suria

[V] “Ulang suara, dilarang buang sampah di sini” - Dua lelaki terkejut ‘disergah’ CCTV, kutip semula plastik hitam masuk dalam kereta

Gelagat lelaki yang membuang sampah mengutip semula sisa tersebut selepas ditegur menerusi CCTV.

DUA individu dilihat mengutip semula sampah yang cuba dibuang di tepi sebuah jalan selepas ditegur 'suara' kamera pengawasan di sebuah kawasan tempat pembuangan haram di Shah Alam, Selangor.

Rakaman kamera litar tertutup CCTV [Tonton Video] di kawasan Jalan Batu Bata, Shah Alam itu memperlihatkan dua individu selamba mencampakkan beberapa beg plastik sampah berwarna hitam dari but belakang sebuah kereta jenis Proton Gen 2.

Menerusi rakaman dikongsikan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kedengaran anggota penguat kuasa memberi amaran tegas supaya sampah berkenaan diambil semula atau tindakan undang-undang akan dikenakan.

“Dilarang membuang sampah di sini. Ulang suara, ulang suara. Dilarang membuang sampah di sini, anda akan didakwa.

“Dilarang membuang sampah di sini. Sila ambil semula sampah anda sekarang. Kami telah memantau pergerakan anda. Sila ambil semula sampah anda,” kata anggota penguat kuasa berkenaan.

Kedua-dua individu itu kelihatan terkejut, sebelum segera mengutip semula plastik sampah berkenaan masuk ke dalam but kereta.

Sementara itu, MBSA dalam kenyataan berkata, pihaknya sentiasa komited memastikan kebersihan dan kesejahteraan bandar raya terpelihara melalui pemantauan berterusan termasuk penggunaan CCTV di lokasi tumpuan.

Menurut MBSA, tindakan membuang sampah secara tidak bertanggungjawab bukan sahaja mencemarkan persekitaran, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“MBSA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan pembuangan sampah haram dan tindakan tegas akan diambil.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan dengan membuang sampah di tempat yang disediakan serta mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

 

Artikel Lain