Terliur pada ayam bersalut keju, terpesona lihat ‘owner’ model kacak - Figura | mStar

Terliur pada ayam bersalut keju, terpesona lihat ‘owner’ model kacak

Muhd Zahiruddin Ariffin (kanan) berjaya membuka lapan cawangan Ayo Fried Chicken dalam tempoh kurang setahun ia beroperasi. Foto Instagram @zahirariffin & @ayofriedchicken_

KELIBAT seorang lelaki di kaunter yang sedang sibuk melayan pelanggan membuat pesanan ayam goreng popular Ayo Fried Chicken (AFC) menarik perhatian ramai.

Banyak mata sering menoleh ke arahnya, bukan sahaja kerana terliur melihat ayam goreng yang disaluti keju serta serbuk cili tetapi ralit menatap kekacakannya mencuri perhatian pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bergelumang dengan haiwan 9 jam sebulan, siswa ini percaya tugas sukarelawan di zoo mampu kikis sikap pentingkan diri

Itulah Muhd Zahiruddin Ariffin - pengasas AFC yang sedang menjadi bualan hangat dalam kalangan penggemar makanan dek terpaut hati dengan keenakan hidangan ayam disediakan.

Pertemuan singat dengan Muhd Zahiruddin atau lebih mesra dengan sapaan Zahir ini membongkar rahsia kejayaan jenama itu yang sehingga kini sudah pun memiliki lapan cawangan di sekitar Lembah Klang.

Paling penting, Zahir baharu sahaja memulakan perniagaan itu sekitar 10 bulan lalu dan ia diterima baik pelanggan sehingga membolehkan dia membuka beberapa cawangan dalam tempoh singkat.

Zahir  (kiri) dan rakan kongsinya, Nasyrul.

"Orang mungkin nampak populariti Ayo Fried Chicken ini sebagai satu trend dan akan lenyap apabila orang sudah bosan dengannya.

"Saya tidak kisah dengan pandangan seperti itu kerana saya perlu gunakan peluang ini untuk memperkukuhkan jenama dan memastikan menu yang dihidangkan menepati citarasa pelanggan.

"Alhamdulillah ramai pelanggan yang kembali membeli dan ia bukti mereka sukakannya dan bukan sekadar mencuba disebabkan ia sedang tular," katanya.

Dari pentas peragaan, bergelumang dengan ayam setiap hari

Bercakap mengenai permulaan perniagaannya itu, pemuda berusia 24 tahun itu berkata, dia sebenarnya seorang model peragaan dan iklan sebelum beralih kerjaya sebagai usahawan.

Meskipun seronok dengan kerjayanya sebagai model namun Zahir memberitahu dia ingin melakukan sesuatu sebagai jaminan masa depannya serta tidak mahu bergantung kepada bidang peragaan semata-mata.

"Sebelum terlibat dengan perniagaan makanan sudah banyak benda saya cuba seperti menjual pakaian, produk dan sebagainya namun semuanya tidak berjaya.

Zahir sebelum ini pernah bergelar seorang model peragaan dan iklan.

"Saya tidak berputus asa kerana saya tahu belum tiba rezeki saya dalam bidang ini dan meneruskan aktiviti peragaan seperti biasa.

"Pada masa sama, saya bersama seorang rakan kongsi banyak membuat kajian mengenai pasaran sehinggalah kami memberanikan diri untuk memulakan Ayo Fried Chicken dan Alhamdulillah percubaan itu berjaya," ujarnya.

Seperti kebanyakan perniagaan lain, Zahir berkata, dia juga tidak melalui jalan mudah sebaliknya banyak perkara harus dikorbankan termasuk kariernya dalam bidang peragaan.

Namun Zahir memberitahu dia nekad berbuat demikian kerana serius untuk membangunkan AFC bersama rakan kongsinya, Muhammad Nasyrul Syafiq Mohd Nasir, yang berusia 25 tahun.

"Hampir tiga bulan kami mencuba pelbagai resepi baru bagi memastikan ayam goreng dihasilkan sedap dan sesuai dimakan bersama keju dan serbuk cili.

"Beberapa kali gagal namun akhirnya kami berjaya hasilkan resepi bahan salutan ayam sesuai dan selebihnya menjadi sejarah," katanya.

Ibu bapa pemangkin semangat Zahir untuk terus maju dalam perniagaan.

Bermula dengan sebuah gerai di Shah Alam, AFC kini sudah berkembang di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Taman Tun Dr Ismail, Cyberjaya, Gombak, Ampang, Taman Melawati termasuk di Johor dan Kedah.

Kata Zahir, setiap cawangan AFC akan menggunakan sekitar 200 hingga 300 kilogram ayam bahagian kepak dan paha dan angka itu akan bertambah pada hujung minggu.

Mahu kembangkan Ayo Fried Chicken

Walaupun sudah menempa pelbagai kejayaan dalam bidang perniagaan, Zahir bagaimanapun memberitahu dia masih belum puas dengan apa yang ada dalam genggaman kini.

Bukan tamak, sebaliknya kata Zahir, sasaran dalam perniagaan adalah penggerak kepadanya untuk terus maju bagi membawa jenamanya ke tahap lebih tinggi.

Ini termasuk memasang impian untuk menjadikan Ayo Fried Chicken sebagai sebuah rangkaian restoran makanan segera popular di Malaysia suatu hari nanti.

Berbekalkan satu menu sahaja, Ayo Fried Chicken kini sudah mempunyai lapan cawangan.

Malah kata pemuda berasal dari Kuantan, Pahang ini dia bersama rakan kongsinya sudah pun merangka beberapa strategi dan perancangan untuk mencapai matlamat itu.

"Jika ada rezeki dan betul perancangannya, Insya-Allah restoran pertama itu akan kami buka di Shah Alam sebagai memperingati tempat pertama bertapaknya Ayo Fried Chicken.

"Tiada yang mustahil jika kita ada matlamat, perancangan dan usaha ke arah itu. Saya juga berhasrat membawa jenama itu ke Singapura, Brunei dan Indonesia tidak lama lagi," katanya.

Mengakui bidang makanan bukan sesuatu yang mudah, Zahir memberitahu untuk berjaya dalam bidang ini seseorang itu perlu memiliki disiplin yang tinggi serta menjaga kualiti hidangan dan servis kepada pelanggan.

"Perniagaan makanan bukan mudah berbanding cabang perniagaan lain kerana prosesnya adalah setiap hari daripada pelbagai aspek termasuk menjaga kualiti selain mental kena kuat.

"Jika gagal buat perancangan yang betul memang tak akan berjaya dan sebab itu juga disiplin dan minat sangat penting," ujarnya.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain