MAJLIS Media Malaysia (MMM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pendedahan maklumat peribadi (doxxing), gangguan, ugutan dan ancaman susulan kontroversi melibatkan wartawan Free Malaysia Today (FMT). Badan itu maklum mengenai permohonan maaf awam yang dikeluarkan oleh portal berita itu serta penjelasan yang diberikan selepas semakan dalaman berkaitan insiden melibatkan salah seorang wartawannya. MMM turut mengiktiraf langkah-langkah yang telah diambil oleh organisasi berita tersebut untuk menangani isu ini dan mempertanggungjawabkan secara terbuka cara pengendalian situasi itu, selaras dengan prinsip ketelusan dan tanggungjawab editorial.“MMM dengan tegas mengecam segala bentuk doxxing, gangguan, intimidasi, dan ugutan terhadap wartawan."Tindakan sebegini meletakkan pengamal media dalam risiko, melanggar privasi, keselamatan dan hak asasi manusia, asas mereka, serta merosakkan peranan asas kewartawanan dalam masyarakat demokratik."Tiada wartawan patut mengalami bahaya peribadi atau intimidasi, walaupun terdapat perbezaan pendapat terhadap kerja mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.MMC juga menekankan bahawa wartawan mesti mengekalkan pemikiran kritis dalam laporan mereka, termasuk dalam merangka soalan dan naratif.“Tindakan penyelidikan kritis harus berasaskan persediaan rapi, kajian mendalam, dan analisis teliti terhadap isu yang dilaporkan,” katanya.Namun begitu, MMC menegaskan bahawa tanggungjawab mengekalkan piawaian ini bukan sahaja terletak pada wartawan individu, tetapi juga pada bilik berita dan organisasi media itu sendiri.Ini termasuk menyediakan latihan, panduan, dan budaya editorial yang kukuh yang menyokong kewartawanan bertanggungjawab tanpa mewujudkan suasana ketakutan atau penapisan kendiri dalam kalangan wartawan.Insiden ini berpunca daripada kuliah umum bertajuk Gaza Exposes the Complicity of International Actors pada Isnin yang menampilkan ahli politik British, George Galloway, di mana seorang wartawan FMT mengajukan soalan yang kemudian menimbulkan kritikan meluas dalam talian.FMT kemudian mengeluarkan permohonan maaf, memaklumkan bahawa mereka tidak mengetahui niat wartawan itu untuk mengajukan soalan tersebut dan tidak meluluskan komen beliau, serta tindakan tatatertib telah diambil selepas siasatan dalaman.