suria

Pasaran eksport akan diperluas menerusi Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp)

MATRADE komited memperluaskan pasaran eksport negara.

PERSEKITARAN perdagangan dan ekonomi global pada masa ini bukan hanya mencabar malah turut menyediakan peluang kepada Malaysia bangkit semula selepas pandemik Covid-19.

Tanpa terus dibelenggu oleh krisis kesihatan yang melanda, kerajaan memberi penekanan terhadap penjajaran semula pertumbuhan ekonomi menerusi kaedah yang mampan, termasuk memulihkan momentum pertumbuhan sektor ekonomi utama serta memacu industri strategik dan berimpak tinggi termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pelaksanaan ini adalah penting kerana Malaysia menyasarkan untuk menjadi negara yang berpendapatan tinggi yang dipacu oleh kecanggihan teknologi, seterusnya menyaksikan negara menuju ke arah aktiviti bernilai tambah tinggi.

Berasaskan strategi dan sumbangan besar perdagangan kepada ekonomi Malaysia, Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) telah diwujudkan untuk meningkatkan lagi daya saing perdagangan Malaysia khususnya dalam eksport negara.

NTBp yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 25 Oktober 2021 telah dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ismail Sabri ketika melancarkan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional.

Ismail Sabri ketika melancarkan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, rangka tindakan ini menggariskan strategi pembangunan dan insiatif bagi meningkatkan daya saing eksport negara dengan mengukuhkan ekosistem perniagaan serta mendorong kedudukan Malaysia sebagai negara pengeksport terkemuka secara global dalam sektor barangan.

Ini diterajui oleh empat bidang keutamaan, tiga tema strategik dan lapan teras strategik (lihat info grafik).

Infografik

Lapan kumpulan kerja yang dibentuk untuk melaksanakan cadangan yang dikemukakan oleh NTBp di bawah Fasiliti Perdagangan, Logistik, Piawaian dan Pematuhan, Promosi Perdagangan dan Akses Pasaran, Kemampanan dan Inovasi, Pendigitalan dan Teknologi, Pelaburan dan Penjenamaan

Setiap Kumpulan Kerja mempunyai wakil daripada pelbagai kementerian dan agensi, sektor swasta, komuniti perniagaan dan persatuan perdagangan.

NTBp dikawalselia oleh Jawatankuasa Koordinasi Eksport (JK-X) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara sebagai badan pentadbir dan penyelia bagi pelaksanaan 40 syor serta 127 inisiatif yang bermesyuarat tiga kali setahun.

Kesemua Kumpulan kerja telah memulakan pelaksanaanya dan ekoran daripada itu, Kumpulan Kerja Logistik menerusi Kementerian Pengangkutan telah menyemak semula dasar dan membenarkan perkongsian penggerak utama serta treler di dalam kumpulan syarikat yang sama.

Ia dapat mengurangkan modal dan kos operasi sebanyak 10 hingga 20 peratus untuk menyelesaikan isu caj pelabuhan sampingan yang tinggi selain dapat membantu syarikat pengangkutan untuk mengoptimumkan perkongsian sedia ada tanpa perlu menambah bilangan jentera.

Di bawah Kumpulan Kerja Promosi Perdagangan dan Akses Pasaran, kerajaan telah meluluskan pembangunan Portal Maklumat Tunggal untuk Eksport (SIPE) dan Platform Acara Perdagangan Bersepadu (ITEP). Inisiatif ini adalah untuk menangani keperluan segera yang timbul daripada pandemik sekali gus meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia.

SIPE akan menjadi portal komprehensif yang merangkumi maklumat merentasi rantaian nilai eksport manakala ITEP akan menjadi platform khusus untuk menghubungkan pembeli atau pelabur asing dengan syarikat Malaysia.

Faedah utama platform ini termasuk penjenamaan negara yang lebih kukuh; memperkemas usaha dan mengurangkan kos promosi eksport, penyelarasan acara kebangsaan yang lebih baik serta analisis data besar. Pembangunan kedua-dua platfrom ini diselaraskan oleh MATRADE.

“Pada keseluruhannya, NTBp berfungsi sebagai agenda penting untuk pembangunan eksport Malaysia dan seterusnya memberi impak positif kepada negara. Hasil yang lebih tinggi daripada eksport membawa kepada lebih banyak peluang untuk menambah baik infrastruktur dan kemudahan negara,” tambah Datuk Mohd Mustafa.

Selain dari itu, pelaburan perniagaan dan aktiviti eksport juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di samping memacu kualiti pendidikan bagi menyediakan tenaga kerja yang mahir serta berbakat seterusnya memenuhi keperluan industri.

Ini juga mendorong Malaysia selangkah lebih dekat ke arah status negara berpendapatan tinggi dan meningkatkan kehidupan masyarakat.

Kejayaan NTBp memerlukan usaha bersepadu daripada kedua-dua sektor awam dan swasta untuk membangunkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif serta penting bagi membolehkan aktiviti pengeksportan berkembang maju.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain