suria

Suami isteri penjawat awam ditemukan maut dalam rumah... Mayat berlumuran darah, alami kecederaan serius

Pasangan suami isteri itu ditemukan dalam sebuah rumah di Sri Aman pada pagi Rabu. -Foto Facebook

SEPASANG suami isteri ditemukan maut dipercayai dibunuh di dalam sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun di Sri Aman, Sarawak, awal pagi Rabu.

Kedua-dua mangsa yang dipercayai merupakan penjawat awam ditemukan dalam keadaan berlumuran darah akibat kecederaan serius.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohamad Zainal Abdullah berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar pukul 6.55 pagi.

"Pasukan polis bersama pegawai perubatan Hospital Sri Aman segera dikerahkan ke lokasi dan pemeriksaan awal mengesahkan kedua-dua mangsa lelaki berusia 45 tahun dan isterinya, 44 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki bunuh. Motif serta punca kejadian masih dalam siasatan, dan pihak polis kini giat mengumpul keterangan saksi dan bukti di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menerusi maklumat yang dikongsikan orang awam di media sosial, difahamkan mangsa lelaki bertugas sebagai guru besar di sebuah sekolah di Lubok Antu, Sri Aman.

Manakala isterinya merupakan seorang jururawat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Kalang di talian 019-331 7785 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel Lain