Pernah dihalau kerana disangka jual barang, kini pensyarah kelulusan PhD ini bukti dirinya OKU 'rare'  – “Jangan tak tahu saya suka melancong” - Figura | mStar

Pernah dihalau kerana disangka jual barang, kini pensyarah kelulusan PhD ini bukti dirinya OKU 'rare'  – “Jangan tak tahu saya suka melancong”

Dr Ahmad Shamsuri kini bergelar pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.

LANGKAHNYA disusun dengan penuh berhati-hati ketika menaiki tangga menuju ke tingkat tiga, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.

Dengan bantuan tongkat, Dr Ahmad Shamsuri Muhamad cekap mengingati laluan untuk ke bilik kuliahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bidik kamera laksana jurugambar profesional, hasilnya 'meletop'! 

ARTIKEL BERKAITAN: Diejek konon kahwin Orang Asli kena tinggal dalam hutan, panjat pokok petai... wanita ini tambat hati mentua dengan daun pijat 

Sesekali, dia disapa mesra oleh pelajar dan rakan sejawat tika berselisih.

“Cekap Dr ingat jalan,” penulis menyapa sewaktu sama-sama beriringan dengan empunya diri.

“Secekap mana pun saya, pernah juga jatuh longkang. Berjahit jugalah dahi saya. Walaupun begitu lama belajar dan kini mengajar di sini, masih perlu hati-hati. Takut peristiwa 10 tahun lalu terjadi lagi.

“Pernah juga langgar tiang. Kalau ikut orang di sini kata, kalau jalan tak jatuh, tak grade la. Memang betullah agaknya kata mereka,” katanya sambil tertawa kecil.

Ahmad Shamsuri cekap mengingati selok belok di fakultti tempatnya mengajar.

Dr Ahmad Shamsuri merupakan individu yang dilahirkan cacat penglihatan, namun dia tidak pernah menjadikan keterbatasannya itu sebagai alasan untuk berdiri seiring dengan inidividu normal lain.

Melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), beliau memilih kaunseling sebagai bidang utama kerana mahu lebih mendalami psikologi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Memang sukar sangat, sampai pernah juga rasa down. Namun semuanya perlu dilalui dengan penuh semangat dan kecekalan

DR AHMAD SHAMSURI MUHAMAD 

“Bila kita pilih sesuatu, kita kena pertimbangkan beberapa perkara seperti minat, bakat, kebolehan mahupun personaliti. Kita kena sedar apa limitasi kita. Jadi, kaunseling merupakan bidang yang tak perlu banyak penggunaan mata.

“Ia lebih kepada empati. Lagi pula, sejak sekolah saya didedahkan dengan bidang ini,” katanya.

Pernah rasa down hadapi cabaran

Kini bergelar pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, beliau berkata tidak mudah untuknya mencapai kejayaan sehingga ke tahap sekarang.

Pelbagai dugaan dan cabaran yang mendatang, namun perkara itu tidak sesekali mematahkan semangat anak jati Kelantan ini.

Ahmad Shamsuri mengajar pelajar peringkat sarjana, sarjana muda dan juga PhD.

“Cabaran dan halangan memang banyak terutama bagi golongan cacat penglihatan. Sewaktu belajar, memang agak sukar nak akses bahan akademik seperti buku dan sebagainya. Waktu tidur memang ‘lari’.

“Kini bila sudah mengajar, cabaran yang datang adalah dari segi bahan mengajar pula. Nota perlu saya sediakan dan kena tukar kepada format yang boleh diakses. Disebabkan itu, komputer saya dilengkapi dengan perisian khas untuk memudahkan tugas.

“Memang sukar sangat, sampai pernah juga rasa down. Namun semuanya perlu dilalui dengan penuh semangat dan kecekalan,” ujar pendidik berusia 37 tahun ini.

Manfaatkan teknologi untuk mudahkan kehidupan

Ketika bercerita mengenai bagaimana dirinya menjalani kehidupan seharian,  Ahmad Shamsuri berkata, tiada apa yang berbeza sebagaimana orang normal yang lain.

Namun tambah beliau, teknologi yang semakin berkembang pesat amat membantu memudahkan kehidupannya.

“Saya amat bersyukur dengan teknologi yang ada pada hari ini. Di telefon bimbit saya ada dilengkapi perisian yang boleh baca apa yang saya tulis.

“Jika mahu bergerak dari rumah ke fakulti, jika tiada yang menghantar, saya akan gunakan perkhidmatan Grab. Begitu juga jika mahu memesan makanan,” katanya yang tinggal di sebuah pangsapuri berhampiran tempatnya mengajar bersama dua rakan lain.

“Sekiranya mahu membeli barang, saya juga menggunakan perkhidmatan online . Tidak ada masalah bagi saya gunakan online banking untuk berurusan, hanya perlu menghafal nombor akaun.

Telefon bimbit Ahmad Shamsuri dilengkapi dengan perisian khas bagi memudahkan urusan seharian.

“Begitu juga kalau mahu menonton wayang di pawagam mahupun karaoke. Semuanya seperti orang lain kecuali deria penglihatan terhad. Jangan tak tahu, saya juga suka melancong dan tempah sendiri tiket kapal terbang,” katanya yang gemar melancong ke Australia.

Diskriminasi masyarakat

Menurutnya lagi, memang tidak dinafikan keadaan persekitaran pada masa kini sama ada dari segi kemudahan dan sikap masyarakat, secara tidak langsung menjadikan OKU seolah-olah seperti golongan minoriti.

“Masih ada segelintir masyarakat yang tidak cakna kepada golongan seperti kami. Pernah saya masuk kedai, tetapi dihalau kerana disangka mahu jual barang.

“Dari segi persekitaran, memang ada yang tidak mesra OKU kerana ia direka oleh orang normal. Justeru, kami kena kreatif dalam usaha untuk membiasakan diri.

“Pesan saya kepada mereka yang OKU, kita jangan jadikan ia halangan untuk sekat partisipasi dalam masyarakat. Kita pecahkan halangan dan bina jambatan supaya kita turut sama inklusif,” katanya mengakhiri bicara. 

Dr Ahmad Shamsuri , pensyarah , OKU , PhD

Artikel Lain