suria

Darah keluar banyak sebab salah pasang tiub, doktor kata ‘tak ada masalah’... balik rumah isteri nak pitam tengok suami terketar tahan sakit

Suami Ummi yang terlantar selepas diserang strok Mac lalu terpaksa menanggung kesakitan akibat kecuaian seorang doktor.

“SAYA tak sanggup melihat suami terketar-ketar menahan kesakitan apabila darah tak berhenti mengalir melalui tiub saluran kencingnya,” demikian kata seorang wanita yang berkongsi kisah mengenai derita yang ditanggung suaminya, didakwa akibat kecuaian seorang doktor.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang mahu dikenali sebagai Ummi Sue ini berkata, suaminya, Ramli Ismail, 46, terpaksa memakai tiub saluran kencing sejak Mac lalu selepas kali kedua diserang strok.

ARTIKEL BERKAITAN: Tersepit antara adik ambil UPSR, ibu dibedah kanser payudara... “Saya sangat terkejut, nenek baru saja meninggal dunia” 

ARTIKEL BERKAITAN: Dugaan berat siswi tahun akhir, bapa disahkan kanser, beban belanja buat gadis ini resah... “Ayah perlu minum susu 6 kali sehari” 

“Sejak diserang strok tujuh bulan lalu, keadaan suami terlantar, kerana itu dia perlu dipakaikan tiub untuk memudahkannya membuang air kecil. Tiub itu perlu ditukar dua minggu sekali.

“Baru-baru ini ketika ditukar di sebuah hospital, doktor yang bertugas memasang tiub yang bersaiz sedikit besar berbeza dengan saiz tiub yang biasa dipasang. Selepas itu, darah mengalir keluar melalui tiub dan kemudian semakin banyak sehingga terkena pampers yang dipakai suami.

“Saya bertanya kepada doktor mengenai keadaan itu. Doktor kata dia tersilap masukkan saiz tiub, dan dia kemudian menukarkannya kepada saiz yang biasa dipakai. Saya bertanya kepadanya, tak jadi masalahkah darah keluar banyak, dan doktor itu menjawab ‘tidak’,” ceritanya.

Posting yang dikongsi Ummi di Facebook mengenai suaminya, Ramli Ismail. 

Bagaimanapun, selepas pulang ke rumah beberapa jam kemudian, tubuh suaminya terketar-ketar sambil menahan kesakitan.

“Saya telefon ambulans dan suami dikejarkan ke hospital. Saya tak sanggup melihat darah yang mengalir semakin banyak. Kita tengok pun rasa nak pitam,” ujarnya.

Ummi berkata, dia kemudian membuat aduan kepada pihak hospital, sebelum satu pertemuan diadakan bersama doktor terbabit dan doktor pakar.

“Saya menerangkan situasi yang berlaku pada hari kejadian dari A hingga Z. Dan doktor yang terbabit mengakui kesilapannya waktu itu. Mereka juga berkata, pihak hospital akan mengambil sepenuhnya tanggungjawab selain memantau suami saya lebih rapi,” kata wanita berusia 39 tahun ini.

Ketika diserang strok Mac lalu, dia dimasukkan ke ICU, manakala saya pula bertarung nyawa melahirkan anak bongsu kami. Kini, anak bongsu kami yang berusia tujuh bulan masih belum dapat mendengar suara bapanya

UMMIE SUE

ISTERI PESAKIT STROK

Sungguhpun permohonan maaf sudah dilakukan, Ummi yang bekerja sebagai peniaga gerai makanan berkata, sebagai isteri, dia tidak dapat menahan kesedihan mengenangkan penderitaan yang ditanggung suami.

“Memang suami terlantar dan tak dapat bercakap, tapi melihat dia menahan kesakitan itu benar-benar buatkan saya sedih.

Anak bongsu Ummi yang berusia tujuh bulan masih belum dapat mendengar suara bapanya yang diserang strok sejak Mac. 

“Ini melibatkan nyawa manusia. Saya tak mahu orang lain juga berdepan dengan perkara yang sama. Saya sedang mempertimbangkan untuk membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ketika diserang strok Mac lalu, dia dimasukkan ke ICU, manakala saya pula bertarung nyawa melahirkan anak bongsu kami. Kini, anak bongsu kami yang berusia tujuh bulan masih belum dapat mendengar suara bapanya,” ujarnya sedih.

Reda dengan ujian yang diberikan, Ummi berkata dia tidak pernah berputus asa dan tidak lupa memanjatkan doa agar suaminya pulih seperti sedia kala.

“Saya sentiasa berdoa agar diberi kekuatan menghadapi ujian ini. Pada mereka di luar sana, mohon doakan agar suami saya pulih dan sihat seperti sediakala,” akhirinya. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
strok, doktor, tiub saluran kencing, ICU

Artikel Lain