suria

Hukuman lebih berat, termasuk dipenjara terhadap mereka yang langgar SOP - Muhyiddin

Menurut Perdana Menteri, hukuman lebih keras dikenakan terhadap mereka yang langgar SOP melalui pindaan Akta 342. -Gambar hiasan

KERAJAAN akan membuat pindaan pada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk menjatuhkan hukuman lebih keras terhadap sesiapa yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah meneliti peruntukan undang-undang untuk membenarkan penguatkuasaan SOP yang lebih ketat dan lebih pantas.

ARTIKEL BERKAITAN: Hentikan tohmahan... Proklamasi Darurat untuk bendung Covid-19, tiada tujuan lain - PM

"Pematuhan kepada SOP di tempat kerja, tempat penginapan pekerja dan premis peniagaan dan kilang adalah penting untuk kita memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Tindakan penguatkuasaan mesti dipertingkatkan untuk memastikan pematuhan kepada SOP," ujarnya ketika menyampaikan perutusan khas mengenai penjelasan Proklamasi Darurat yang disiarkan secara langsung pada petang Khamis.

Berikut adalah beberapa perkara yang diteliti untuk meningkatkan penguatkuasaan SOP:

1) Arahan penutupan serta merta premis perniagaan yang tidak mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan

2) Tindakan perundangan terhadap pemilik perniagaan, pemegang francais, operator francais dan pihak berkepentingan lain dalam rantaian organisasi perniagaan

3) Tindakan perundangan terhadap rantaian pengurusan pekerja asing meliputi majikan, ejen pembekal pekerja, kontraktor utama, sub-kontraktor dan orang perseorangan

4) Tindakan kompaun yang lebih tinggi kepada pesalah berulang atau pesalah yang telah diberi amaran

5) Tindakan penjara ke atas pesalah yang melanggar peraturan dan SOP

6) Tindakan tatatertib ke atas penjawat awam yang tidak mematuhi peraturan dan SOP termasuk kepada ketua jabatan berkaitan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah

Pindaan juga dibuat terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang juga memerlukan majikan untuk menyediakan tempat tinggal yang lebih kondusif untuk pekerja mereka.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain