SEORANG guru agama dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Jeli, Kelantan pada Isnin atas empat pertuduhan membabitkan amang seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki serta menghasilkan gambar lucah.Tertuduh, Muhammad Faiz Muhammad Ramly, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali. Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun satu bulan di Madrasah Kuning, Jeli Lama, dekat Jeli pada 9 Mei lalu.Perbuatan bagi dua pertuduhan itu berlaku kira-kira pukul 1.10 tengah hari dan 5 petang.Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia enam tahun lapan bulan selain menghasilkan gambar pornografi mangsa di sebuah rumah di Kampung Layat, dekat Jeli pada Mei 2025.Kes bagi pertuduhan pertama hingga ketiga didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.Sementara itu, pertuduhan keempat dibuat mengikut Seksyen 5 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun serta tidak kurang enam sebatan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Nai’lah Harizan manakala tertuduh diwakili peguam Zaem Ab Aziz.Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes.