suria

Lelaki ini manfaatkan lesennya habis-habisan ketika PKP... upah 10 sen pun ambil!

Akmal menawarkan perkhidmatan penghantaran barang dengan mengenakan caj 'seikhlas hati' bagi membantu mereka yang memerlukan perkhidmatannya.

JARANG-jarang kita dengar ada yang menawarkan perkhidmatan dengan mengenakan caj ‘seikhlas hati’ atau memberi khidmat secara percuma.

Kedengaran seperti tidak masuk akal, namun itulah yang dilakukan oleh pemuda bernama Muhammad Akmal Syukri Fadilah.

Terdahulu, Akmal Syukri menerusi laman Twitter miliknya memuatnaik satu posting menawarkan perkhidmatan penghantaran (delivery) untuk warga yang tinggal di sekitar Shah Alam.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tragedi’ pesanan terakhir! Rider Grab telefon pelanggan dahulu selepas kemalangan, isteri hamil anak ke-4 ‘last’ - “Rehat dululah, motor rosak”

ARTIKEL BERKAITAN: Rider kepenatan terlentok di kerusi kedai makan undang simpati, kepala dialih ke meja pun tak sedar - “Telefonnya masih terpasang aplikasi maps”

“Tolong sebarkan guys, upah seikhlas hati, walaupun 10 sen saya tetap menerima, I dont have a lot money to help another people but I have motorcycle to help people in need. TQ guys,” tulisnya pada Twitter.

Posting tersebut menjadi tular dan meraih sehingga 5,200 retweet dan 2,100 likes, selain turut dibanjiri komen positif warga maya.

Akmal memuat naik satu posting di Twitter untuk menguar-uarkan perkhidmatannya.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang senang disapa sebagai Akmal ini berkata inisiatif yang dilakukannya itu adalah bertujuan membantu mana-mana pihak yang mempunyai kesukaran untuk bergerak, memandangkan kerajaan sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Saya sebenarnya bekerja sebagai rider separuh masa. Kadang-kadang buat penghantaran makanan, dan kadang-kadang penghantaran barang.

“Inisiatif yang dilakukan ini datang daripada idea kawan serumah saya. Dia kata, kenapa kau tak cuba buat penghantaran untuk mereka yang memerlukan. Jadi saya pun fikir, apa salahnya kerana saya ada kemudahan untuk bergerak sebagai rider.

Saya tak ada wang yang banyak untuk menderma. Hanya melalui kudrat tenaga muda saja yang boleh saya sumbangkan. Lagipun, kalau nak buat sumbangan, tak semestinya dengan wang ringgit.

MUHAMMAD AKMAL SYUKRI FADILAH

RIDER

“Sebab itu saya menguar-uarkan di Twitter. Tak sangka ramai yang retweet dan mendapat sambutan yang positif,” ujarnya yang membuat penghantaran di sekitar Shah Alam buat masa ini.

Pemuda berusia 23 tahun yang menetap di Seksyen 22, Bandaraya Anggerik itu berkata, idea untuk menawarkan perkhidmatan penghantaran dengan upah seikhlas hati itu timbul kerana dia mahu turut menyumbangkan sesuatu ketika ramai yang terkesan akibat penularan Covid-19 ketika ini.

Akmal banyak menerima pesanan berupa barang keperluan asas.

“Saya tak ada wang yang banyak untuk menderma. Hanya melalui kudrat tenaga muda saja yang boleh saya sumbangkan. Lagipun, kalau nak buat sumbangan, tak semestinya dengan wang ringgit. Sumbangan boleh dilakukan dengan pelbagai bentuk.

“Kerana apa yang penting, target saya adalah nak tolong komuniti yang susah dan tak ada kenderaan. Ada netizen yang komen, kenapa letak serendah 10 sen atau seringgit. Tapi saya tak kisah pun berapa, asalkan seikhlas hati kerana saya dah berniat macam tu,” katanya yang juga bekerja sebagai pembantu gudang.

Akmal sudah lebih setahun bekerja sebagai rider separuh masa.

Cerita Akmal, sejak postingnya tular, dia tak henti-henti menerima mesej daripada orang ramai sekitar Shah Alam yang memerlukan perkhidmatannya.

“Ada yang minta hantarkan barang kepada bapa, ada yang minta belikan barangan keperluan dapur. Namun bab beli barang dapur, langsung tak jadi masalah sebab saya tak kekok kerana selalu ikut nenek beli barang di pasar.

“Tak lama lepas tu, ada seorang jurumekap artis, Aizat Abdul Razak hubungi saya dan nak minta saya hantarkan barang-barang sumbangannya kepada orang yang memerlukan. Dia ada barang tapi tak boleh hantar, saya pulak boleh hantar.

“Seronok bila sama-sama dapat membantu. Lagi puas dan gembira lihat muka pelanggan kita gembira,” katanya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain