SEORANG doktor disyaki terlibat dalam kes pembunuhan isterinya bersama seorang anak lelaki dalam satu kejadian di sebuah kediaman di Bandar Dato' Onn, Johor pada 31 Disember tahun lalu.Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad memaklumkan, mangsa wanita tempatan berusia 36 tahun yang bekerja sebagai akauntan ditemukan meninggal dunia pada pukul 8.20 pagi dengan kesan kelar di leher. Menurut Rahaman, anak lelaki pasangan itu yang berusia empat tahun turut ditemukan tidak bernyawa dengan kesan kebiruan pada wajah, dipercayai akibat tekupan."Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian wanita berkenaan adalah akibat asphyxia related death, kematian yang berpunca daripada kekurangan oksigen dalam badan.Manakala punca kematian kanak-kanak tersebut disebabkan smothering dan kematian kedua-duanya dipercayai berunsurkan jenayah.Susulan siasatan dibuat, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang bekerja sebagai doktor dan merupakan suami kepada mangsa pada 3 Januari lalu.Polis turut merampas beberapa barang kes bagi membantu siasatan, antaranya sebilah pisau serta sebiji bantal bersama sarung.Tambah Rahaman, suspek direman selama 13 hari bermula 4 hingga 16 Januari bagi membantu siasatan lanjut.Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing juga negatif dadah.Suspek diputuskan untuk dituduh di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 302, Seksyen 201 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.