suria

Dua sahabat bikin ‘kecoh’ di Phuket, sanggup berhenti tepi jalan sebab nak bertekak... semua ni salah cuaca panas, internet!

Video 'perang mulut' dua sahabat yang dimuat naik di Twitter oleh seorang pelayar benama Azmil Shah menjadi tular sehingga meraih lebih 23,000 retweet.

BERCUTI bersama rakan-rakan sememangnya menyeronokkan, apatah lagi kesemuanya sekepala dan gila-gila.

Selain menghabiskan masa melakukan aktiviti bersama-sama, percutian juga menjadi salah satu cara untuk mengeratkan hubungan silaturrahim.

Namun dalam keseronokan menikmati percutian, pasti terselit insiden yang tidak mungkin dilupakan sehingga bila-bila.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak rapat, tapi rakan 'caring' semacam masa konvo petanda ajal... diajak bergambar beri alasan - “Dia sempat toleh belakang tengok jubah saya” 

ARTIKEL BERKAITAN: Dah lama teringin nak beli al-Quran ‘tagging’, gadis ini tak sangka dapat kejutan – “Saya marah sebab tahu hadiah tu mahal” 

Menerusi satu hantaran di Twitter, seorang pelayar berkongsi momen melucukan ketika dia bersama sembilan rakan bercuti di Phuket, Thailand baru-baru ini.

Video yang dimuatnaik oleh pelayar yang menggunakan akaun Azmill Shah itu memaparkan gelagat dua rakannya bergaduh di tepi jalan gara-gara salah seorang daripadanya yang mengetuai konvoi menunggang motosikal terlalu laju sehingga beberapa rakan lain tertinggal jauh di belakang.

Ia mengundang perhatian netizen yang terhibur dengan kesan suntingan khas di dalam video ‘pergaduhan’ tersebut, sehingga meraih lebih 23,000 retweet selain dihujani ratusan komen netizen.

Video yang dimuatnaik Azmil mengundang perhatian netizen yang terhibur dengan gelagat rakan-rakannya.

Berkongsi cerita dengan mStar, individu yang memuat naik video tersebut, Muhammad Azmil Shah Mohd Azian berkata, insiden tersebut berlaku ketika dia dan rakan-rakannya dalam perjalanan ke Phuket Premium Outlet (PPO).

“Ketika itu hari kedua percutian kami. Kami merancang untuk pergi ke PPO dan menyewa lima skuter. Salah seorang rakan yang bernama Farhan mengetuai konvoi dan motosikalnya dibonceng oleh rakan bernama Zeim. Disebabkan mereka paling depan, jadi Zeim memegang kamera GoPro untuk merakam video.

“Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba mereka berhenti di tepi jalan. Saya ingatkan mereka kepenatan, tapi rupa-rupanya bila menghampiri, Farhan sedang bertekak dengan seorang lagi rakan yang bernama Irwan. Irwan tak puas hati kerana Farhan bawa skuter agak laju dan rakan-rakan lain jauh ketinggalan di belakang.

“Ketika itu pula hanya seorang dua sahaja yang mempunyai akses kepada internet. Itu yang menyukarkan keadaan,” katanya.

(Dari depan) Hans Adam, Farhan, Irwan, Azmil, Hefdzi, Zeim, Al Harith, Zainil, Zariff dan Adam bergambar di pantai di Phuket selepas insiden pegaduhan di tepi jalan.  

Menurut pemuda yang berusia 21 tahun ini, perang mulut di tepi jalan itu reda kira-kira 10 minit kemudian selepas kedua-duanya ditenangkan rakan-rakan yang lain.

“Iyalah ketika itu penat, cuaca pun panas. Memang tak boleh nak cakap apalah. Tapi tak ada apa pun sebenarnya. Biasalah kalau cuti beramai-ramai, normal la bila jadi perkara sebegini.

“Tapi memandangkan kami saling mengenali satu sama lain sejak 15 tahun lalu, ia tak sukar untuk ‘handle’ kerana sudah masak dengan perangai masing-masing,” ujarnya.

Azmil dan rakan-rakannya saling mengenali antara satu sama lain sejak dari sekolah rendah. 

Apa yang lebih melucukan ujar Azmil, ketika insiden perang mulut itu berlaku, kaki Zeim pula terkena ekzos skuter namun dia terpaksa menahan seketika kesakitannya kerana rakan-rakan yang lain sedang ‘sibuk’ menenangkan Irwan dan Farhan.

“Kesian dekat Zeim sebab terpaksa tahan dulu sakitnya kerana rakan-rakan lain ada 'misi' yang lebih penting. Ada juga terdengar dia cakap ‘panas panas’ dengan muka berkerut. Mujur tak teruk, hanya melecur sikit sahaja,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Bercerita lebih lanjut, Azmil menambah mereka kemudian meneruskan perjalanan ke PPO namun kali ini diketuai oleh rakan yang lain.

Ketika sampai di sana, Irwan dan Farhan kemudian bersalam dan bermaaf-maafan. Kami yang lain pun lega tengok mereka berdamai. Biasalah, kalau tak bergaduh, bukan kawan namanya.

MUHAMMAD AZMIL SHAH MOHD AZIAN

“Ketika sampai di sana, Irwan dan Farhan kemudian bersalam dan bermaaf-maafan. Kami yang lain pun lega tengok mereka berdamai. Biasalah, kalau tak bergaduh, bukan kawan namanya.

“Kalau berjumpa lepak bersama-sama, memang peristiwa itu akan menjadi topik dan kami akan saling mengenakan satu sama lain. Memang ia tak akan dilupakan sampai bila-bila,” ujarnya lagi.

Kata Azmil, percutian ke Phuket itu merupakan percutian kedua mereka yang bertujuan untuk mengeratkan lagi ikatan persahabatan yang dijalin sejak sekolah rendah.

“Sebenarnya kami semua berasal dari Subang Jaya. Setiap minggu memang selalu lepak bersama. Sungguhpun berasal dari tempat yang sama, namun memang jadi kelaziman untuk kami pergi bercuti setiap tahun. Percutian adalah salah satu cara untuk kami berkumpul ramai-ramai sambil mengukuhkan ikatan persahabatan,” ujarnya lagi. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Phuket, konvoi, tepi jalan, sahabat, bercuti

Artikel Lain