BEKAS Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta.Perkara itu diputuskan Hakim Rosli Ahmad di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Jumaat selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes susulan kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag itu. Dalam prosiding sama, mahkamah turut dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan balunya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, untuk menggugurkan tiga tuduhan bersubahat melakukan rasuah berkenaan.Justeru mahkamah menetapkan 5, 6 dan 12 Mac ini bagi sebutan dan perbicaraan kes Zizie Izette.Untuk rekod, Zizie Izette, 48, menghantar representasi pada 24 Disember lalu bagi memohon supaya tiga pertuduhan bersubahat itu digugurkan.Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati pada 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.Menerusi pertuduhan ketiga pula, Bung Moktar turut dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama pada 17 Jun 2015. Untuk rekod, bekas Ketua Umno Sabah itu meninggal dunia kira-kira pukul 1.46 pagi, 5 Disember 2025 lalu.Bung Moktar sebelum itu menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.