suria

‘Tok dalang cilik’ sanggup tak makan, tak minum habiskan masa dengan patung wayang kulit

Aqfierudzar Rizq dikenali sebagai 'tok dalang Pyu' bakal mengikut langkah bapanya yang merupakan seorang pengiat seni wayang kulit.

SEMAKIN lapuk ditelan zaman! Seni warisan wayang kulit turun temurun kian dilupakan generasi masa kini.

Umum tahu, wayang kulit merupakan satu pementasan bayang yang terhasil dari patung serta diperbuat daripada belulang seperti kulit lembu, kerbau atau kambing dan merupakan khazanah seni yang perlu kita pelihara.

Namun, tidak untuk si cilik bernama Aqfierudzar Rizq atau mesra disapa Pyu yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik. Dia mempunyai minat mendalam terhadap seni wayang kulit.

ARTIKEL BERKAITAN: Persembahan Wayang Kulit, 'Bunga Cempaka Rindu Malam' Di Aswara

Digelar 'tok dalang cilik', budak lelaki berusia lima tahun ini tidak kekok dalam melontarkan bait-bait cerita wayang kulit mengikut alunan muzik.

Jelas Mohd Sulhie Yusuf yang merupakan bapa kepada kanak-kanak ini, pendedahan terhadap seni warisan ini diberikan seawal usianya tiga tahun yang mana dia sering mengikut dan melihatnya membuat persembahan bersama kumpulan wayang kulit Arjunasukma.

Membawa watak 'Samad ke Kota Bharu', Pyu jelas menghayati watak tersebut.

"Pada saya bukan sesuatu yang mudah bagi kanak-kanak seusianya untuk mengendalikan wayang kulit. Sebab itu, seminggu sebelum memenuhi undangan membuat persembahan, saya akan ajar Pyu secara lisan untuk dia menghayati dan mengingati setiap watak yang akan dipersembahkan.

“Jika dapat undangan persembahan di saat akhir dan dia tidak sempat membuat persediaan, Pyu akan bawa watak secara spontan mengikut kreativitinya sendiri,” katanya kepada mStar ketika ditemui di pentas akhir Tukang Karut Gegar Deeja pada Rabu.

Sulhie, yang berusia 42 tahun bersyukur akan kepetahan anaknya yang tidak kekok dan bertanggungjawab terutamanya ketika berada di hadapan panggung. Pyu akan memberi sepenuh perhatian dalam menjiwai watak sebagai tok dalang.

Pyu kelihatan tenang dalam melontarkan bait-bait penceritaan, walaupun itu merupakan pertama kali dia hadir di pentas antarabangsa.

MOHD SULHIE YUSUF

PENGGIAT SENI

"Saya bersyukur di usia muda ni, Pyu telah menunjukkan minat mendalam akan seni tradisional ini. Pyu ni kalau diberi patung wayang kulit sampaikan tak makan tak minum pun takpa. Minat sungguh dia," kata penggiat seni itu.

Menurutnya, Pyu bukan sahaja berjaya melakar nama dalam industri seni wayang kulit di Malaysia, namun dia turut berpeluang membuat persembahan di Singapura dan China.

Sebelum ini, Pyu berjaya memukau penonton di Singapura menerusi persembahan berjudul 'Samad ke Singapura' di pertandingan Dikir Barat Piala Buluh Perindu pada November tahun lalu.

"Pyu kelihatan tenang dalam melontarkan bait-bait penceritaan, walaupun itu merupakan pertama kali dia hadir di pentas antarabangsa," jelasnya lagi.

Pyu mula melibatkan diri dalam seni wayang kulit sejak umur tiga tahun.

Antara koleksi patung kegemaran Pyu adalah Raja Serama iaitu seorang yang selalu memberi arahan serta patung 'Samad' yang merupakan watak orang kampung yang cerdik.

Penggiat seni itu berkata, dia akan terus menyokong minat anak bongsunya dalam industri ini dan berharap Pyu akan menjadi tok dalang hebat di masa akan datang.

Sulhie berhasrat untuk terus memartabatkan seni wayang kulit Kelantan menerusi Akademi Arjunasukma yang diusahakan bersama isterinya sejak 2008 di Klang, Selangor.

Artikel Lain