suria

Rakyat Malaysia kini lebih ramai lelaki berbanding wanita... Gen Z tertinggi di Putrajaya, warga emas di Perlis

PROSES pembancian secara bersemuka turut diadakan di pusat beli-belah. — Jabatan Perangkaan Malaysia

BILANGAN penduduk di Malaysia yang dibanci oleh Jabatan Perangkaan Malaysia adalah seramai 28.1 juta atau 86.28 peratus daripada anggaran 32.6 juta orang sehingga 30 September 2021.

Berdasarkan status terkini, operasi banci di Kelantan, Johor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya hampir selesai dan sedang dalam proses pengabsahan dan menentusahkan maklumat.

Sehingga kini, peratusan penduduk yang telah dibanci mengikut negeri tertinggi dicatatkan di Johor iaitu 104.9 peratus, diikuti Wilayah Persekutuan Putrajaya (101.3 peratus), Negeri Sembilan (100.4 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (99.2 peratus), Perlis (95 peratus) dan Kelantan (93.8 peratus).

ARTIKEL BERKAITAN: Kes baharu Covid-19 meningkat 12,735 kes, Sarawak kekal tertinggi

ARTIKEL BERKAITAN: Tengah kuarantin, wanita ini dapat kejutan kek birthday... tapi paling terkejut saat terima satu gambar selfie - “Eh kereta macam kenal"

Peratusan respons penduduk bagi negeri-negeri lain ialah Perak (93.2 peratus), Pulau Pinang (92.8 peratus), Selangor (91.2 peratus), Melaka (88.2 peratus), Terengganu (88.1 peratus), manakala bagi Kedah pula sebanyak 84.3 peratus, Wilayah Persekutuan Labuan (78.6 peratus), Pahang (69.3 peratus), Sarawak (66.6 peratus) dan Sabah (55.9 peratus).

Sementara itu, peratusan respons penduduk tertinggi mengikut daerah dicatatkan di Mualim iaitu sebanyak 116.5 peratus, Samarahan merekodkan 113.8 peratus, Johor Bahru (111.1 peratus), Sepang (107.9 peratus) dan Muar (107.8 peratus).

th (1)

Mohd Uzir berkata, penduduk lelaki mencatatkan 51.3 peratus lebih tinggi berbanding peratusan penduduk perempuan yang mencatatkan 48.7 peratus. —The Star

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah kediaman yang dibanci adalah sebanyak sembilan juta atau 96.1 peratus daripada 9.4 juta kediaman.

“Tahniah kepada daerah-daerah yang telah mencapai 100 peratus sasaran penduduk.

“Peratusan penduduk telah dibanci terendah mengikut daerah di peringkat Semenanjung Malaysia dicatatkan di Lipis iaitu sebanyak 54.7 peratus, Bera (61.4 peratus), Raub (61.6 peratus), dan Bentong sebanyak 65.8 peratus, manakala mengikut daerah di Sarawak dan Sabah dicatatkan oleh daerah Betong (25.4 peratus), Ranau (32.1 peratus) dan Tenom (33.4 peratus),” katanya.

Nisbah lelaki dan wanita

Pada masa sama, Mohd Uzir berkata, nisbah jantina menunjukkan 104 lelaki bagi setiap 100 perempuan di Malaysia.

Beliau berkata, penduduk lelaki mencatatkan 51.3 peratus lebih tinggi berbanding peratusan penduduk perempuan yang mencatatkan 48.7 peratus.

Berdasarkan data banci tersebut, katanya, penduduk Malaysia merangkumi 95.2 peratus warganegara dan 4.8 peratus bukan warganegara.

“Penduduk warganegara Malaysia pula terdiri daripada kumpulan etnik Bumiputera sebanyak 69.4 peratus, Cina (23.1 peratus), India (6.7 peratus) dan lain-lain sebanyak 0.8 peratus,” katanya.

WhatsApp Image 2021-07-15 at 11.33.10 (2)

Warga emas berumur 65 tahun dan ke atas yang tertinggi dicatatkan di Perlis iaitu 9.7 peratus. —Jabatan Perangkaan Malaysia

WhatsApp Image 2021-07-15 at 11.33.10 (1)

Antara warga emas yang turut serta dalam proses pembancian. — Jabatan Perangkaan Malaysia

Malah, katanya, dapatan daripada 28.1 juta penduduk menunjukkan, sebanyak 25.4 peratus adalah dalam kalangan umur muda iaitu antara 0 hingga 14 tahun, 69.3 peratus lagi adalah penduduk umur bekerja iaitu antara 15 hingga 64 tahun dan 5.4 peratus lagi dalam kalangan penduduk berumur 65 tahun dan lebih.

“Warga emas berumur 65 tahun dan ke atas yang tertinggi dicatatkan di Perlis iaitu 9.7 peratus, manakala penduduk umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun yang tertinggi dicatatkan di Pulau Pinang dan Sarawak sebanyak 72.0 peratus.

“Wilayah Persekutuan Putrajaya pula mencatatkan peratusan umur muda (0 hingga 14 tahun) tertinggi iaitu 36.5 peratus,” katanya.

Cabaran Covid-19

Beliau berkata, sebanyak 22.5 peratus penduduk Malaysia telah dibanci secara dalam talian atau e-Census dan CATI, manakala 63.3 peratus lagi dibanci secara bersemuka sama ada melalui mod Computer Assisted Personal Interview (CAPI), Paper and Plan Interview (PAPI) atau Drop-off and Pick-up (DOPU).

Katanya, jumlah bancian tidak begitu tinggi bukan disebabkan penduduk tidak memberi kerjasama, namun pihaknya tidak dapat bersemuka kerana halangan Covid-19.

Ujarnya, beliau menganggarkan sebanyak 32.6 juta penduduk dibanci dan perkara itu boleh dicapai bergantung kepada peratus pembancian itu.

“Dengan data yang kita ada, kita analisis mengikut jantina, umur, etnik dan daripada situ kita tahu kalau kurang anggaran atau angka tak sampai daripada apa yang kita anggaran, kita akan bagi specific. Jadi, kita tahu mana kita nak fokus,” jelasnya.

118046981_1890609084412064_7353902545222566071_n

Penjawat awam tidak terlepas peluang melaksanakan proses pembancian. — Jabatan Perangkaan Malaysia

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, pihaknya berharap supaya setiap penduduk memastikan diri dan ahli keluarga telah dibanci bagi melengkapkan bilangan penduduk Malaysia agar tiada yang tercicir.

“Bagi mana-mana ahli Keluarga Malaysia yang belum dibanci, ayuh penduduk Malaysia tunaikan tanggungjawab anda dengan mengisi banci sebelum 31 Oktober 2021,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain