suria

Rider kepenatan terlentok di kerusi kedai makan undang simpati, kepala dialih ke meja pun tak sedar - “Telefonnya masih terpasang aplikasi maps”

Perkongsian Hidayat mengenai kisah seorang rider sebuah syarikat penghantaran makanan yang tertidur menjadi tular di Twitter.

“MULA-MULA saya tepuk bahunya perlahan, tapi dia tak sedar lalu saya terus alihkan kepalanya ke meja makan supaya tak terjatuh”.

Demikian cerita seorang pemuda berhubung perkongsiannya di laman Twitter dengan memuat naik dua keping gambar seorang rider sebuah syarikat penghantaran makanan yang tertidur di meja makan sewaktu menunggu pesanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Penghantar makanan ‘nak try’ model, tak henti-henti telefon nak berkenalan - “Bukan sebab tak kacak atau dia rider, tapi macam psiko pun ada”

ARTIKEL BERKAITAN: Rider Foodpanda bukan saja hantar makanan ‘on time’, selamatkan perempuan cuba bunuh diri pun tepat pada masanya!

Hanya mahu dikenali sebagai Hidayat, pemuda itu berkata tujuannya memuatnaik gambar rider berkenaan sekadar untuk memberi mesej betapa gigihnya anak muda mencari rezeki sehingga lewat malam demi sesuap nasi.

Perkongsian Hidayat mengenai seorang rider syarikat penghantaran makanan yang tular di Twitter.

“Tiada apa pun sebenarnya, tujuan saya hanya nak menunjukkan bahawa tak semua anak muda Melayu malas. Masih ada yang rajin mencari rezeki sehingga lewat malam.

“Dalam masa yang sama, perkongsian itu diharapkan akan menjadi pembakar semangat buat anak-anak muda yang lain agar berusaha mencari rezeki yang halal. Usah malu melakukan apa jua pekerjaan asalkan hasilnya halal.

“Namun dalam masa yang sama, dalam kegigihan mencari rezeki, usahlah abaikan kesihatan. Bimbang terlalu kepenatan atau tak cukup rehat, boleh menjejaskan kesihatan pula,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

Bercerita mengenai kejadian yang berlaku dua hari lalu itu, Hidayat berkata ketika itu dia bersama biras dan juga adik iparnya sedang menikmati makan lewat malam di sebuah kedai makan berhampiran Setapak.

Hidayat membetulkan posisi kepala rider tersebut sebelum mengalihkannya di atas meja supaya tidak terjatuh.

Ketika sedang bersembang dan menikmati makanan, isteri kepada adik ipar Hidayat terperasan seorang rider yang terlelap dalam keadaan duduk dan bersandar di atas kerusi, sebelum bertindak memberitahu mereka.

“Ketika itu dalam pukul 12.30 tengah malam. Kami sedang makan-makan dan lepak di satu kedai yang menjadi lokasi kegemaran. Bila isteri kepada adik ipar beritahu, saya pun bangun menuju ke arah rider itu yang sedang terlena. Kepalanya terlentok.

“Pada mulanya saya tepuk perlahan tapi dia tak sedar, lalu saya terus alihkan kepalanya ke meja makan supaya tak terjatuh. Kalau tak alihkan kepalanya, memang dia akan terjatuh dari kerusi itu.

Komen netizen terhadap perkongsian Hidayat.

“Ketika itu saya terperasan di sebalik baju sejuk, dia memakai sehelai baju t-shirt menandakan dia seorang rider penghantar makanan. Kelihatan juga telefon bimbit di atas mejanya masih lagi terpasang aplikasi maps. Saya letakkan telefon bimbitnya tersembunyi sikit di antara tangan dan kepalanya sebelum berlalu kembali ke meja,” ujar pemuda yang bekerja sebagai penjawat awam ini.

Bercerita lebih lanjut, Hidayat berkata ketika dia hendak pulang, pemuda itu masih lagi tertidur dengan posisi kepalanya masih di atas meja makan.

Sebagai orang yang pernah menjadi rider, saya faham betapa peritnya yang mencari rezeki.

HIDAYAT

PELANGGAN KEDAI MAKAN

“Sebelum pulang saya sempat pesan kepada pelayan kedai makan tersebut untuk tengok-tengokkan rider itu, takut dia terjatuh pula.

“Sebenarnya apabila melihat rider tersebut, saya teringat kembali diri saya yang juga pernah menjadi part time rider sebelum ini. Ketika itu memang nak cari duit sampingan untuk membeli peralatan kamera, kerana dalam masa yang sama saya juga jurufoto bebas.

“Sebagai orang yang pernah menjadi rider, saya faham betapa peritnya yang mencari rezeki. Justeru apabila sebelum ini ada yang boikot sebuah syarikat penghantaran makanan, saya rasa simpati juga pada nasib mereka yang bergantung rezeki menjadi rider syarikat tersebut.

“Kebanyakan yang jadi rider ini anak muda. Pernah juga saya terserempak rider-rider berehat dan tertidur di tepi restoran makanan segera. Saya bangga mereka tetap cari rezeki halal. Yang penting, tak semuanya pemalas,” ujar Hidayat.

Bagaimanapun Hidayat tidak dapat mengesahkan sama ada lelaki berkenaan sedang menunggu makanan yang dipesan pelanggan atau singgah di situ untuk makan.

Sehingga kini, perkongsian Hidayat itu meraih sehingga 15,900 ulang kicau.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
rider, Melayu, malas, Setapak, penat

Artikel Lain