Warga emas berusia 64 tahun ini didenda atas kesalahan menggunakan bahan api bersubsidi yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia.
SEORANG pesara berstatus penduduk tetap (PR) Singapura didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret Kulai, Johor selepas didapati bersalah mengubah suai nombor pendaftaran kenderaannya bagi membolehkan dia membeli petrol bersubsidi RON95.Orang Kena Saman (OKS), Long Sa Kow, 64, hadir ke mahkamah kira-kira pukul 7.50 pagi Rabu dengan memakai topi dan pelitup muka. Dia didakwa mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak sepadan dengan sebuah kereta buatan Jerman yang dipandunya di sebuah stesen minyak di Batu 21 1/4, Jalan Johor Bahru–Air Hitam, sekitar pukul 10.30 malam pada 2 Januari lalu.Long yang menetap di Singapura mengaku bersalah di hadapan Majistret R. Salini selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.Mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh mengubah suai nombor pendaftaran kenderaannya dengan menutup beberapa huruf menggunakan pita pelekat bagi membolehkannya mengisi petrol RON95, iaitu bahan api bersubsidi yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia dan kenderaan berdaftar tempatan.Perbuatan itu dirakam dalam sebuah klip video yang tular di media sosial sejak awal Januari lalu, memaparkan seorang lelaki dipercayai memandu kereta bernombor pendaftaran Singapura, SLJ 8967 M sedang mengisi petrol RON95.ARTIKEL BERKAITAN: Nombor pendaftaran pelik, rupanya huruf depan ditutup pelekat hitam! Taktik pemilik kereta asing isi RON95 terbongkarBagaimanapun dia didapati menggunakan pita pelekat berwarna hitam untuk menutup abjad hadapan dan belakang nombor pendaftaran keretanya sehingga menjadikannya kelihatan seolah-olah kenderaan berdaftar Malaysia.Ketika ditegur oleh orang awam yang merakam video tersebut, pemandu Volkswagen Jetta berwarna putih perak itu mendakwa dia merupakan seorang warganegara Malaysia.Malah, seorang wanita yang dipercayai pasangannya turut keluar dari kenderaan untuk mempertahankan lelaki berkenaan serta mendakwa memiliki MyKad, namun gagal menunjukkannya apabila diminta.Individu yang membuat teguran itu turut cuba membuka pita pelekat pada nombor pendaftaran kenderaan itu namun dihalang sebelum kedua-duanya terus beredar dari stesen minyak terbabit.Susulan itu, siasatan polis kemudiannya mendapati nombor enjin dan nombor casis kenderaan tersebut didaftarkan di Singapura.Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM20,000, atau penjara antara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi perbuatan tersebut, selain mengambil kira niat tertuduh yang cuba menikmati kemudahan bersubsidi yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia.Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli yang mewakili tertuduh merayu agar denda lebih rendah dikenakan kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap, merupakan seorang pesara dan mempunyai tiga orang anak.Mahkamah kemudian memerintahkan Long membayar denda RM9,000 atau penjara sembilan bulan jika gagal membayarnya.Tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut. -The Star