suria

Malaysia jadi hab pendidikan tinggi global, destinasi pilihan pelajar antarabangsa

Noraini (tengah) menyaksikan pemeteraian MoA antara IPT Malaysia dan rakan sejawat luar negara.

MENEMPATKAN Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di serantau dan global merupakan misi dan impian buat negara.

Maka tidak hairanlah 2022 menyaksikan begitu banyak kemajuan dalam pendidikan tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya yang ketika itu dilanda pandemik.

Kini taraf pendidikan tinggi negara ditambah baik terutama dengan pembukaan sempadan di kebanyakan negara sekali gus perjalanan antarabangsa dapat dilakukan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ini membolehkan lawatan ke negara-negara lain untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum (MoA) antara institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia dan rakan sejawat antarabangsa.

"Tahun ini sahaja, saya diberi penghormatan untuk menyaksikan pemeteraian 12 MoU dan satu MoA di India, Qatar, United Kingdom, Romania, Turkiye dan Kanada.

"Saya pasti lebih banyak memorandum seumpamanya pada masa akan datang.

"Mungkin ada yang bertanya, mengapa jalinan perkongsian (iaitu pengantarabangsaan pendidikan tinggi) menjadi usaha penting buat IPT di Malaysia?" katanya.

Misi pengantarabangsaan

Menjawab kepada persoalan itu, Noraini menjelaskan bahawa kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), berusaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa.

KPT 7

Menjalin kerjasama terutama pengantarabangsaan pendidikan tinggi merupakan usaha penting bagi IPT di negara ini, di mana kerajaan dan KPT berusaha untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa.

Pada masa ini, Malaysia menjadi tuan rumah kepada 131,000 pelajar antarabangsa yang berdaftar di seluruh IPT di negara ini.

"Aspirasi kerajaan adalah untuk mencapai matlamat dengan menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah kepada 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025.

"Bagi merealisasikannya, universiti-universiti tempatan mewujudkan dan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti menawarkan program luar pesisir serta melaksanakan MoU dan MoA.

"Usaha sedemikian akan memudahkan kerjasama antarabangsa dalam penyelidikan dan inovasi, pengajaran dan pembelajaran, program mobiliti pelajar dan kakitangan serta banyak lagi. Manfaat yang melimpah ruah," ujar Noraini.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha membangunkan hab pendidikan tinggi untuk Malaysia amat bermakna bagi menarik dan mengekalkan sejumlah besar para pelajar, pakar, IPT, industri pengetahuan, pusat sains dan teknologi serta banyak lagi.

Manfaat pendidikan antarabangsa

Norani berkata, pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia ternyata memberi manfaat kepada pelbagai pihak daripada akademik, budaya, sosial dan ekonomi.

Daripada segi akademik katanya, Malaysia menjangka pengajaran dan pembelajaran yang dipertingkatkan serta kaedah penyelidikan dan inovasi setanding negara-negara maju.

"Pada peringkat budaya atau sosial, kita akan dapat mempromosikan budaya Malaysia dan bahasa ibunda, bahasa Malaysia kepada rakan sejawat antarabangsa.

"Proses pengantarabangsaan ini juga akan mendedahkan rakyat Malaysia kepada perbezaan budaya tanpa perlu ke luar negara," jelas beliau.

KPT 8

UPM dan Universiti Malaysia Perlis menandatangani MoU dengan Universiti Surrey.

Daripada segi ekonomi pula, kata Noraini, pengantarabangsaan merupakan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi akibat pandemik.

"Ia menyumbang kepada penjanaan hasil negara, terutama melalui kemasukan pelajar-pelajar antarabangsa ke negara ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, kesan daripada usaha pengantarabangsaan yang mungkin tidak disedari ialah jurang jantina yang semakin berkurangan.

Pada masa ini, sebanyak 55 peratus ahli akademik di negara ini adalah wanita yang terus berjaya dalam pelbagai mata pelajaran pendidikan.

Selain itu, mereka yang mendaftar di IPT awam terdiri daripada 357,087 wanita, menyumbang kepada 61 peratus daripada keseluruhan pelajar yang berdaftar.

Malahan, lebih 537,434 orang iaitu 53 peratus pelajar yang berdaftar di IPT swasta juga adalah wanita.

Oleh itu, sekiranya bilangan pendaftaran meningkat, adalah munasabah untuk mempercayai bahawa sektor korporat akan terdiri daripada lebih ramai pemimpin wanita dalam masa terdekat.

Malaysia jadi tarikan

Menjalin kerjasama dengan universiti-universiti antarabangsa merupakan usaha memperkasakan pendidikan kedua-dua negara, dan empat cara menjadikan Malaysia sebagai tarikan utama.

Noraini berkata, bagi menarik perhatian antarabangsa terhadap IPT Malaysia pertamanya tentunya pengiktirafan cemerlang menerusi kedudukan atau ranking universiti-universiti tempatan.

"Dalam QS World University Rankings 2023, Universiti Malaya (UM) disenaraikan dalam 100 universiti terbaik dan Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Sains Malaysia (USM), disenaraikan dalam top 200.

"Banyak universiti kita mencapai prestasi yang baik dan mencatatkan kejayaan, serta dijangka bertambah baik pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Keduanya, beliau memberitahu, kos sara hidup di Malaysia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju yang mempunyai universiti bertaraf tinggi.

Menurutnya, bandar raya Kuala Lumpur secara konsisten mendapat kedudukan tinggi dalam QS Top Universities 'Bandar Paling Mampu Milik untuk Pelajar'.

"Disebabkan kos yang lebih rendah, pelajar mampu menikmati pelbagai destinasi yang indah di seluruh negara serta meneroka warisan yang kaya dengan kepelbagaian budaya," katanya.

KPT 1

KPT bakal melancarkan program Pelancongan Pendidikan (EduTourism).

Ketiganya, kata Noraini adalah pelancongan yang merupakan satu bentuk pendidikan dengan sendirinya dan KPT bakal melancarkan program Pelancongan Pendidikan (EduTourism).

"EduTourism akan menyediakan pengalaman pendidikan yang mendalam di destinasi paling indah di Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi," katanya sambil menambah di bawah program ini, IPT Malaysia akan memainkan peranan sebagai pusat pelancongan.

Noraini berkata, tarikan keempat pula adalah sifat progresif sistem pendidikan tinggi negara yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat secara mampan dan inklusif.

Sementara itu, KPT juga menyokong penuh Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tumpuan adalah SGD ke-4 iaitu Pendidikan Berkualiti.

Menurut Noraini, perkara tersebut dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 di mana kepentingannya adalah memastikan tiada golongan yang tercicir.

"Oleh itu, kita memperkenalkan kursus kelayakan mikro dan Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL). Kedua-dua inisiatif ini ditadbir oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Di bawah inisiatif kelayakan mikro, pelajar boleh mengikuti kursus jangka pendek di institusi yang berbeza dan menggabungkannya untuk ditukar menjadi pensijilan yang bertauliah," katanya.

KPT 6

Noraini (kanan) pada Kemuncak EduData 2022 di Amerika Syarikat, di mana beliau menekankan tumpuan Malaysia untuk memanfaatkan EduData bagi membawa pendidikan negara ke peringkat seterusnya

Pada masa ini, terdapat lebih 11,000 kursus kelayakan mikro yang ditawarkan oleh IPT tempatan.

Menurut beliau, APEL pula membolehkan pemohon menggunakan pengalaman mereka untuk memperoleh kredit dalam program pengajian masing-masing.

Sehingga Jun 2022, lebih 26,000 pemohon mengikuti APEL.

"Pada dasarnya, IPT dari seluruh Malaysia berjaya merancang dan melaksanakan usaha yang menggalakkan pengantarabangsaan pendidikan tinggi di negara ini.

"IPT tempatan membuktikan kesemuanya sebagai sebuah keluarga yang bersatu-padu. Semoga usaha pengantarabangsaan ini terus cemerlang tanpa mengira cabaran dan rintangan dalam waktu yang tidak menentu," kata Noraini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain