Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (tiga, kanan) menyempurnakan Pelancaran Akaun Simpanan AGROKorban-i sambil disaksikan Pihak Pengurusan Kanan Agrobank.
AGROBANK memperkenalkan Akaun Simpanan Agro Korban-i bagi membantu umat Islam membuat persediaan kewangan untuk melaksanakan ibadah korban secara lebih terancang dan patuh syariah.Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, produk simpanan itu dapat membantu pelanggan membina tabungan secara konsisten dalam merealisasikan hasrat menunaikan ibadah korban. "Ibadah korban bukan sahaja menuntut keikhlasan dan kemampuan, malah memerlukan perancangan kewangan yang baik. "Melalui Akaun Simpanan Agro Korban-i, Agrobank ingin membantu pelanggan membina tabungan secara konsisten agar hasrat untuk menunaikan ibadah korban dapat direalisasikan dengan lebih mudah."Akaun Simpanan Agro Korban-i diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha Agrobank untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang bukan sahaja praktikal, tetapi turut memupuk budaya menyimpan sebagai satu persediaan yang lebih bermatlamat dan memberi manfaat kepada diri, keluarga serta komuniti," ujarnya pada majlis pelancaran Akaun Simpanan Agro Korban-i di Tanjung Karang pada Khamis.Produk berkenaan membolehkan pelanggan mula menabung dengan pembukaan akaun serendah RM20 sebelum simpanan dikumpulkan secara berperingkat sehingga mencapai sasaran untuk menunaikan ibadah korban.Bagi permulaan, Agrobank menyasarkan sebanyak 5,000 bahagian korban dapat dilaksanakan tahun depan menerusi akaun simpanan tersebut di seluruh cawangan bank berkenaan.Maklumat lanjut mengenai Akaun Simpanan AGROKorban-i boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Agrobank atau di cawangan Agrobank berhampiran.