suria

Bertemu arkitek misteri berwajah kabur, Tunku Azizah simpan rahsia... tapi bagi hint ‘handsome’ - “Baginda tuanku sendiri ingatkan saya untuk pusing-pusing muka”

Teme berpeluang memasuki istana dan bertentang mata dengan kedua-dua figura yang menjadi idola jutaan rakyat negara ini.

SIAPA masih ingat lukisan potret Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong (RPA), Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang pernah mencetuskan fenomena beberapa bulan lalu?

Lukisan dengan teknik garisan tanpa menggunakan pembaris atau pensel, diserikan dengan cat air warna kekuningan mendapat perhatian baginda berdua sehingga akhirnya ia terhias indah di dalam istana.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanpa pembaris, tanpa pensel pelukis hasilkan potret Agong, Tunku Azizah - Pemilik nama pena Teme Abdullah mahu kekal rahsia identiti diri

ARTIKEL BERKAITAN: Followers pantas ‘buat kerja’, Teme Abdullah tak dapat mengelat kongsi video nyanyi lagu K-Pop... Permaisuri Agong puji!

Kini selepas beberapa bulan, tuan empunya karya pula berpeluang memasuki istana dan bertentang mata dengan kedua-dua figura yang menjadi idola jutaan rakyat  ini.

Ketika dihubungi mStar, pelukis potret itu, Teme Abdullah berkata tidak pernah terlintas dalam fikiran seorang penulis dan pelukis muda sepertinya akan diterima menghadap ke istana.

Teme mempersembahkan naskhah ‘planner’ tahun 2020 yang dilukis sendiri kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

“Semuanya rezeki dan ketentuan Allah. Saya pun tak pernah menyangka semua ni. Tak pernah ada dalam perancangan pun untuk karya saya pergi sejauh ni. Malah dulu, nak menjual sehelai karya pun susah.

“Inikan pula untuk mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong. Saya kira, ini semua limpah ihsan tuanku untuk membantu pengkarya biasa macam saya,” ujarnya yang terkenal dengan imej wajah dikaburkan dalam foto-foto perkongsiannya.

Dalam pada itu, Teme mengakui perasaannya bercampur baur tatkala menjejakkan kaki buat pertama kali ke istana.

Potret Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah karya Teme yang mendapat perhatian sebelum ini. 

Dalam pertemuan tersebut, Teme mempersembahkan naskhah ‘planner’ untuk tahun 2020 yang dilukisnya sendiri kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

“Saya persembahkan planner yang saya lukis sendiri. T Planner 2020 namanya. T Planner ni terhad dan hanya dibuka untuk pre-order seminggu sahaja dalam satu-satu tahun. Untuk tahun 2020, ia hanya ada 22,222 naskhah.

“Setiap planner itu ada nombor. Dan saya persembahkan yang bernombor 00,001 dan 00,002 buat DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, dan DYMM SPB Raja Permaisuri Agong,” ujar arkitek muda yang kini bekerja di sebuah firma seni bina di London, United Kingdom selepas menamatkan pengajian dalam jurusan seni bina di sebuah universiti di kota yang sama.

Karya Teme yang dihasilkan dengan teknik garisan tanpa pembaris kini menghiasi Istana Negara.

Teme turut memuatnaik beberapa keping foto pertemuan dengan baginda berdua di laman sosialnya.

“Baginda tuanku permaisuri sangat-sangat teliti dalam segala urusan. Baginda sangat rendah diri dan peramah. Sampai saya jadi semakin kekok dan gemuruh sebab layanan baginda yang terlampau baik untuk rakyat kebanyakan macam saya,” ujarnya mengulas mengenai pertemuan yang berlangsung beberapa hari lalu.

Semuanya rezeki dan ketentuan Allah. Saya pun tak pernah menyangka semua ni. Tak pernah ada dalam perancangan pun untuk karya saya pergi sejauh ni. Malah dulu, nak menjual sehelai karya pun susah.

TEME ABDULLAH

ARKITEK

Malah, Tunku Azizah sendiri turut membuat perkongsian di laman Twitter rasminya mengenai pertemuan dengan arkitek muda itu.

Dalam perkongsian tersebut, Tunku Azizah turut memberi gambaran mengenai wajah Teme kepada pengikutnya, memandangkan ramai yang teringin untuk menatap wajah sebenar pengkarya yang sering mengkaburkan wajahnya itu.

Antara komen netizen yang tidak sabar menantikan projek kolaborasi antara Tunku Azizah dengan Teme. 

“Mulanya saya risau juga sebab dari awal penglibatan saya dalam dunia seni ni (menulis buku dan melukis), saya tidak pernah mendedahkan identiti saya yang sebenar. Itu pendirian saya. Saya tidak sangka tuanku sangat supportive. Baginda tuanku sendiri yang ingatkan saya untuk pusing-pusingkan muka (salah satu kaedah suntingan untuk sembunyikan gambar sebenar) sebelum post ke social media,” ujar Teme yang akan pulang semula ke London dalam tempoh terdekat.

Ditanya mengenai projek kolaborasi sebagaimana yang diumumkan Tunku Azizah, Teme bagaimanapun enggan membuat pendedahan mengenainya buat masa ini.

“Makluman tentang hal itu biarlah datang dari tuanku. Saya tak berhak untuk komen lebih-lebih. Doakan semuanya berjalan lancar. Kalau ia berjaya, dengan perkenan tuanku, saya akan terus bagitahu followers saya insyaAllah,” akhiri Teme.   

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain