Terbabit kemalangan, dua sahabat OKU bergabung idea cipta alat pandu kereta - Figura | mStar

Terbabit kemalangan, dua sahabat OKU bergabung idea cipta alat pandu kereta

Mohd Afiq Barni, 30, (kanan) dan Hairul Anuar Abu Bakar, 42, telah memasarkan 70 unit HDC kepada golongan OKU di seluruh negara. HDC yang dicipta oleh mereka jenis kekal (kanan) dan boleh ubah, alat ini dipasang mengikut tahap kecacatan dan kenderaan pelanggan. Foto BERNAMA

DUA sahabat Orang Kelainan Upaya (OKU) membuktikan kecacatan bukan penghalang untuk mereka berbakti kepada golongan senasib dengan mencipta alat Hand-Drive Controller (HDC) untuk membantu rakan-rakan lain memandu kereta.

Mohd Afiq Barni, 30, dan Hairul Anuar Abu Bakar, 42, melalui syarikat Double A Project Enterprise yang ditubuhkan mereka pada Januari 2017 setakat ini telah memasarkan 70 unit HDC kepada golongan OKU di seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jika ada impian, ikut kata hati” - Nor 'Phoenix' Diana tekad beraksi di gelanggang WWE

Mohd Afiq adalah pereka grafik berkelulusan Diploma dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) manakala Hairul Anuar merupakan pakar mekanik kenderaan, kedua-duanya mengalami kecacatan saraf tulang belakang.

Mohd Afiq mengalami kecacatan itu akibat kemalangan jalan raya pada 2013 manakala Hairul Anuar akibat terjatuh dari bangunan pada 2008.

Afiq dan Hairul di hadapan bengkel mereka.

"Saya mencipta alat untuk memandu HDC bagi golongan OKU kerana mahu melihat mereka dapat memandu kenderaan (kereta) dan berdikari tanpa bantuan orang luar,” kata Mohd Afiq.

Di sebuah bengkel yang disewa di Larkin, dua sahabat itu membantu golongan OKU untuk berdikari kerana menyedari antara halangan yang dihadapi golongan tersebut adalah untuk bergerak ke sesuatu tempat menyebabkan kesukaran bagi mereka bekerja mencari rezeki.

HDC yang dicipta oleh mereka jenis kekal dan boleh ubah, alat ini dipasang mengikut tahap kecacatan dan kenderaan pelanggan.

HDC keluaran mereka amat sesuai untuk semua jenis kecacatan seperti kecederaan saraf tunjang, tiada kaki kiri atau kanan, tiada tangan kanan atau kiri malah orang kerdil boleh menggunakannya.

Hand-Drive Controller (HDC) dicipta untuk membantu OKU memandu kereta.

"Rekaan HDC kami bergantung kepada laporan doktor contohnya jika pesakit itu mengalami lumpuh tulang belakang, disyorkan untuk memandu di mana mereka boleh mengawal brek dan minyak menggunakan pedal di tangan," kata Mohd Afiq.

Beliau berkata maklum balas daripada pelanggan mendapati mereka sangat berpuas hati dengan kualiti produk tersebut serta khidmat selepas jualan.

Mohd Afiq berkata pelanggan juga tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana HDC tersebut mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa seperti Puspakom Sdn Bhd dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"HDC ini akan direka mengikut laporan doktor mengenai kecacatan yang dihadapi oleh pelanggan dan selepas pemasangan, pihak syarikat akan membawanya ke JPJ untuk pengesahan sebelum pelanggan membawanya ke Puspakom bagi pemeriksaan dan pengesahan," katanya.

Pengalaman Hairul sebagai mekanik dan Afiq dalam rekaan grafik serta pemasaran membantu mengembangkan perniagaan mereka. 

Di sebalik kejayaan itu terdapat pelbagai cabaran bagi dua sahabat OKU ini berniaga antaranya ketika mereka memasang HDC di kenderaan di mana setiap kenderaan adalah berbeza tahap pemasangannya dan peralatan yang agak terbatas apabila pemasangan dilakukan di rumah pelanggan.

Atas sifat keusahawanan yang tinggi dan sentiasa ingin berjaya mendorong Mohd Afiq dan Hairul Anuar menyertai program Reach Independence and Sustainable Entrepreneurship (RISE) anjuran Yayasan Maybank dan People Systems Consultancy iaitu badan berperanan membasmi kemiskinan di rantau ini pada 2018.

"RISE banyak mengajar tentang ilmu perniagaan di mana kami diajar bagaimana untuk menguruskan peniagaan seperti kewangan, pemasaran dan bagaimana hendak mempromosikan sesuatu produk menggunakan pelbagai medium pengiklanan," katanya.

Mengakui program RISE amat berkesan dalam perniagaan, mereka bercita-cita untuk mewujudkan bengkel sehenti OKU di mana pelbagai perniagaan seperti bengkel kereta, bengkel pemasangan HDC, bengkel besi, pusat mencuci kenderaan, pusat kursus perniagaan dan keusahawanan akan terlaksana dengan pekerjanya terdiri daripada kalangan OKU suatu hari nanti. - BERNAMA

Figura , Mekanik , Orang Kelainan Upaya

Artikel Lain