“Rasa sakit sangat...” - Wanita ini terima ‘hadiah’ duka pada hari jadi, sempat atur photoshoot anak sebelum ajal - Viral | mStar

“Rasa sakit sangat...” - Wanita ini terima ‘hadiah’ duka pada hari jadi, sempat atur photoshoot anak sebelum ajal

Muhammad Al Huzaifah Ahmad Farhan menghembuskan nafas terakhir selepas menderita kanser otak tahap empat selama empat bulan.

“SETIAP kali melihat almari baju dan barang-barang milik arwah, air mata saya laju mengalir,” demikian kata seorang wanita yang meluahkan rasa sedih ekoran pemergian anak sulungnya akibat kanser otak, baru-baru ini.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nurul Ashiqin Abd Rahman berkata, anaknya Muhammad Al Huzaifah Ahmad Farhan disahkan menghidap kanser otak tahap empat pada September lalu, selepas melakukan ujian biopsi untuk mengenalpasti penyakit yang dideritainya.

Mengimbas kembali detik-detik sebelum anaknya disahkan menghidap kanser, Nurul Ashiqin berkata segalanya bermula pada Julai lalu apabila Al Huzaifah mengadu sakit kepala.

ARTIKEL BERKAITAN: Darah keluar banyak sebab salah pasang tiub, doktor kata ‘tak ada masalah’... balik rumah isteri nak pitam tengok suami terketar tahan sakit 

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami tengok betul-betul, jari kelingkingnya dah tinggal separuh” - Awas, pintu gril ada bahaya tersembunyi, kanak-kanak ini hancur semua urat! 

“Pada awalnya, arwah anak beritahu dia sakit kepala. Dalam dua kali sehari dia diserang sakit kepala. Jadi kami membawanya ke hospital dan doktor kata sekiranya tanda itu tidak disusuli dengan muntah, jadi tak mengapa.

“Hinggalah pada 6 Julai lalu, Al Huzaifah tak boleh berjalan apabila dia terjaga dari tidur. Jadi kami membawanya ke hospital dan doktor melakukan ujian imbasan dan ambil darah. Pada ketika itu, kami diberitahu terdapat air memenuhi otaknya,” kata ibu berusia 29 tahun ini.

Menurut Nurul Ashiqin, satu pembedahan dilakukan untuk memasang sejenis alat dikenali sebagai ventriculo-peritoneal shunt (VP Shunt) untuk membolehkan lebihan cecair otak disalurkan ke bahagian lain dalam badan.

Al Huzaifah disahkan menghidap kanser otak tahap empat pada September lalu. 

Sehinggalah pada 19 September, Al Huzaifah akhirnya disahkan menghidap kanser otak tahap empat, satu perkhabaran yang benar-benar menyentap seluruh kegembiraan anak yang sekecil itu.

“Selepas ujian biopsi dilakukan, akhirnya Al Huzaifah disahkan menghidap kanser otak. Doktor beritahu, ia kanser di tahap empat. Dan doktor menjangkakan, Al Huzaifah mempunyai kira-kira dua bulan saja masa untuk hidup.

“Bayangkan perkhabaran itu diterima pada hari ulang tahun kelahiran saya. Rasa seperti sakit sangat nak terima, namun saya perlahan-lahan reda. Suami dan saya sudah tetapkan, kalau apa-apa yang terjadi, kami reda,” ujarnya.

Pada penghujung September, Nurul Ashiqin dan suami sepakat mahu mengabadikan foto mereka sekeluarga menerusi satu sesi photoshoot untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan, dan selebihnya mahu menggembirakan hati Al Huzaifah.

“Masa sesi photoshoot tu, dia kelihatan sangat gembira. Dia senyum, ketawa dan gembira sahaja. Kami akan buat apa sahaja untuk melihatnya gembira. Alhamdulillah, ada juga kenangan dengan arwah,” kata suri rumah ini lagi.

Photoshoot yang dilakukan pada penghujung September, ketika keadaan Muhammad Al Huzaifah belum merosot teruk.

Bagaimanapun dari hari ke hari, keadaan kesihatan Al Huzaifah semakin merosot.

Segalanya berlaku dalam masa yang sungguh singkat dan sangat tidak terduga apatah lagi Al Huzaifah merupakan seorang kanak-kanak yang periang, aktif, banyak bercakap dan keletah.

“Al Huzaifah ketika itu diletakkan di bawah paliatif care, tak ada rawatan untuknya di hospital. Selalunya, saya akan bantu dia hubungi ayahnya yang bertugas sebagai anggota polis setiap hari.

“Dia akan suruh ayahnya pulang kerja dengan cepat. Kira-kira seminggu sebelum ‘pergi’ dia sempat telefon ayahnya. Ayahnya sempat merakam voice note, seolah-olah terdetik ia adalah panggilan terakhir daripada anaknya.

“Memang benar… ia adalah panggilan terakhir Al Huzaifah kepada ayahnya kerana tidak lama selepas itu, dia tidak lagi mampu bertutur dengan jelas. Dalam tempoh seminggu sebelum pergi, keadaannya semakin hari semakin merosot. Bermula tak boleh bertutur, kemudian tangannya sudah tidak mampu menggenggam.

“Sehari sebelum pergi, mukanya dah kebiruan, mata pun tak boleh buka. Memang terus kejarkan ke hospital. Pada ketika itu doktor cadangkan untuk menebuk lehernya, namun kami menolak kerana tak mahu menambahkan kesakitannya,” ujarnya.

Saya reda menerima kehilangannya. Cuma buat masa ini, saya tidak boleh terlihat barang milik arwah, serta merta akan menangis. Kalau pergi Petronas, nampak Kinder Joy, saya akan menangis kerana teringat arwah gemar beli.

NURUL ASHIQIN ABD RAHMAN

IBU

Al Huzaifah akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir pada pagi keesokannya iaitu 3 November pada usia tiga tahun lima bulan, selepas menanggung derita selama empat bulan.

Seperti ketika menerima perkhabaran mengenai penyakit Al Huzaifah, Nurul Ashiqin menerima pemergian anaknya itu dengan reda.

“Saya reda menerima kehilangannya. Cuma buat masa ini, saya tidak boleh lihat barang milik arwah, serta merta akan menangis. Kalau pergi Petronas, nampak Kinder Joy, saya akan menangis kerana teringat arwah gemar beli. Buat sementara waktu, saya bercuti di rumah ibu di Negeri Sembilan.

“Senang sangat cara arwah pergi. Mungkin Allah tetapkan ini yang terbaik untuknya, kerana tak perlu lagi menanggung sakit di dunia. Alhamdulillah, semuanya mudah, daripada ketika jaga dia sakit sehinggalah ke nafas terakhir,” ujarnya mengakhiri bicara. 

kanser otak , hari ulang tahun , photoshoot

Klik

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

Artikel Lain