Peguam kongsi senario tak patut berlaku selepas kematian, kubur masih merah dah berebut harta - “Mereka pilih taat isu faraid, tidak bahagian lain”

Soal kematian tidak dapat dipisahkan dengan isu harta pusaka, di mana ia boleh menjadi punca renggangnya hubungan silaturrahim jika tidak diurus dengan baik. -Gambar hiasan

BILA terjadinya sesuatu kematian, pasti isu harta pusaka akan menjadi salah satu perkara utama yang dibincangkan.

Jangan tidak tahu, harta pusaka bukan saja boleh menyebabkan hubungan adik beradik menjadi renggang, malah menantu dan mentua juga bermasam muka.

Dalam kes yang lebih teruk, ada yang sampai ke tahap ugutan menggunakan senjata berbahaya, kononnya demi menegakkan hak masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tiada siapa menang... mangsa atau tertuduh” - Peguam doakan pesalah kes bunuh 23 nyawa pusat tahfiz insaf ketika di penjara

ARTIKEL BERKAITAN: “Eloklah ada tindakan pemenjaraan dan denda yang tinggi” - Peguam mahu kes tauke nasi kandar sebar wabak Covid-19 jadi iktibar

Terpanggil untuk mengulas isu berkenaan, seorang peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor turut membuat perkongsian menerusi satu posting di Facebook.

"Firma kami selalu juga dirujuk dengan isu berkaitan harta pusaka. Isu ini selalunya sangat sensitif. Kubur masih merah, adik-beradik sudah berebut berharta.

"Soalan selalu saya tanya kepada isteri atau suami yang mendapatkan pandangan, biasanya, 'adik-beradik si mati, waktu hidup ada bertanya khabar? Ada melawat? Kalau minta tolong bila waktu susah, ada membantu?' Saja. Saya ingin tahu.



Ulasan Nor Zabetha mengenai isu harta pusaka yang dikongsikan di Facebook.

"Apa tidaknya, bila berlaku kematian, yang tidak bertanya khabar sewaktu hidup dahulu tetapi yang inilah yang selalu terpaling awal mempertikaikan tentang harta pusaka.

"Yang apabila waktu hidup si mati, tidak langsung membantu namun terpaling awal juga selalu menuntut," tulisnya pada perkongsian tersebut.

Tambah peguam ini, ada kalanya 'yang terpaling awal' ke depan membangkitkan soal harta pusaka si mati ini kadang kala 'lebih sudu daripada kuah', sedangkan suami atau isteri si mati yang lebih mengetahui luar dalam pasangan mereka.



Nor Zabetha sering membuat ulasan bersabit kes membabitkan rumah tangga, hal ehwal keluarga serta isu semasa.

"Tetapi apabila berlaku kematian, yang terpaling awal menuntut ini biasanya yang akan kata 'ini faraid, kita ikut undang-undang Islam. Ini hak kami'. Yang bab ini mereka tahu hak. Mereka taat dan ingin tuntut perintah Allah.

"Tetapi mereka pandai memilih. Mereka pilih untuk taat tentang isu pembahagian faraid tetapi memilih tidak taat pada bahagian menyelesaikan hutang si mati, zakat si mati atau menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak atau pasangan si mati.

"Tetapi setelah dapat harta, hilang begitu sahaja. Sekali lagi lupa hendak bertanya hak balu atau duda yang kematian pasangannya yang tercinta," tulisnya panjang lebar.

Firma kami selalu juga dirujuk dengan isu berkaitan harta pusaka. Isu ini selalunya sangat sensitif. Kubur masih merah, adik-beradik sudah berebut berharta.

NOR ZABETHA MUHAMAD NOR

PEGUAM

Mungkin ramai yang tidak menyedari soal hukum faraid ini adalah salah satu bentuk ujian kepada mereka yang hidup untuk melihat sejauhmana mereka dapat menahan ujian harta benda.

"Kita sebagai orang Islam tahu tentang hukum faraid. Benar sebagai orang Islam, wajib kita ikut.



Nor Zabetha mengulas betapa isu pembahagian harta pusaka perlu diuruskan dengan mengutamakan pasangan dan anak si mati terlebih dahulu selepas selesai urusan hutangnya.

"Tetapi, betapa mulia sekiranya, yang tidak bertanya khabar, yang tidak peduli tentang hal rumah tangga si mati, susah senang si mati bermulia hati mendermakan bahagian mereka kepada anak-anak atau pasangan yang lebih memerlukan.

"Malahan ada jenis yang duit bukan menjadi haknya juga sanggup dirampas, selagi mana ada peluang. Kes begini selalunya apabila melibatkan ahli keluarga yang diamanahkan sebagai pemegang amanah bagi harta anak-anak si mati yang belum mencapai usia.



Sungguhpun urusan pembahagian harta pusaka si mati sudah selesai, ahli keluarga atau adik beradiknya tetap perlu mengambil berat soal nafkah anak-anak si mati.

"Disalah tadbir dan disalah urus. Ingatlah, kehidupan ini sementara. Harta dan dunia juga sementara," tulisnya lagi.

Sehingga kini posting tersebut meraih sehingga 518 perkongsian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain