkan di Ipoh dan tak ada wang untuk pulang. Menurut pakcik tu, dia ada enam orang anak, empat lelaki dan dua perempuan. Tapi semuanya sudah berumah tangga.

"Isterinya pula di Hospital Bahagia. Dia kata kalau nak makan dia hanya minta sedekah. Sedih juga. Sepanjang perjalanan ke rumahnya, memang gelap kiri dan kanan. Kami hanya memandu ikut arahan pakcik tu saja," katanya.



Nafeesya mengemas kini setiap perkembangan mengenai bantuan untuk Pakcik Aid di Twitter.

Sehinggalah tiba di satu lokasi, lelaki tua itu meminta Nafeesya memberhentikan kereta.

"Kami tergamam apabila melihat kiri dan kanan jalan itu hutan. Rumah di kawasan kampung tu pula terletak jauh antara satu sama lain. Dia turun dan ucapkan terima kasih.

"Nak hantarkan sampai ke depan rumah, tapi bimbang juga dengan keselamatan sebab kawasan hutan dan gelap... tengah malam pula tu. Terkilan juga. Harap pakcik tu sampai dengan selamat," ceritanya.

Sepanjang perjalanan pulang ke Ipoh, Nafeesya berkata dirinya dihantui rasa bersalah kerana berburuk sangka terhadap lelaki berkenaan.



Ramai netizen tersentuh hati dengan perkongsian Nafeesya dan meluahkan hasrat untuk membantu Pakcik Aid.

"Rupa-rupanya, ada yang Allah nak tunjukkan. Esoknya, ada kawan yang scroll dekat Facebook dan dia dapat maklumat tentang pakcik tu. Namanya Pakcik Aid, dan memang orang susah dan sering mendapat bantuan.

"Bila tahu perkara tu, rasa lega sangat dan bersyukur dapat tolong Pakcik Aid malam tu. Bila saya kongsi kisah ni Twitter, banyak sangat DM masuk dan menyuarakan hasrat nak membantu.

"InsyaAllah, hujung minggu ini saya akan pergi melawat Pakcik Aid dan sampaikan sumbangan orang ramai kepadanya. Terima kasih kepada mereka yang prihatin. Saya akan kongsikan pertemuan itu nanti di Twitter," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain