suria

Tanpa pembaris, tanpa pensel pelukis hasilkan potret Agong, Tunku Azizah - Pemilik nama pena Teme Abdullah mahu kekal rahsia identiti diri

Nama Teme Abdullah meletup selepas lukisan potret YDPA dan RPA yang dihasilkannya mendapat tempat di hati baginda.

HATI siapa yang tidak terpegun dan kagum melihat keindahan lukisan yang dihasilkannya?

Unik dengan menampilkan teknik tersendiri tanpa menggunakan pensel mahupun pembaris, lukisan karyanya cukup membuatkan orang ramai terkesima dengan bakat sang pelukis.

ARTIKEL BERKAITAN: Gambar selfie terbaharu Tunku Azizah jadi pengubat rindu, lelaki tweet biadab buat permohonan maaf 

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai luah rasa sedih Tunku Azizah nyahaktif Twitter, “Rindu dengan tweet Permaisuri Agong” 

Itulah penangan empunya diri yang hanya mahu dikenali sebagai Teme Abdullah.

Sebetulnya, nama Teme Abdullah sudah mula dikenali sejak beberapa tahun lalu dalam kalangan mereka yang mengikutinya di laman sosial.

Kisahnya yang menimba ilmu di negara orang dan menjual lukisan bagi menampung pengajian begitu memberikan inspirasi dan menyuntik semangat khususnya bagi anak muda.

Teme Abdullah pernah menjual lukisan bangunan-bangunan di kota tempat pengajiannya iaitu Kota London untuk menampung kos pengajian.

Bagaimanapun hanya pada ketika ini, nama Teme meletup selepas potret Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong (RPA), Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang dihasilkannya mendapat tempat di hati baginda.

“Alhamdulillah. Semua itu rezeki daripada Allah untuk menguji saya,” ujar Teme merendah diri.

Minat melukis sejak kecil

Bercerita kepada mStar, Teme berkata minat untuk melukis sememangnya tertanam dalam dirinya sejak kecil lagi.

Justeru, mengambilkira faktor tersebut, dia memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina di sebuah universiti di United Kingdom.

Jangan pernah merasa inferior di negara orang. Orang Malaysia juga hebat. Kita perlu yakin pada diri. Jika bangsa lain boleh, tiada sebab untuk kita katakan tidak boleh. Kita semua dijadikan dari unsur yang sama oleh Allah

TEME ABDULLAH

“Bidang architecture (seni bina) ialah pilihan saya sendiri. Tapi, keputusan itu dipengaruhi oleh orang-orang sekeliling juga. Ibu bapa saya sendiri yang melihat kecenderungan minat saya pada lukisan selalu sebut ‘nanti bolehlah jadi arkitek’.

“Guru-guru di zaman sekolah dulu pun selalu sebut perkara yang sama untuk mengasah potensi melukis saya ke tahap maksima dan profesional. Jadi, setelah mengkaji dan berfikir, saya pun memilih seni bina,” katanya.

Biarlah rahsia

Bercerita mengenai lukisan potret Agong dan Tunku Azizah yang menjadi fenomena baru-baru ini, menurut Teme, idea untuk menghasilkan karya tersebut tercetus di kala dia ingin mengabadikan seseorang yang boleh memberikan impak positif kepada masyarakat.

“Baginda merupakan dua figura yang paling berjaya menyatupadukan rakyat jelata. Dengan kerendahan hati mereka, dengan keperihatinan membantu rakyat yang kemalangan di bahu jalan, dengan keletah mereka di majlis-majlis rasmi… Dengan balasan yang humble Tuanku Permaisuri Agong di media sosial.

Lukisan karya Teme Abdullah kini menjadi hiasan di Istana Negara. 

“Sejujurnya saya pun tak tahu apa nama teknik lukisan itu. Ia terhasil dari cubaan-cubaan saya untuk mencabar diri sendiri untuk menghasilkan potret sekali harung tanpa menggunakan pembaris atau pensel,” katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana hubungannya bersama baginda berdua, anak kelahiran Selangor ini menolak untuk mengulas perkara tersebut secara baik.

“Berkenaan sejauh mana saya kenali baginda berdua itu biarlah rahsia,” ujarnya ringkas.

Ikon anak muda

Hampir mencecah tempoh sedekad berkelana di negara orang yang penuh dengan pelbagai rintangan dan dugaan khususnya ketika zaman pengajian, pencapaian Teme ketika ini boleh dibanggakan dan dijadikan ikon bagi memberi inspirasi kepada anak muda yang lain.

Pernah menjual lukisan bangunan-bangunan di kota tempat pengajiannya iaitu Kota London untuk menampung kos pengajian, Teme kemudian mengembangkan bakatnya dengan menulis buku yang menceritakan perjalanan hidupnya di negara orang.

Buku pertama yang dihasilkan Teme Abdullah.

Sehingga kini, Teme telah menghasilkan enam buku; Pelukis Jalanan, Arkitek Jalanan, Impian Jalanan, Signature Jalanan, Empayar: Hikayat Putera Tanpa Nama, dan Empayar 2: Hikayat Mukjizat Daripada Iblis.

Malah, Teme pernah menerima pelbagai anugerah dalam bidang penulisan selain bukunya sering mengungguli carta ‘best seller’ di kedai buku terkemuka.

Bagaimanapun, anak muda ini masih mengekalkan sikap rendah dirinya dan merasakan dirinya tidak layak digelar ikon.

“Alhamdulillah. Tetapi, saya tidak pernah merasakan diri saya sudah cukup untuk dijadikan ikon. Masih ramai ikon-ikon belia yang hebat di Malaysia.

“Cuma, apa yang saya boleh kongsikan, jangan pernah merasa inferior di negara orang. Orang Malaysia juga hebat. Kita perlu yakin pada diri. Jika bangsa lain boleh, tiada sebab untuk kita katakan tidak boleh. Kita semua dijadikan dari unsur yang sama oleh Allah,” katanya.

Ditanya apa azimat yang dipegangnya sehingga mampu berada di tahap sekarang, ini jawapannya:

“Pertama, jaga solat. Kedua, jaga perkara yang berlaku di antara solat. Ketiga, jangan biarkan diri merasa selesa dengan masa lapang,” ujarnya lagi.

Enggan dedah identiti

Bagi yang mengikuti Teme secara dekat di laman sosial Twitter mahupun Instagram pasti sudah sedia maklum dengan imejnya yang mengkaburkan bahagian muka.

Mengulas mengenai imej itu, Teme berkata dia lebih senang dikenali melalui karyanya.

“Saya rahsiakan identiti atas sebab-sebab peribadi. Ada sebab yang saya nak kekalkan rahsia antara saya dengan Allah sahaja. Lebih manis begitu.

Teme Abdullah bercita-cita untuk mewujudkan badan biasiswa bagi membantu pelajar negara ini yang berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pelajaran.

“Tetapi, apa yang saya boleh kongsikan, saya hanya nak orang kenal Teme Abdullah sebagai pengkarya sama ada pelukis, penulis dan penghibur yang kadang-kala tanpa segan silu menyanyi,” katanya sambil bergurau.

“Melalui Teme Abdullah, saya akan cuba berikan apa yang termampu pada pengikut saya, menggembirakan orang lain tanpa mengharapkan balasan,” ujarnya lagi.

Mengikut blognya, Temerity, pemuda ini menggunakan nama samaran yang diberikan oleh rakan-rakannya ketika di peringkat pengajian menengah sebagai nama penanya sehingga ke hari ini.

Nama Abdullah pula ditambah sendiri oleh penulis di belakang nama Teme sejak pertama kali menulis buku pada tahun 2016.

Cara sebutan Teme adalah sama dengan cara sebutan perkataan 'teman' dalam loghat Kelantan.

'Teman' pula boleh digunakan sebagai kata ganti nama diri pertama yang membawa maksud 'saya'. Jadi, secara ringkasnya, gabungan Teme dan Abdullah membawa maksud 'saya hanyalah hamba Allah'.

Ditanya mengenai impiannya yang belum tercapai, Teme bercita-cita untuk mewujudkan sebuah badan biasiswa bagi membantu pelajar negara ini yang berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pelajaran.

“Dulu, masa saya tengah kesempitan menyambung pelajaran di London, saya pernah mengharap dan berdoa moga-moga ada jutawan atau hamba Allah yang bermurah hati nak meringankan beban saya sebagai pelajar. Saya hanya nak menuntut ilmu, bukan nak bermewah.

“Tapi saya tak pernah meminta. Ibu bapa saya selalu ingatkan bahawa umat Islam yang baik tidak akan meminta-minta.

“Daripada pengalaman tu, saya dapat satu inspirasi untuk set matlamat. Satu hari, saya nak jadi orang yang saya harapkan itu. Bukanlah kepada diri saya, tetapi kepada masyarakat. Moga-moga saya mampu untuk beri biasiswa saya sendiri kepada pelajar yang nak sambung belajar, tapi mengalami kekangan dari segi wang,” akhiri Teme. 

Artikel Lain