suria

Suami hilang kerja, dua anak sedang sakit tak dapat dirawat - “Syukur kami sekeluarga masih dapat jamah nasi kosong”

Perkongsian Yhangdhenz di Facebook mendapat perhatian netizen.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Begitulah beban yang terpaksa ditaggung oleh sebuah keluarga yang tinggal di Kampung Kionsom, Inanam, Sabah apabila mereka hilang sumber pendapatan setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa.

Ketika dihubungi mStar, wanita yang ingin dikenali sebagai Silma itu memberitahu bahawa suaminya merupakan kontraktor di sebuah tapak binaan dan hanya dibayar gaji mengikut hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Tempoh PKP dedah perangai pelik bapa, dua anak lelaki suka ‘berkelawar’ di rumah - “Mak dah macam supplier”

ARTIKEL BERKAITAN: Mereka juga manusia! Ramai simpati warga asing terputus bekalan makanan - “Tanpa mereka siapa nak buat kerja-kerja berat”

"Suami saya sudah hampir sebulan lebih tidak mempunyai pekerjaan disebabkan PKP.

"Buat masa ini, nak cari kerja lain pun susah kerana kebanyakan majikan lain pun tidak mengambil pekerja.

"Kami hanya mampu mengharapkan bantuan daripada orang ramai yang sudi membantu," ujar Silma.

Yhangdhenz memuat naik sendiri posting di Facebook tentang kesusahan yang dihadapi mereka sekeluarga buat masa ini.

Tambah ibu kepada tiga orang anak itu lagi, mereka sekeluarga tinggal serumah bersama ibu dan adiknya.

"Alhamdulillah kami sekeluarga masih mampu menjamah nasi kosong setiap hari.

"Jika mendapat rezeki lebih hasil bantuan orang lain, kami makan nasi bersama telur dan kicap," jelas Silma yang memberitahu suaminya merupakan satu-satunya sumber rezeki kehidupan mereka seisi keluarga.

Kami hanya mampu mengharapkan bantuan daripada orang ramai yang sudi membantu.

SILMA

ISTERI

Dalam pada itu, Silma turut memberitahu bahawa dua daripada tiga anaknya sedang mengalami masalah kesihatan namun sukar untuk mendapatkan rawatan kerana tidak mempunyai kenderaan untuk ke klinik.

"Anak saya yang berusia empat bulan dan dua tahun ini sudah tiga hari demam dan batuk tidak berhenti.

"Klinik berhampiran kami semuanya tutup dan yang paling hampir ialah klinik di Kota Kinabalu yang mengambil masa satu jam lebih untuk ke sana," ujar wanita berusia 23 tahun itu.

Dua daripada tiga anak mereka sedang mengalami demam dan batuk tidak berhenti.

Posting yang dimuatnaik oleh suami Silma, Yhangdhenz Andung Majang, 25, itu kini mendapat lebih 5,700 perkongsian dan 565 tanda suka.

Rata-rata netizen menunjukkan rasa simpati mereka dengan dugaan berat yang melanda Silma sekeluarga.

"Kesiannya... berdoalah supaya Allah beri kekuatan kepada kita untuk mendapat pekerjaan semula," tulis seorang netizen.

Antara komen netizen di Facebook.

"Waktu seperti ini la untuk kita bersatu padu saling membantu antara satu sama lain, semoga urusan saudara dipermudahkan," tambah seorang pemuda.

"Waktu sekarang ini banyak ketua keluarga yang pening kepala fikirkan makan minum buat anak dan bini..." kata pengguna Facebook yang lain.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
nasi kosong, Covid-19, PKP, miskin, susah

Artikel Lain