suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Arwah rancang nak teman saya berpantang” - Isteri reda, suami antara tiga pekerja pelantar maut

Nurkhaeryna Dhania Azreen menunjukkan gambar suami yang terlibat dalam insiden di pelantar minyak.

WANITA yang sedang hamil tidak dapat menahan kesedihan selepas menerima berita pemergian suaminya dalam satu insiden tragis di pelantar minyak di perairan Terengganu-Kelantan pada Ahad.

Isteri Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28, memaklumkan dia mengetahui kejadian itu pada pukul 4 petang selepas menerima panggilan daripada majikan suaminya.

Muhammad Faezuan adalah antara tiga pekerja pelantar minyak yang maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bot penyelamat dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika kerja penyelenggaraan.

Menurut Nurkhaeryna, pihak syarikat pada awalnya hanya memaklumkan suaminya terlibat dalam insiden tanpa menjelaskan keadaan sebenar.

“Sebaik tamat panggilan, saya bersama ibu terus bertolak dari Bukit Setongkol, Kuantan ke hospital dan tiba kira-kira pukul 7 malam.

“Saya sangat sedih sebab arwah merancang untuk menemani saya berpantang selepas kelahiran anak kedua kami nanti. Hanya Allah SWT tahu perasaan saya,” katanya.

Allahyarham yang berpengalaman bekerja di pelantar minyak sejak 2019 baru menyertai syarikat berkenaan pada Mac lalu dan dijadual pulang bercuti pada 1 Jun ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari di platform Sepat itu, semua mangsa dipercayai menaiki bot penyelamat untuk melakukan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform.

Selain Muhammad Faezuan, dua lagi mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38.

Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurut Azli, kesemua mangsa merupakan kakitangan bahagian keselamatan platform yang menjalankan kerja penyelenggaraan pada bot penyelamat berkenaan.

“Dipercayai tali atau cangkuk yang menyambungkan bot itu terputus menyebabkan mangsa terjatuh ke laut bersama bot terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan penyelamat kemudian membawa semua mangsa kembali ke platform sebelum diterbangkan menggunakan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud kira-kira pukul 4 petang.

Mereka tiba di lapangan terbang sekitar pukul 5 petang sebelum dikejarkan ke unit kecemasan HSNZ.

Bagaimanapun, tiga mangsa disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital manakala seorang lagi mengalami kecederaan serius dipercayai patah tulang.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ untuk bedah siasat yang dijadualkan pagi Isnin.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -The Star

Artikel Lain