Sebuah hotel di Bachang, Melaka diserbu susulan didakwa mempromosikan premis itu sebagai 'mesra gay'. -Gambar sekadar hiasan
PIHAK berkuasa menyerbu sebuah hotel di Bachang, Melaka, yang didakwa mempromosikan premis itu sebagai 'mesra gay' di laman web rasminya.Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, susulan serbuan itu, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah menarik balik lesen operasi hotel yang mempunyai 37 bilik berkenaan. Menurut beliau, serbuan dijalankan kira-kira pukul 10.45 pagi pada Selasa (13 Jan) hasil operasi penguatkuasaan bersama MPHTJ dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)."Lesen operasi hotel tersebut akan terus digantung sehingga pemilik tampil memberi penjelasan berhubung tindakan menyenaraikan premis itu sebagai ‘mesra gay’ di laman webnya," katanya.Dalam serbuan itu, Rahmad berkata hanya satu bilik didapati berpenghuni, manakala 36 bilik lain kosong.Dua kondom terpakai turut ditemui di bilik berkenaan."Bilik tersebut tidak berkunci dan katilnya tidak dikemas, namun kami gagal mengesan individu yang menempah bilik itu," katanya.Beliau menjelaskan, serbuan berkenaan dijalankan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Melaka) 1991 melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 56 (liwat), Seksyen 57 (cubaan liwat) dan Seksyen 58 (perhubungan jenis luar tabii).Menurutnya, jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000, hukuman penjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya sekali.Rahmad turut menegaskan bahawa amalan LGBT adalah bertentangan dengan ajaran Islam serta norma masyarakat setempat."JAIM menasihatkan umat Islam supaya menjauhi amalan LGBT kerana ia dilarang dalam Islam dan bertentangan dengan undang-undang sedia ada," katanya. -The Star