Bergelumang dengan haiwan 9 jam sebulan, siswa ini percaya tugas sukarelawan di zoo mampu kikis sikap pentingkan diri - Figura | mStar

Bergelumang dengan haiwan 9 jam sebulan, siswa ini percaya tugas sukarelawan di zoo mampu kikis sikap pentingkan diri

Aidil menyifatkan tugasnya sebagai sukarelawan di Zoo Negara adalah sesuatu yang bermanfaat kerana dapat mendidiknya untuk lebih menyayangi diri dan alam sekeliling.

MENGHARGAI habitat haiwan dan mendekatkan diri dengan pelbagai binatang bukan minat yang sedia ada dalam diri setiap anak muda, lebih-lebih lagi dalam dunia teknologi serta gajet yang makin berkembang masa kini.

Jika bekerja di taman haiwan sesuatu yang jarang menjadi rebutan, namun masih ada golongan belia yang menyahut cabaran sebagai sukarelawan di zoo.

Ternyata ia sesuatu yang bermanfaat kerana dapat mendidik seseorang itu untuk lebih menyayangi diri dan alam sekeliling.

Bagi remaja berusia 20 tahun, Aidil Iman Aidid, pengalaman sebagai sukarelawan adalah sesuatu yang berharga, terutama kerana minatnya terhadap haiwan.

"Hati terdetik nak sertai aktiviti sukarelawan sebab saya nak lebih memahami kehidupan haiwan-haiwan di Malaysia, selain nak ambil peluang untuk tahu ilmu berkaitan hidupan liar di Zoo Negara.


Aidil dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang hidupan liar.

"Selepas berfikir saya terus daftar jadi sukarelawan  pada Oktober tahun lepas dan mulai awal tahun ini, ia menjadi aktiviti bulanan saya," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Mesra disapa Aidil, katanya, bayaran RM30 dikenakan setiap kali bertugas sebagai sukarelawan sama ada seorang atau bersama kawan-kawan jika mereka berkelapangan.

Memandangkan sebulan hanya sekali sahaja aktiviti sukarelawan yang dilakukan Aidil, dia memilih untuk melaksanakan tugas itu pada hari bekerja berbanding hujung minggu kerana dapat meluangkan lebih masa bersama haiwan-haiwan tersebut.

Aktiviti sukarelawan kebiasaannya bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12 tengahari bagi separuh hari sahaja dan jika berkemampuan boleh diteruskan sehingga pukul 5 petang.

Minat Aidil turut mendapat sokongan kedua ibu bapanya, malahan mereka juga mengingatkannya supaya tidak berhenti menjadi sukarelawan.

Antara aktiviti dilakukan Aidil.

Remaja yang juga penuntut Universiti Segi ini berpendapat, selain mengikis sikap mementingkan diri, tugasan sebagai sukarelawan juga aktiviti yang menyihatkan badan.

"Sepanjang menjalankan tugas sukarelawan, kita boleh bermuhasabah diri supaya sedar bukan manusia sahaja yang hidup di muka bumi ini, tetapi haiwan juga makhluk yang turut menumpang bersama kita," katanya.

Mengenai tugasnya, kata Aidil, kebiasaannya aktiviti bermula pada waktu pagi di mana dia akan membersihkan kawasan dengan menyapu sampah, membuang ranting pokok dan memberi haiwan makan.

"Pernah sekali saya bersihkan kandang landak dan haiwan itu tak henti-henti mengekori saya. Takut pun ada tetapi nasib baik tak jadi apa-apa," katanya yang kini menetap di Gombak, Selangor.

Pelajar Jurusan Komunikasi dan Pengajian Media ini berkongsi pengalaman bermakna apabila dia bersama rakan-rakan berpeluang membersih dan memandikan kura-kura gergasi Galapagos buat kali pertama.

Sepanjang menjalankan tugas sukarelawan, kita boleh bermuhasabah diri supaya sedar bukan manusia sahaja yang hidup di muka bumi ini, tetapi haiwan juga makhluk yang turut menumpang bersama kita.

AIDIL IMAN AIDID

SUKARELAWAN ZOO NEGARA 

Bukan sahaja landak dan kura-kura, malah Aidil juga pernah membersihkan kawasan berpagar yang menempatkan tapir, monyet dan rusa.

Pesanan Aidil buat generasi muda, pembabitan sebagai sukarelawan di zoo boleh mengalakkan seseorang yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang veterinar.

"Misalnya, jika ada yang bercita-cita nak jadi doktor haiwan, melalui tugas sebagai sukarelawan inilah mereka boleh dapatkan pelbagai info berguna.

"Ada ketikanya penjaga zoo banyak berkongsi ilmu tentang haiwan dan info-info penting yang berfaedah," katanya yang berharap lebih ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan di zoo.

Malahan, Aidil akui teruja apabila peluang tersedia untuk sesiapa sahaja melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan kerana ia mendidik seseorang itu menjadi lebih peka dengan habitat haiwan di Malaysia.

Sukarelawan , Zoo Negara

Artikel Lain