suria

Bukan senang nak berjaya! Wanita ini dihalau edar risalah, redah masuk universiti dan jual kereta kesayangan demi RM15,000

Ellyn Jamyn bermula dari bawah sebelum mengecap kejayaan sebagai seorang usahawan. Foto @seripictures

SIAPA yang tidak mahu berjaya dalam hidup? Tetapi jika mengharapkan sesuatu kejayaan atau rezeki itu datang bergolek maka sampai bila-bila kita akan berada di takuk lama.

Cuba singkap kisah kejayaan individu dalam perniagaan! Kebanyakan daripada mereka tidak menapak mudah sebaliknya pelbagai cabaran dan rintangan terpaksa dihadapi sebelum berada di kedudukan mereka hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Haffendi Anuar mungkin tak dikenali, namun namanya tersenarai antara 100 pengukir berbakat besar dunia!

ARTIKEL BERKAITAN: Terliur pada ayam bersalut keju, terpesona lihat ‘owner’ model kacak

Begitu juga dengan pengasas Airellyn Beauty Care iaitu Ellyn Jamyn - Jika dilihat secara kasar tiada siapa akan menyangka wanita berusia 32 tahun ini pernah berjalan kaki dari sebuah restoran ke restoran yang lain semata-mata bagi mengedarkan risalah tentang syarikatnya.

Tidak pernah merasakan ia tindakan memalukan, Ellyn sebaliknya memberitahu ia banyak mengajarnya untuk membina keyakinan diri ketika berhadapan dengan orang lain selain mempelajari selok belok perniagaan dari bawah.

Ellyn memberitahu dia bermula dengan jalan sukar sebelum berjaya.

"Rasa malu saya buang jauh-jauh walaupun pada awalnya saya bukanlah seorang yang berani berhadapan dengan orang lain tetapi saya nekad demi memperkenalkan syarikat dan perkhidmatan yang saya sediakan.

"Macam-macam pengalaman sebenarnya ketika mengedar risalah ini... dihalau, orang tak layan termasuklah risalah diberikan dibuang ke lantai.

"Biasanya saya akan kutip balik risalah yang dibuang dan ia juga membuatkan saya sedar bahawa bukan mudah untuk berjaya dan kerana itu juga saya tidak pernah berputus asa," katanya.

Bercakap mengenai syarikatnya, Ellyn memberitahu ia ditubuhkan pada 2010 selepas empat tahun menimba pengalaman di sebuah salon dan spa kecantikan.

Katanya, dia membuka spa kecantikannya secara kecil-kecilan dengan menumpang menyewa di sebuah rumah kedai yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam.

Ellyn kini mampu tersenyum bangga apabila melancarkan spa penjagaan kecantikan keduanya di Bangi.

"Jujur saya katakan, ketika saya mengambil keputusan berhenti kerja dan membuka perniagaan sendiri saya memang tiada modal yang banyak.

"Alhamdulillah sepanjang empat tahun bekerja saya banyak menyimpan dan mula membeli peralatan dan mesin yang diperlukan untuk membuat rawatan wajah.

"Itu pun saya hanya menyewa sebuah bilik di sebuah rumah kedai dan atas sebab itu juga saya perlu turun padang dan pergi meja ke meja untuk mempromosikan perkhidmatan saya," ceritanya.

Tidak terhenti bertemu pelanggan di restoran, Ellyn memberitahu dia memberanikan diri untuk masuk ke sebuah pusat pengajian tinggi yang terletak berdekatan kedainya bagi mempromosikan perkhidmatan spanya dalam kalangan pelajar universiti itu.

Redah masuk kawasan universiti, jual kereta demi RM15,000

Mengimbau pengalaman itu, Ellyn memberitahu walaupun tidak mendapat kebenaran dia meredah masuk ke dalam kawasan universiti untuk menampal risalah di tiang-tiang dan perhentian bas.

Biasanya saya akan kutip balik risalah yang dibuang dan ia juga membuatkan saya sedar bahawa bukan mudah untuk berjaya dan kerana itu juga saya tidak pernah berputus asa.

ELLYN JAMYN

PENGASAS SYARIKAT AIRELLYN BEAUTY CARE

"Biasanya risalah itu akan dikoyak, saya tetap datang lagi dan tampal sebanyak risalah yang boleh dan Alhamdulillah sangkut juga beberapa pelanggan dalam kalangan pelajar universiti.

"Tak cukup tampal risalah, saya akan cuba menyelinap ke kolej kediaman pelajar dan ketuk pintu mereka untuk mengedarkan risalah.

"Sampaikan saya siap buat promosi istimewa kepada mereka termasuklah pakej mengambil dan menghantar mereka pulang," imbaunya.

Keberaniannya itu mula membuahkan hasil kata Ellyn apabila dia mula menjana pendapatan sekitar RM200 hingga RM300 sehari.

Melihat kepada perkembangan perniagaannya yang semakin mendapat perhatian, Ellyn berkata dia terpaksa menjual satu-satunya kereta kesayangannya iaitu Perodua Kelisa demi mendapatkan modal.

Ellyn bersama kaki tangan CPS Skin Care.

"Ketika itu walaupun perniagaan sudah nampak berhasil tapi saya kekurangan modal untuk mengembangkan lagi bisnes tambahan pula mesin untuk rawatan wajah sangat mahal.

"Walaupun berat hati saya pejam mata menjual kereta kesayangan saya dengan harga RM15,000 dan terpaksa menaiki pengangkutan awam untuk bergerak ketika itu.

Kini tawar 56 rawatan kecantikan, buka cawangan kedua

Sembilan tahun berlalu, Ellyn kini boleh tersenyum bangga apabila berjaya mengekalkan spa penjagaan kecantikan dibawah jenama CPS Skin Love itu selain kini mempunyai pelanggan tetap dan lima pekerja.

Tidak cukup dengan itu, Ellyn kini sudah pun membuka cawangan keduanya Seksyen 9, Bangi pada Ogos lalu sebagai langkah mengembangkan lagi empayarnya.

Ellyn memberi tunjuk ajar kepada staff ketika melakukan rawatan kepada pelanggan.

CPS Skin Love menawarkan kira-kira 56 perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan pelanggan berusia remaja termasuk mereka yang menghadapi pelbagai masalah berkaitan kulit wajah.

Antara perkhidmatan yang popular ialah Spa Coklat, Detox Spirulina, HIFU VFace, Sulam Bedak.

Harga yang ditawarkan juga mampu milik namun pelaburan mereka berbaloi kerana syarikat menawarkan perkhidmatan berkualiti selain menggunakan bahan rawatan yang diimport berasaskan semulajadi, selain penggunaan mesin berinovasi yang berteknologi tinggi.

“Kami menggunakan logo Cantik Persis Selebriti kerana kami percaya bahawa ramai wanita mahu melihat diri mereka cantik seperti selebriti.

“Disebabkan konsep tersebut, saya akan menawarkan perkhidmatan rawatan kepada pelanggan agar mereka berpuas hati dengan hasil yang terbaik sehingga berjaya meningkatkan keyakinan dan kegembiraan mereka,” jelasnya.

Artikel Lain