suria

Nekad tinggalkan kerjaya pendidik, lelaki Bidayuh ini lahirkan Timogah bela nasib petani pedalaman

Heineken Laluan memberitahu bukan mudah untuk petani di kawasan pendalaman dan peniaga kecil untuk memasarkan produk mereka dan kewujudan Timogah sedikit sebanyak dapat membantu mereka menambah pendapatan.

SEHINGGA ke hari ini, Heineken Laluan masih teringat reaksi ibu bapanya apabila dia menyuarakan hasrat untuk meninggalkan kerjayanya sebagai pendidik bagi menjaga mereka yang tidak sihat ketika itu.

"Saya masih ingat mereka sangat marah. Mereka bimbang saya tidak mampu untuk mencari jalan lain bagi menyara keluarga dan menjaga diri sendiri," katanya.

Namun pada November 2017 kata pemuda berusia 35 tahun itu, dia mendapat idea - menjual produk hasil hutan daripada petani tempatan menerusi media sosial dengan membuka profil Facebook Timogah (bahasa Bidayuh) yang membawa maksud popular.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanpa pembaris, tanpa pensel pelukis hasilkan potret Agong, Tunku Azizah - Pemilik nama pena Teme Abdullah mahu kekal rahsia identiti diri

"Saya mula membeli secara pukal buah-buahan dan sayur-sayuran unik daripada penduduk di Borneo termasuk makanan laut seperti udang kara," katanya.

Selain membantu petani pendalaman, Heineken turut membuat perkhidmatan menghantar barangan yang dibeli pelanggan menerusi laman web Timogah.

Bagaimanapun kata Heineken, seperti mana perniagaan lain, dia tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah bagi mengembangkan Timogah termasuk beberapa isu seperti hasil pulangan kepada petani yang tidak setimpal.

"Saya mendapati ada sesetengah pihak bertindak sebagai orang tengah kepada petani ini tetapi kebanyakannya cuba menipu mereka bagi meraih keuntungan. Tambahan pula kebanyakan petani di kawasan pendalaman ini tidak mempunyai pengetahuan luas mengenai perniagaan," ujarnya.

Kata Heineken, kebanyakan petani gagal mengambil peluang meskipun permintaan terhadap produk tempatan di Borneo semakin meningkat, sedangkan mereka ketinggalan, manakala pihak lain mengaut keuntungan daripada usaha gigih golongan itu.

"Situasi ini bukan sahaja memberi kesan kepada petani tetapi juga pengguna yang perlu membayar lebih dan mereka juga mungkin dapat produk yang tidak segar dan berkualiti rendah," katanya.

Seorang petani membungkus sayuran untuk dijual kepada pelanggan.

Atas dasar itu, Heineken tampil dengan model perniagaan baharu bagi mengembangkan lagi jenama Timogah dengan membuka laman web. Menerusi cara itu, petani dapat menjual produk mereka secara terus kepada pelanggan tanpa perlu menggunakan khidmat orang tengah.

"Cara ini dapat merapatkan jurang di antara petani di kawasan pendalaman dan penduduk di bandar. Dengan cara itu juga petani dapat belajar tentang pasaran dan merancang mengembangkan perniagaan mereka sejajar dengan permintaan tinggi pelanggan.

"Kaedah ini bukan sahaja menguntungkan petani malah dapat mengelakkan pembaziran," katanya yang turut mengendalikan urusan logistik.

"Di Timogah kami menggunakan pelbagai pengangkutan dari motosikal hingga ke lori. Jika perlu masuk ke pendalaman bagi mendapatkan bekalan, kita akan gunakan kenderaan pacuan empat roda," katanya.

Heineken turut giat memberi ceramah dan latihan kepada penduduk kampung bagi memasarkan produk mereka.

Syarikatnya itu turut menawarkan perkhidmatan penghantaran ke Kuching setiap Isnin hingga Sabtu yang hanya mengenakan bayaran RM5.90 untuk sekali perjalanan. Ia juga turut membuat penghantaran di kawasan lain termasuk Miri, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Heineken memberitahu, laman webnya menawarkan lebih 100 produk tempatan dan antara yang mendapat permintaan tinggi adalah terung Dayak, buah dabai (buah zaitun hitam), bambangan (mangga liar) dan umbut tebus (serai yang hanya terdapat di Borneo).

Sehingga kini, Timogah mempunyai 100 pelanggan tetap selain 50 vendor. Selain itu Heineken juga banyak menggembara bagi bertemu dengan pelbagai komuniti di Sarawak untuk memperkenalkan Timogah.

Malahan, katanya, kebiasaannya dia turut diminta untuk memberi latihan mengenai cara untuk memulakan perniagaan dalam talian.

Heineken masih mempunyai pelbagai perancangan untuk memajukan jenama Timogah. 

Di sebalik keghairahan membantu komunitinya, Heineken berkata, kekurangan akses kepada Internet di beberapa kawasan di Sarawak adalah cabaran terbesar sehingga ada yang perlu bergantung kepada orang tengah untuk berhubung dengan pelanggan di Timogah.

Tidak menjadikan perkara itu sebagai alasan, Heineken sebaliknya memberitahu dia bersama pasukkannya sedang dalam proses membangunkan aplikasi Timogah dan ia dijangka boleh digunakan pada tahun ini.

Menerusi aplikasi itu nanti, ia bukan sekadar medium menghubungkan peniaga dan pelanggan malah terdapat pelbagai informasi lain termasuk resepi menggunakan bahan yang dijual.

"Menjadi harapan kami agar Timogah dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi secara digital sekaligus membawa industri pertanian Sarawak ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Figuran, Timogah, Sarawak

Artikel Lain