suria

‘Kerja biasa-biasa’, tapi grup anak muda ini semangat membara nak tolong orang susah - “Ada yang baru keluarkan duit BPN, mereka sanggup derma”

MEREKA bukanlah datang daripada golongan berada.

Sebaliknya mereka hanyalah anak muda biasa yang prihatin dengan golongan yang kurang bernasib baik.

Namun kumpulan ini terpanggil untuk sama-sama ke hadapan bagi meringankan bebanan segelintir masyarakat yang terkesan sejak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini manfaatkan lesennya habis-habisan ketika PKP... upah 10 sen pun ambil!

ARTIKEL BERKAITAN: “24 jam bertugas, tak tahu dah makan ke belum” - Gaji tak besar tapi geng rider Food Panda buat anggota polis, tentera tersenyum

Malah ada antara kumpulan anak muda ini sanggup menyumbangkan sebahagian wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diterima hanya kerana mahu turut serta mengambil bahagian memberi sumbangan.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Mohd Firdaus Mohd Zabidi yang merupakan ketua penyelaras kumpulan anak muda itu berkata, idea berkenaan timbul secara spontan ketika dia sedang bersembang dengan rakan-rakannya.

Barang yang diagihkan berupa keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, biskut, tepung dan lain-lain.

“Kami semua anak muda yang memang berkawan dari kecil. Semuanya tinggal di Sungai Bakap, Pulau Pinang. Jadi senanglah nak atur. Sekarang ni kerajaan sedang laksanakan PKP, memang ramai yang terkesan.

“Timbullah idea untuk kumpul sedikit wang daripada kawan-kawan untuk bantu penduduk setempat. Idea itu disambut baik dan kawan-kawan semua setuju. Mereka minta saya atur, mereka nak sumbang duit.

“Kami pun terus tubuhkan grup WhatsApp supaya senang nak menyelaras. Rupa-rupanya ramai yang nak turut serta beri sumbangan. Malah ada yang baru saja keluarkan duit BPN, tapi mereka sanggup derma sebahagian demi nak bantu orang susah,” katanya kepada mStar.


Sebanyak 95 buah keluarga mendapat bantuan hasil wang yang dikumpulkan kumpulan anak muda ini.

Pemuda yang berusia 30 tahun ini berkata, hasil daripada usaha tersebut, mereka berjaya mengumpul wang tunai berjumlah RM5,350 yang kemudian digunakan untuk membeli barang-barang keperluan yang akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Alhamdulillah, wang ini berjaya dikumpul daripada anak-anak muda yang secara sukarela menyumbang. Rata-ratanya yang bekerja sendiri, ada yang kerja di kedai motor, buat katering, kontraktor.

“Tapi langsung tak ada penglibatan mana-mana pihak lain seperti parti politik dan sebagainya. Hanya anak-anak muda,” ujar anak jati Sungai Bakap ini.

 Suaminya lumpuh, isterinya pula hanya kerja sebagai pembantu kedai makan yang dapat gaji harian. Bila dapat bantuan, mereka terharu dan sebak. Suaminya kemudian membacakan doa memohon kami dimurahkan rezeki, malah doakan saya segera dapat zuriat.

MOHD FIRDAUS MOHD ZABIDI

BELIA

Menurut Mohd Firdaus, agihan berupa barang-barang keperluan itu dijayakan pada Ahad lalu, di mana kira-kira 95 buah keluarga di tujuh buah kampung di sekitar Sungai Bakap menerima bantuan tersebut.

“Selepas selesai urusan mendapatkan permit dari balai polis, kami mulakan agihan bantuan pada pukul 9.30 pagi dan selesai pada pukul 5.00 petang. Kesemua keluarga yang mendapat bantuan ni adalah mereka yang sangat susah dan memang memenuhi kriteria yang patut dibantu.

“Ada sepasang suami isteri ni bersyukur sangat dapat bantuan sebab mereka dah terputus bekalan makanan. Suaminya lumpuh, isterinya pula hanya kerja sebagai pembantu kedai makan yang dapat gaji harian.

Bantuan dihulurkan tanpa mengira warna kulit.

“Bila dapat bantuan, mereka terharu dan sebak. Suaminya kemudian membacakan doa memohon kami dimurahkan rezeki, malah doakan saya segera dapat zuriat.

“Rakan-rakan yang pertama kali sertai misi bantuan ni pun sebak sebab mereka dapat lihat sendiri kehidupan segelintir masyarakat yang benar-benar susah,” katanya lagi.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Firdaus berkata inisiatif ini akan diteruskan pada masa akan datang memandangkan sambutan yang diterima daripada rakan-rakan dan masyarakat setempat sangat menggalakkan.

Keluarga yang menerima sumbangan rata-ratanya mereka yang berpendapatan RM 2,000 ke bawah.

“Saya terima banyak mesej di telefon dan juga di Facebook yang menyuarakan hasrat nak sama-sama menyumbang. Sambutan yang sangat di luar jangkaan.

“InsyaAllah kami mungkin akan buat lagi sumbangan ketika Ramadan nanti. Buat masa ini, ideanya adalah untuk memberi bubur kanji dari rumah ke rumah. Nak masak tak ada masalah, sebab ada di antara kami yang boleh memasak.

“Yang penting matlamat utamanya adalah sama-sama berkongsi rezeki. Dalam keadaan kita semua sedang menjalani PKP, ramai yang terkesan terutama yang dapat gaji harian. Mudah-mudahan inisiatif ini menjadi contoh kepada orang di luar sana,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
PKP, anak muda, sumbangan, Covid-19

Artikel Lain

Ular sawa menyorok bawah katil kanak-kanak